Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengugut menghentikan bantuan kepada Palestin bukanlah suatu yang mengejutkan malah sebaliknya luar biasa sekiranya AS meneruskan bantuan tersebut. Ini kerana dasar AS dalam konflik Asia Barat lebih kepada kepentingan Israel.
Trump bertindak demikian selepas Palestin menolak rundingan damai dengan Isreal, bangsa yang merompak tanah air mereka sejak 1948. Kini menjadi paradoks apabila tuan tanah dipaksa berunding dengan perompak yang menjadi proksi AS. Palestin membuat pilihan tetap menolak rundingan damai yang hanya sandiwara untuk memberi keuntungan kepada Israel.
Ironinya ugutan itu dibuat ketika Trump berunding dengan Perdana Menteri Israel, Benyamin Netayahu di Davos, Switzerland. Ini menunjukkan wujud satu pakatan jahat dan tidak berperikemanusiaan antara Trump dan Netayahu untuk membuli Palestin yang menolak secara tegas rundingan damai itu.
Kata Trump, “Duit sudah ada di atas meja. Tetapi tidak diberikan kepada mereka (Palestin) kecuali menyertai rundingan damai.” Demikianlah angkuh dan bongkak Presiden AS yang menganggap wang itu raja (cash is king). Popular juga sebenarnya frasa ini.
Trump telah memihak dan berbohong apabila berkata, “Israel mahu mengadakan rundingan damai dan Palestin juga mesti bersetuju untuk berbuat demikian.” Isunya banyak yang melakukan pencerobohan tanah dan menzalimi rakyat Palestin adalah Israel. Sekiranya Israel tidak berbuat demikian, telah lama wujud kedamaian di situ.
Dalam Twitternya, Trump berkata, peruntukkan bantuan AS$65 juta kepada Palestin itu akan dialihkan untuk tujuan penyediaan makanan, kesihatan dan pendidikan di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Syria, Jordan dan Lebanon. Bagaimanapun AS masih menunggu reaksi seterusnya daripada Mahmoud Abbas untuk memberikan kata putus.
Sebenarnya tindakan menghentikan bantuan kepada Palestin juga dibuat ekoran penentangan berterusan Palestin dengan rancangan Trump mahu memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Jerusalem. Tindakan itu dilihat sebagai provokasi untuk mengiktirafkan Jerusalem sebagai milik Israel.
Mahmoud Abbas tetap bertegas menolak rundingan damai. “Pergi jahanam dengan wang kamu,” demikian ketegasan Mahmoud Abbas sebagai reaksi tindakan Trump menghentikan bantuan tersebut.
Awal minggu lalu para pemimpin Palestin menolak untuk bertemu Naib Presiden AS, Mike Pence yang mengadakan lawatan ke wilayah yang bergolak dan merupakan lawatan pertama sejak 1993. Ketika Mike Pence mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Iarael, Mahmoud Abbas terbang ke Brussel untuk meminta sokongan 28 negara dalam Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Hakikatnya siapa sahaja yang menjadi Presiden AS mesti mengikut telunjuk pelobi-pelobi Yahudi yang menentukan siapakah yang menjadi Presiden. Trump atau Barack Obama tidak terlepas dengan kongkongan Yahudi. Semua dasar luar Presiden AS tidak terkeluar dari lingkaran kepentingan Yahudi seluruhnya termasuk dalam soal Israel.
Maka ugutan Trump dilihat bukan suatu yang luar biasa dalam konteks Presiden yang dikepung oleh pelobi-pelobi Yahudi. Palestin akan terus berjuang dan secara logiknya, sejak 1948 ditindas dan dizalimi, Palestin sudah hilang di dunia. Tetapi hakikat adalah sebaliknya. Palestin percaya pada semangat perjuangan demi agama, bangsa dan negara.