KUALA LUMPUR, 17 JULAI –

Semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu yang mengenakan denda dan sebat dengan rotan terhadap dua wanita yang mengaku bersalah cuba mengadakan hubungan sejenis Ahad lalu.

Pejuang-pejuang liberalisme dan sekularisme dijangka tidak berdiam. Dalam keadaan Islam diasak dari segenap penjuru oleh “keterbukaan” baru yang diberikan kerajaan, kes ini pasti akan dijadikan asas kononnya undang-undang Islam tidak relevan dengan zaman.

Ekoran menonjolnya isu LGBT sejak akhir-akhir ini, kelihatan seolah-olah kerajaan memberikan kebebasan yang tanpa had sehingga hak majoriti telah diceroboh oleh minoriti. LGBT pun menuntut hak seolah-olah negara ini mendikriminasi golongan tersebut.

Padahal peluang LGBT untuk mendapat pendidikan, pekerjaan dan perkhidmatan kesihatan tidak pernah dinafikan. Tidak mengejutkan kalau dalam masa terdekat ini gerombolan yang kononnya pejuang hak asasi menyasarkan kecaman kepada kerajaan Terengganu ekoran isu lesbian ini.

Ahad lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman denda RM3,300 dan enam sebatan terhadap tertuduh yang masing-masing berusia 32 dan 22 tahun itu. Mereka dituduh cuba melakukan hubungan seks ketika ditahan dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, kira-kira pukul 1.50 petang pada 8 April lalu itu.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail membuat keputusan tersebut selepas pasangan berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Ketegasan kerajaan Terengganu sepatutnya dipuji dan disokong bukan dihalang. Bagaimanapun semacam ada gerakan terancang supaya LGBT diberikan hak untuk mempromosikan budaya songsang mereka. Dalam hubungan ini, tindakan tegas kerajaan Terengganu akan dilihat sebagai halangan untuk “menghalalkan” LGBT dan mereka pasti akan melakukan onar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mempersoalkan hukuman sebatan dan denda tersebut sebagai bertentangan dengan nilai martabat manusia.

Ini kerana adalah suatu yang tidak masuk akal untuk tidak mengenakan tindakan ke atas pasangan tersebut ketika seluruh institusi kehakiman syariah di Malaysia meletakkan hubungan songsang sebagai perkara abnormal. Perkara yang bertentangan dengan fitrah manusia.

“Kalau begitu orang yang berzina pun boleh menuntut hak mereka. Kita ini bukan hidup dalam undang-undang rimba, malah di atas jalan raya pun ada peraturan yang perlu dipatuhi, hormatilah keputusan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan baru-baru ini.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *