Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Apakah masih ada orang Cina yang dilahirkan di negara ini masih belum boleh berbahasa kebangsaan? Kalau benar, mereka yang berkenaan perlu mencermin diri dan melihat taraf warganegara dalam kad pengenalan. Kalau ini tidak benar, kenapa mesti ada papan tanda tulisan Cina di Shah Alam?

Bukan sahaja Shah Alam malah di mana-mana tempat di negara ini menjadi sangat aneh sekiranya tulisan selain bahasa Melayu mengambil tempat yang rasmi penggunaannya. Di Pulau Pinang, Ipoh malah di Jinjang sekalipun hanya bahasa Melayu diletakkan pada penggunaan yang rasmi.

Siapakah yang memutuskan papan tanda jalan bertulisan Cina di Shah Alam? Secara munasabahnya mesti ada kelulusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Adakah wujud tekanan politik ke atas MBSA supaya meluluskan papan tanda jalan bertulisan Cina ini? Kalau ada, siapa mereka? MBSA tidak perlu teragak-agak untuk menamakan mereka itu.

Papan tanda jalan tulisan Cina di Shah Alam adalah satu perbuatan biadab yang menyamakan bahasa Cina dengan bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Melayu bukan lagi bahasa untuk orang Melayu tetapi semua warganegara Malaysia. Semua yang berlaku ini bukan disebabkan kurang kefahaman tetapi kesengajaan untuk meluaskan penggunaan rasmi bahasa selain Melayu.

Sebenarnya tidak ada keperluan langsung untuk mengadakan tulisan Cina di papan tanda jalan di Shah Alam yang letaknya di Malaysia. Kalau Shah Alam itu letaknya di Taiwan atau Hong Kong, memang kena pada tempatnya. Tetapi di Malaysia sepatutnya semua warganegara menghormati bahasa kebangsaannya.

Mereka yang cuba merendahkan bahasa kebangsaan adalah warganegara yang lupa asal usul, dilahirkan, dibesarkan dan berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyekat kaum tertentu menggunakan bahasa ibunda untuk tujuan tidak rasmi. Sepatutnya kelonggaran itu diraikan dengan tidak melancarkan suatu yang bertujuan provokasi.

Papan tanda jalan adalah untuk tujuan rasmi. Kita tunggu apakah reaksi Datuk Bandar Shah Alam, Ahmad Zaharin Mohd Saad hingga papan tanda jalan tulisan Cina pun boleh terlepas daripada pemantauannya. Ahmad Zaharin mesti bertanggungjawab dan mencari pertualang yang cuba melemparkan provokasi menyamakan bahasa Cina dengan bahasa Melayu.

Sembah terima kasih tidak terhingga kepada Sultan Selangor yang menitahkan supaya papan tanda tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan digantikan dengan bahasa Melayu sahaja. Titah itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda, Mohamad Munir Bani melalui surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Mohd. Amin Ahmad Ahya dan juga Datuk Bandar Shah Alam, Ahmad Zaharin Mohd. Saad.

Dalam surat itu, Sultan Selangor menitahkan supaya kerja-kerja menanggalkan semua papan tanda jalan bertulisan Cina tersebut dibuat dengan segera dan mesti diselesaikan sebelum 11 Disember, iaitu tarikh ulang tahun keputeraan baginda.

Pada sisi yang lain, orang Melayu perlu mengambil teladan daripada sikap orang Cina terhadap hal-hal kebudayaan dan kebahasaan. Sesetengah orang Melayu tidak mengendahkan bahasa ibundanya yang diangkat menjadi bahasa kebangsaan. Tetapi orang Cina sangat mengambil berat tentang bahasa ibunda dan juga budaya mereka.

Tanpa kepedulian yang sewajarnya kedudukan tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan pun tidak ada maknanya. Kepedulian orang Melayu terhadap bahasa Melayu bukan satu tindakan rasis kerana bahasa Melayu adalah bahasa untuk semua. Jangan terlalu apologetik untuk meletakkan bahasa kebangsaan di tempat yang selayaknya.

Kalau papan tanda jalan tulisan Cina ini satu manifestasi pihak tertentu terhadap “Malaysia Baru”, nampaknya tujuan orang Melayu berpolitik sangat kabur, sedangkan orang Cina menggunakan landskap baru politik untuk melestarikan bahasa dan budaya. Orang Cina bukan tidak boleh berbahasa Melayu tetapi mereka terus mengangkat bahasa ibunda hingga ke peringkat rasmi.

Sesetengah pemimpin Melayu tentu tidak tersinggung atau marah kalau dikatakan nasib bahasa Melayu tidak menjadi melukut di tepi gantang seperti sekarang kalau bahasa itu dimiliki oleh orang Cina. Ini kerana sesetengah orang Melayu tidak ada kepedulian yang tinggi terhadap bahasanya.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *