Steven Spielberg
Tom Hank sebagai Ben Bradlee
Adegan The Post

Istilah “fourth estate” (kuasa keempat) awalnya digunakan oleh Thomas Carlyle dalam bukunya On Heroes and Hero Worship pada 1841 yang merujuk kepada sosok yang berada dalam galeri wartawan di Parlimen. Sosok itu adalah kuasa keempat walaupun tidak dibariskan secara rasmi dalam mana-mana sistem politik atau pentadbiran.

Kuasa keempat ini diangkat dari konsep tradisional Eropah yang ada tiga kuasa utama; legislatif, eksekutif dan judiisiari. Kedudukan wartawan dianjak ke depan, tidak sahaja sebagai pelapor malah pencerah kebenaran, pemerhati tingkah gerak penguasa dan tanda aras demokrasi.

Kalau ahli politik perlu menjawab persoalan dibangkit   kepada Parlimen, (kecuali Parlimen yang berat sebelah) wartawan menjawab kepada rakyat perihal kad kemajuan (report card) orang politik. Maka di atas semangat itu untuk mengukur demokrasi sesebuah negara, ukurlah luas atau sempitnya kuasa pena wartawannya.

Katherine Graham (kiri) dan Meryl Streep sebagai Katherine Graham

Menyekat rakyat mendapat maklumat (yang benar) adalah melawan demokrasi. Malah makna demokrasi bukanlah memujuk rakyat ke peti undi lima tahun.   Demokrasi adalah menyediakan persiapan mental sebelum ke peti undi dengan maklumat yang benar.  Oleh hal demikian matlamat kuasa keempat menegak dan meluruskan keluhuran dan kebenaran.

Menafikan kuasa keempat adalah menidakkan demokrasi. Ini kata kunci Steven Spielberg dalam filem terbarunya, The Post yang membuka tirai tayangan di negara ini 8 Mac lalu. The Post menambah sebuah lagi filem mengenai wartawan yang berdepan dengan kuasa politik.

Sebelum ini filem Citizen Kane (1941) arahan Orson Welles, filem wajib kepada semua pelajar jurusan filem dan All the President’s Men (1984) arahan Alan J. Pakula.   The Post antara filem heba t sepanjang abad ke 21 ini. The Post dan All the President’s Men diangkat dari fragmen sejarah akhbar The Washington Post sekaligus menjadi sejarah moden Amerika Syarikat (AS).

Versi Inggeris boleh baca di sini:

The Post – journalist and the fourth estate

 

Walaupun memetik sejarah era Presiden Richard Nixon sekitar tahun 1960-an,  isu kuasa politik menafikan kuasa keempat dalam The Post ini bertepatan dengan keadaan semasa. Misalnya Presiden Donald Trump yang sentiasa prasangka kepada media menjaja istilah “berita palsu” (fake news). Sindrom “fake news” ini juga merebak terutama di negara-negara yang pemimpinnya muflis moral. Yang betul mengenai kebobrokan mereka adalah ‘fake news”.

Saya menyeru teman-teman wartawan, tonton dan bacalah The Post. Ini adalah dunia kita dan   sepatutnya kita menegakkan kuasa keempat. The Post mencabar wartawan masa supaya meminjam semangat dan keluhuran wartawan dan pengarang The Washington Post empat dekad lampau.

The Post menyakinkan bahawa dalam sekian banyak wartawan oportunistik dan pak turut,   ada sejumlah kecilnya masih dan tetap luhur prinsip dan tanggungjawab. Malah menegaskan wartawan belum terhormat selagi mereka tidak menghormati prinsip dan laras etikanya.

Kenapa Nixon berjaya ditumbangkan?

Suatu ketika pada dekad kebangkitan 1970-an, rakyat sudah hilang percaya kepada akhbar terutama dua yang besar lagi berpengaruh; The Washington Post dan The New York Times. Kedua-duanya kehilangan pembaca yang sangat serius. Tetapi kepercayaan diraih kembali selepas The Washington Post membongkar skandal Watergate yang melibatkan Nixon.

Pengarang The Washington Post, Ben Bradlee adalah wira dalam tindakan yang luar biasa itu. Filem The Post memberi tumpuan kepada Ben Bradlee kerana dalam All The President’s Men, tumpuan kepada dua wartawan – Carl Bernstein dan Bob Woodward.

Saya menonton filem ini tiga kali. Ada beberapa faktor membuatkan saya terasuk dengan filem ini. Pertama, perihal kuasa keempat; kedua, pengarah Steven Spielberg; ketiga, akhbar The Washington Post dan keempat, berkait dengan Presiden Richard Nixon.

Pentagon Paper

Watak-watak sebenar dalam garis masa The Washington Post dijelmakan. Penjelmaannya baik sekali di tangan pelakon Tom Hank dan Meryl Streep. Watak Ben Bradlee dilakonkan dengan cemerlang oleh Tom Hank. Bengis dan tegas menyerlah pada setiap adegan. Watak penerbit akhbar, Katherine Graham yang pada mulanya naif akhirnya sangat berani dihidupkan oleh Meryl Streep.

Katherine Graham adalah satu-satunya penerbit akhbar berpengaruh wanita di Amerika Syarikat. Dia memikul tugas amat berat sebagai penerbit akhbar selepas kematian suaminya. Ini amanah keluarga Graham kerana akhbar ini adalah milik keluarga. Kini akhbar itu dibeli oleh individu paling kaya, Joff Bezos pemilik Amazon.

Advertisement

Dalam satu biografinya Katherine Graham mendedahkan tentang tekanan yang diterima disebabkan sikap pesimis terhadap wanita yang melakukan tugas lelaki sebagai penerbit akhbar. Dia dikatakan tidak mampu membuat keputusan-keputusan yang bukan sahaja tepat tetapi tidak merosakkan jualan akhbar berkenaan.

The Post memetik satu daripada fragmen sejarah The Washington Post – menyiarkan secara lengkap dokumen sulit Pentagon Paper.   Kesannya amat besar, pengarang dan penerbit disaman oleh Nixon di bawah Espionage Act. Ben Bradlee dan Katherine Graham melakukan demi kuasa keempat. Seperti ketegasan yang dilontarkan kepada Katherine Graham, “Kalau kita tidak bertanggungjawab, siapa lagi?” Ini merujuk sama ada menyiarkan atau tidak berita eksklusif dokumen sulit Pentagon Paper.

Saya percaya semua wartawan setuju dengan Spielberg yang mengemukakan kembali gagasan kuasa keempat; menangkis campur tangan dan pengaruh politik terhadap   pejabat editorial akhbar.  Nixon menyaman The New York Times yang mula-mula sekali mendedahkan Pentagon Paper. The Washington Post terdedah kepada tuduhan hina mahkamah kerana menyiarkan dengan lebih lengkap dokumen 4,000 halaman itu ketika ia sedang dibicarakan. White House cuba campur tangan ke atas kepimpinan editorial tetapi Ben Bradlee tidak luntur. Katanya, “Kita bukan menjawab kepada Presiden, kita menjawab kepada rakyat.”

Mereka yang skeptikal bahawa tidak ada media tanpa campur tangan politik akan mengatakan Barat juga tidak ada kebebasan media. Betul. Tetapi daripada satu fragmen sejarah ini ada sekelompok wartawan mereka berusaha menegakkan kuasa keempat itu. Mereka melakukan. Inilah yang diangkat oleh The Post dan ini yang patut kita “baca”.

Pentagon Paper adalah dokumen sulit kerajaan mendedahkan fakta yang disembunyikan oleh empat Presiden sebelum Nixon mengenai tujuan serangan ke atas Vietnam. Mereka bukan sahaja membohongi rakyat malah Ahli Kongres. The Washington Post memberitahu pembohongan empat Presiden ini kepada rakyat.

Dokumen bertajuk, United State – Vietnam Relations 1945 – 1967 : A Study Prepared by the Department of Defence dibocorkan oleh Daniel Ellsberg kepada wartawan The New York Times. Dokumen itu mendedahkan serangan Amerika ke atas Vietnam untuk menolong pemimpin Vietnam Selatan, Ngo Dinh Diem pada 1955. Kemudian pada 1963 Amerika jugalah yang berkonspirasi membunuh Dinh Diem. Ini satu pengstrukturan politik oleh empat Presiden Amerika.

Ini berlaku di bawah pentadbiran Presiden Harry S Truman pada 1945, Dwight D Eisenhower, John F Kennedy, Lyndon B Johnson dan akhir sekali Richard Nixon.

Fragmen paling dramatik dalam filem ini ialah ketegangan untuk memutuskan sama ada siar atau tidak berita eksklusif Pentagon Paper. Pengarang dan penerbit terpasung antara keluhuran dan jangka hayat syarikat. Bahagian ini sangat mendebarkan dan tegang. Visual oleh kerja kamera sangat impresif. Teknik cinema verite menambahkan debaran penonton.

Tengah malam itu, detik macam bergerak pantas. Ruang masa semakin menirus Mesin pencetak sudah bersedia. Operator cetak hanya menunggu kata “run” daripada Ben Bradlee untuk menekan butang hijau. Deadline (masa akhir) semakin hampir, terlewat cetak akhbar akan lambat tiba kepada pembaca.

Katherine Graham dulunya dipandang rendah oleh beberapa lembaga pengarah, pada malam genting dan detik penting itu telah membuat keputusan besar dan berani;   merestui Ben Bradlee menyiarkan laporan penuh Pentagon Paper. Dia bersedia untuk mendepani kemungkinan dipenjarakan atau pemegang saham dan pelabur lari dengan tindakan tidak popular itu.

Spielberg menjiwai naskhah di tangannya. Dia berjaya memberikan kesan yang sinematik pada fragmen sejarah yang terbatas ruang pendramaannya. Kehidupan di pejabat editorial The Washington Post penuh dramatik dicipta dengan kerja kamera yang liar dan agresif. Penyediaan prop yang memperkenalkan zaman memperkayakan  pengadegan (mise en scene) filem ini.

Lebih sebahagian daripada filem ini menggunakan teknik kamera cinema verite iaitu merakam dengan hand held camera untuk mencipta kesan visual yang tegang. Cinema verite selalunya digunakan dalam pembikinan dokumentari tetapi dalam The Post ia mencipta shot sudut pandangan (point of view – POV shot) penonton menyoroti pejabat editorial yang sentiasa sibuk dan hingar bingar itu. Kita dibawa menyoroti pejabat editorial yang membuat keputusan penting demi rakyat dan negara.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *