Gambar hiasan

Apa di sebalik isu teksi?

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Sebenarnya yang menjerit dan terpekik terlolong kononnya pendapatan pemandu teksi terjejas dengan adanya Grab dan Uber bukanlah pemandu teksi. Malah yang memberikan gambaran seolah-olah perkhidmatan teksi akan berkubur juga bukan pemandu teksi. Yang bimbang dengan kemunculan Grab Car dan Uber yang lebih sistematik dan perkhidmatan yang selesa ialah sesetengah syarikat teksi.

Grab dan Uber memang menjejaskan pendapatan pemandu teksi. Tetapi yang paling terjejas ialah syarikat teksi. Sebab itu mereka seolah-olah cacing kepanasan. Mereka mendapat permit kemudian disewakan kepada pemandu teksi. Bayangkan apakah yang berlaku apabila semakin banyak pemandu teksi beralih menjadi pemandu Grab dan Uber. Inilah yang sebenarnya, bukan memperjuangkan nasib pemandu teksi.

Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, jumlah pemandu teksi persendirian sangat sedikit. Sebahagian besarnya menyewa daripada syarikat-syarikat tertentu dengan kadar sewa yang sangat membebankan. Sudahlah sewa tinggi, teksi dibiarkan macam dalam keadaan tidak terurus. Faktor-faktor inilah yang membuatkan orang memilih Grab atau Uber selain kemahiran komunikasi yang tinggi pemandunya.

Syarikat-syarikat teksi juga tidak memantau perangai sesetengah pemandu yang “sembelih” penumpang dengan harga yang tidak munasabah . Banyak pelancong dari luar negara menjadi mangsa mereka. Pemandu teksi “ulaq ayaq” begini tidak diambil tindakan oleh syarikat.

Kalau sesiapa hendak merasa seronok kena “sembelih” cubalah tanya sesetengah pemandu di depan Pasar Budaya. Banyak pemandu bersidai di teksi masing-masing yang bersedia untuk “menyembelih” penumpang dengan muka yang selamba dan tanpa rasa bersalah.

Syarikat memperalatkan atau lebih tepat lagi menunggang pemandu teksi untuk memperjuangkan kepentingan mereka. Teriakan dan lolongan mereka disambut oleh pihak yang berkepentingan dalam politik.

Pada Januari lalu (sebelum PRU14) pemandu teksi mengugut kerajaan dengan kata dua sama ada Grab dan Uber ditiadakan atau semua undi pemandu teksi di seluruh negara diberikan kepada pembangkang. Bagaimanapun kerajaan tidak tunduk dan tidak pula timbul isu yang boleh memberi simpati kepada pemandu teksi. Tidak dibesar-besarkan isu pendapatan pemandu teksi RM10 sehari.

Advertisement

Sebenarnya banyak yang simpati dengan nasib pemandu teksi dalam persaingan dengan perkhidmatan yang jauh lebih cekap dan mudah oleh Grab dan Uber. Tetapi sikap sesetengah teraju syarikat teksi membuatkan orang hilang simpati malah marah dengan keangkuhan mereka. Mereka lebih banyak membuat provokasi daripada berunding.

Syarikat teksi perlu realistik dengan perubahan teknologi yang berlaku dengan pesatnya. Tidak adillah untuk memaksa orang menerima perkhidmatan cara lama sedangkan ada yang lebih mudah dan selesa. Kalau kerajaan mansuhkan Grab dan Uber, adakah pemilik syarikat teksi boleh memberi jaminan perkhidmatan mereka setaraf itu?

Suatu ketika dulu perkhidmatan bas mini menjadi nadi pada Kuala Lumpur. Bas mini pantas macam lipas kudung tetapi tidak selesa. Kasut dan baju menjadi comot dirempuh orang. Tetapi pemilik syarikat bas mini akur dengan perubahan apabila kerajaan memperkenalkan sistem pengangkutan bas Intrakota yang lebih selesa.

Berbeza dengan syarikat teksi. Khabarnya semua pemandu teksi akan melancarkan mogok untuk melumpuhkan Kuala Lumpur. Hebat. Tetapi ini bukan perangai yang baik dan akal budi meraikan rundingan. Ini ugutan dan yang mengeluarkan kata-kata itu amat rendah pekertinya. Maaf cakaplah, orang tidak peduli pun kalau hendak mogok. Sehari, seminggu atau sebulan? Silakan. Cuma kita semua kasihan kepada pakcik-pakcik pemandu teksi yang tidak tahu apa-apa. Mereka menjadi mangsa.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *