Prospek filem tempatan dari kacamata Ku Seman

Oleh: Safira Pratiwi Satriyandinar
Bernama 24 Ogos 2018

Industri filem Malaysia menghasilkan sekitar 59 buah filem pada 2017 tetapi kutipan tiket hanya 4.5 juta. Perangkaan itu yang diperolehi daripada laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) adalah jauh lebih rendah berbanding 7.16 juta kutipan tiket pada 2016 sedangkan jumlah filem yang dihasilkan pula 47 buah.

Mungkin angka ini bukan sesuatu yang memeranjatkan memandangkan industri filem Malaysia sering kali terpaksa bersaing sengit dengan filem keluaran luar negara terutamanya dari Hollywood.

Berdasarkan dapatan kajian yang dijalankan oleh Help Institute pada 2012, sememangnya rakyat Malaysia terutamanya generasi muda lebih meminati filem keluaran Hollywood.

Penulis menemu bual bekas wartawan yang tidak asing lagi, Ku Seman Ku Hussain dan perunding kreatif, Amiruddin Karim untuk berkongsi pandangan tentang industri filem Malaysia serta prospeknya.

Dahulu dan sekarang

Menurut Ku Seman, dalam tempoh lima atau enam tahun kebelakangan, semua filem dihasilkan oleh generasi muda yang pada pandangannya terpisah daripada corak pemikiran dan pembuatan generasi pembikin filem 80-an dan 90-an.

“Kemunculan generasi muda yang mendapat didikan secara formal dan semi formal di institusi pengajian tinggi dalam bidang pembikinan filem mengubah bentuk dan corak filem arahan mereka.

“Mereka itu terpisah langsung daripada kerangka nostalgia dan pemikiran filem Melayu di Jalan Ampas Singapura.

“Bagi saya filem mereka belum layak lagi diindustrikan. Tidak mencapai tahan industri. Hanya sebagai satu kegiatan berkarya. Kutipan tiket pada keseluruhannya amat kecil berbanding pelaburan. Tidak sampai 10 peratus dari jumlah filem yang diterbitkan dalam setahun mencatatkan keuntungan dan 50 peratus dari kutipan kasar terpaksa dikongsi dengan pihak pawagam, “ jelas Ku Seman..

Bagaimanapun, beliau berpendapat, bukan suatu yang tepat untuk menjadikan kutipan sebagai satu tanda aras kualiti sesebuah filem.

Banyak kekurangan

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata ada banyak faktor yang boleh dikenalpasti untuk melonjakkan pencapaian filem tempatan, sebagai contoh menonjolkan elemen popular iaitu aliran cerita serta pelakon yang selari dengan fenomena generasi muda.

Bagaimanapun, kata beliau, untuk menjadikan sesebuah filem itu sebagai cermin atau wadah sosial, ia menuntut keterlibatan pemikiran pembikinnya.

“Filem bukan sahaja membawa cerita tetapi peranan sebenar ialah mencetuskan wacana sosial daripada paparannya. Inilah yang agak kurang dalam sebahagian besar filem tempatan.

“Banyak pembikin muda terpukau dengan teknik atau sokongan teknologi tetapi kurang memberikan penegasan pada aspek isi kandungan. Teknik dan teknologi memang penting tetapi tidak boleh menjadikan sebuah filem yang baik kalau aspek isi kandungan terabai, “ tegasnya.

Ku Seman menambah, seperkara yang masih tidak muncul dalam perfileman tempatan ialah sifat Malaysianya.

Bagi beliau, sebahagian besar malah hampir semuanya filem yang diarahkan oleh pengarah Melayu berkisar mengenai kaum Melayu, bukan Malaysia.

“Saya tidak melihat kewujudan “Malaysia” dalam filem Melayu. Sikap mengasingkan diri dari realiti sosial seperti ini juga menjejaskan peranan filem sebagai cerminan realiti sosial.

Bayangkan dalam jumlah penduduk yang hampir separuh terdiri daripada pelbagai kaum selain Melayu, filem Melayu masih terperangkap dalam sifat etnocentric Melayu yang tidak realistik. Filem Melayu hanya ditonton oleh Melayu, itu pun dalam kadar peratusan yang sangat kecil. Bukan Melayu hampir tidak menonton.

Satu adegan filem Journey

”Mereka (bukan Melayu) ada alasan untuk tidak menonton, misalnya filem itu tidak mencerminkan Malaysia. Malah tidak juga menyingkap sosiobudaya Melayu yang sebenarnya. Filem-filem ini hanya sebuah fantasi sosial yang disalin dari Hollywood atau Hong Kong, “ katanya.

Ku Seman kemudiannya memberi contoh sebuah filem Malaysia “The Journey” arahan pengarah Malaysia keturunan Cina. Filem berkenaan mencatatkan kutipan tiket lebih RM13 juta.

Advertisement

“Berlatarkan negara ini, The Journey menggabungkan pelakon pelbagai kaum. Memperlihatkan interaksi masyarakat Cina negara ini dengan kaum-kaum lain. Ia turut menonjolkan moral yang tinggi, “ katanya.

Selera penonton

Menurut Ku Seman lagi, secara umumnya, penonton tempatan menggemari filem yang membawa persoalan ringan serta kaya dengan elemen-elemen popular. Popular di segi jalan cerita dan juga pelakon-pelakon. Kerana itu filem-filem yang mendapat ruang di festival antarabangsa hampir semuanya gagal di pawagam tempatan.

Banyak juga filem tempatan yang mencatat nama di festival antarabangsa tetapi tidak dikenali berbanding filem-filem berkonsep popular, kelangsungan dari fenonema drama bersiri di televisyen. Suatu ketika dulu filem Indonesia, Laskar Pelangi mencatatkan kutipan box office di Indonesia tetapi gagal di Malaysia.

Antara faktor yang menyumbang pada keadaan demikian ialah tahap apresiasi filem sebagai sebuah karya pemikiran amat rendah di negara ini. Keadaan ini sama dengan genre seni lain misalnya novel. Filem-filem Hollywood yang membawa isu besar juga tidak mendapat sambutan.

“Bagi saya ini suatu yang membimbangkan. Sebagai industri, pembuat filem akan mengikut selera penonton. Jadi, semakin kecillah peluang bagi filem-filem bermutu untuk dihasilkan dalam keadaan selera penonton menjurus pada popular, “ katanya.

Nilai komersial

Sementara itu, perunding kreatif, Amiruddin Karim berkata industri filem tempatan boleh dikatakan filem komersial, dihasilkan untuk mendatangkan keuntungan dan tujuan hiburan semata-mata.

“Penonton biasa menjadi sasaran filem komersial dan untuk mencapai matlamat ini, jalan cerita filem akan berkisar kepada tema cinta, Mat Rempit dan komedi.
Tema-tema ini sering menjadikan satu-satu filem itu mendapat kutipan tiket yang tinggi, ” katanya.

Untuk mengeluarkan filem, ia memerlukan modal besar dan untuk meraih keuntungan tinggi, mereka menghasilkan filem dengan jalan cerita seperti yang diperkatakan tadi.

Akhirnya, industri filem Malaysia terperangkap dalam isu kualiti. Filem dihasilkan semata-mata sebagai sebahagian daripada urusan perniagaan yang memberi lebih tumpuan kepada hiburan dan bukan memaparkan jalan cerita yang baik, yang boleh memberi teladan.

Kurang promosi

Promosi filem berperanan penting untuk menarik perhatian penonton. Usaha ini dapat memberi maklumat kepada penonton tentang filem yang bakal ditayangkan.

Bagaimanapun, menurut Amiruddin, bidang promosi ini adalah salah satu daripada masalah yang menghantui industri filem Malaysia.

“Masalah sebenar industri filem Malaysia ialah tidak memberi fokus kepada promosi. Kenapa? Kita hanya buat promosi bila filem sudah siap.

“Sepatutnya usaha mempromosi filem dibuat lebih awal untuk mengingatkan kepada penonton tentang filem yang akan dikeluarkan. Penonton perlu dibuat teruja untuk menunggu filem akhirnya ditayangkan di panggung, ” jelasnya.

Ambil contoh, filem Hollywood, “Avengers: Infinity Wars”. Filem ini mendapat sambutan hebat kerana ia dipromosi setahun lebih awal sebelum filem itu ditayangkan di panggung. Ada “trailer” mengenai filem itu dan penonton menjadi tidak sabar untuk menunggu filem itu memasuki panggung.

Tanpa promosi awal, filem yang ditayangkan di panggung mungkin tidak dapat menjangkau penonton yang menjadi sasarannya. Semasa penggambaran filem lagi, serta sebelum dan selepas pengeluaran, usaha promosi sudah pun sepatutnya ke udara dan berkongsi dengan penonton perkembangan mengenai filem berkenaan. Cara ini boleh menarik minat lebih ramai penonton.

Langkah menggunakan “teaser” dan “trailer” boleh membantu memperluaskan jangkauan filem berkenaan kepada penonton yang lebih ramai.
Sekiranya industri filem Malaysia boleh meningkatkan usaha mempromosi filem, peluang adalah lebih cerah untuk menarik lebih ramai penonton, meningkatkan kutipan tiket dan menghasilkan filem yang lebih baik.

Diterjemah dan disunting oleh Melati Mohd Ariff

– BERNAMA

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *