Poster rasmi teater Pokok
U-Wei dan Haliza Misbun
U-Wei sedang memberikan penerangan kepada pelakon Pokok.

Pokok yang akan dipentaskan pada 7 hingga 16 Disember ini adalah “teater mesti tonton.” Ada beberapa perkara yang membuatkan teater ini mesti ditonton, atau setidak-tidaknya membaca naskhah yang telah disiarkan dalam majalah Dewan Sastera tahun lalu.

Teater berskala besar atau teater perdana hampir kering di Kuala Lumpur. Lebih sepuluh tahun selepas U-Wei mementaskan Wangi Jadi Saksi, teater berskala besar hampir tiada di kota batu yang puncaknya tinggi mencakar langit ini.

Memang banyak pementasan muzikal yang membariskan artis popular, tetapi sebahagian besarnya tidak lebih acara memperaga fesyen. Pengarah dan pelakon sesat dalam masa dan ruang. Yang mahu dijual hanya populariti artis bukan karya teaternya.

Oleh hal yang demikian teater Pokok tentunya sangat dinanti, sebuah pementasan yang menjungkir balik era kegemilangan teater Melayu di Kuala Lumpur tahun 1980-an dan 1990-an. Lebih menarik lagi pelakon teater ini bukanlah artis yang meletup dengan skandal tidak kena mengena dengan dunia seninya.

Mereka telah mesra dengan pentas. Salah seorang pelakon, Buyung Zasdar misalnya adalah aktivis teater dari Indonesia yang terlekat di Kuala Lumpur sejak awal 1970-an. Banyak teater yang disertainya, Anak Tanjung arahan Noordin Hassan misalnya.

Haliza Misbun pelakon teater Kelas 2020 teater sebabak arahan Rahim Razali di Matic pada awal tahun 2000 dulu. Malah Haliza juga antara pelakon yang terdidik oleh Rahim dan banyak pengarah besar lain.

U-Wei Haji Saari
Johan Jaaffar penulis naskhah Pokok.
Ebby Saiful dan Haliza Misbun sebagai suami isteri dalam teater Pokok.

Teater Pokok mesti ditonton kerana ini merupakan gabungan pertama tokoh teater Johan Jaaffar dengan tokoh filem, U-Wei Haji Saari. Mesti ada sesuatu yang menjadi titik temu antara mereka. Kedua-dua mereka sanggat menguasai bidang masing-masing.

Advertisement

Johan aktivis yang sinonim dengan sejarah panjang teater absurdnya bermula tahun 1970-an, U-Wei pengarah yang membawa filem Melayu menjelajah dunia.
U-Wei tidak sahaja menguasai dunia filem malah teater Wangi Jadi Saksi yang dipentaskan tahun 2006 di DBP menjadi saksi keterampilan dan penguasaannya di pentas.

U-Wei yang menulis sendiri naskhah Wangi Jadi Saksi telah memberikan satu perspektif tersendiri terhadap Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Bertemunya Johan dan U-Wei dijangka menggegarkan. Simplisiti naskhah Pokok sebenarnya kompleksiti yang berlapis-lapis. Kisah warga marhaen yang diangkat Johan dalam naskhah Pokok tentunya bukan sebuah realisme daripada pandangan luarnya.

Menonton Pokok dijangka menuntut kerja minda yang tinggi kerana teater yang kelihatan mudah dan ringkas naratifnya sebenarnya sangat rumit persoalan di sebaliknya. Maka jangan mempermudahkan Pokok apabila naskhah ini dipersembahkan sebagai sebuah karya teater.

Mereka yang telah membaca naskhah Pokok dalam Dewan Sastera tentu tertunggu-tunggu untuk melihat interpretasi U-Wei terhadap naskhah ini. Antara naskhah dan teater, di tengah-tengahnya ada proses interpretasi. Naskhah Pokok dan teater Pokok menjadi dua karya yang berbeza dalam kerangka yang sama.

Teater Pokok dilakonlan oleh Buyung Zasdar, Ebbi Saiful, Haliza Misbun dan Rahim Jailani. Kisah warga gelandangan, Mardiah (Haliza Misbun) yang sarat mengandung dan suaminya Darwis (Ebby Saiful) meneruskan hidup di sebuah pondok di bawah sebatang pokok. Seorang kawan pasangan ini, Amud (Buyung Zasdar). Mardiah yang juga bekas banduan sering diganggu olah Tok Kaya (Rahim Jailani).

Pokok diterbitkan oleh Balang Rimbun dipentaskan di Auditorium DBP pada 7 Disember hingga 16 Disember pukul 8.30 malam. Selain pementasan sebelah malam, teater ini juga mengadakan pementasan matinee pada 8, 9, 15 dan 16 Disember (pukul 3 petang).

Tiket berharga RM50 dan RM30.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *