Peguam Negara perlu utamakan Perlembagaan, ketepikan ideologi – Aidil Khalid

Oleh Athirah Huda Zalhe

ISMAWEB.NET 5 Jun 2018

 

BANGI, 20 Ramadan 1439H, Selasa – Peguam Negara baharu, Tommy Thomas diingatkan supaya lebih teliti, cermat dan tidak menyalah petik mana-mana laporan dalam memberikan nasihat berkaitan perundangan kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, semata-mata untuk mengetengahkan ideologi yang dianutinya.

Pengamal undang-undang yang juga aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Aidil Khalid berkata, Tommy dalam tulisannya sebelum ini, telah menyalah petik Laporan Suruhanjaya Reid, kononnya mendakwa bahawa Tanah Melayu sebagai sebuah negara sekular.

Menurut Aidil, kertas pembentangan Konferens Perundangan Malaysia pada tahun 2005 bertajuk ‘Is Malaysia a Secular State’ itu jelas menunjukkan ketidak telitian Tommy terhadap kandungan laporan Suruhanjaya Reid itu.

“Sama ada disengajakan atau secara khilaf, beliau telah menggugurkan 10 patah perkataan daripada perenggan 169 Laporan Suruhanjaya Reid yang dipetiknya, sehingga menyebabkan makna dalam perenggan tersebut lari dari maknanya yang asal.

AIDIL KHALID

TOMMY THOMAS

“Saya pernah membangkitkan hal ini, dalam tulisan saya yang diterbitkan dalam The Malay Mail Online, bertajuk ‘Wither the Myth of a Secular Nation’,” katanya kepada Ismaweb.net.

Bagaimanapun Aidil berkata, menerusi buku yang diterbitkan Tommy pada 2016 iaitu ‘Anything but the Law’, beliau masih tidak membetulkan tulisan itu, sebaliknya terus mempertahankan kononnya Malaysia adalah negara sekular.

Advertisement

“Beliau harus ingat bahawa beliau kini menjawat jawatan Peguam Negara, dan mempunyai kewajipan dan tanggungjawab terhadap negara dan bukan semata-mata bagi memenuhi tuntutan ideologi yang dianutinya,” katanya.

Katanya, selain pendakwaan, skop tugasan sebagai Peguam Negara juga antara lainnya menjadi penasihat undang-undang bagi Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan sebagaiman digariskan dalam Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Hal ini tentunya termasuk perkara-perkara berkait mana-mana undang-undang yang menyentuh hal ehwal agama Islam — seperti berkenaan dengan apakah makna dan kesannya apabila Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Peguam Negara perlu menasihati kerajaan berkenaan perkara ini.

Bagaimanapun beliau berkata, memandangkan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Tommy menggantikan Tan Sri Apandi Ali, maka keputusan itu seharusnya diterima biar pun ianya menerima bantahan, khususnya di kalangan umat Islam.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Tommy, atas perlantikan tersebut. Beliau mempunyai pengalaman yang luas, selama lebih 40 tahun dalam bidang guaman, dan ini tentunya dapat dicurahkan bagi berkhidmat untuk kebaikan negara,” katanya.

Pelantikan Thomas disahkan menerusi kenyataan Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang memaklumkan Seri Paduka telah menitahkan pelantikan Peguam Negara baharu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *