Dr Madinah Mohamad

Semalam media telah memetik laporan satu sumber mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri, Najib Razak telah mengarahkan laporan audit 1MDB yang disediakan oleh bekas Ketua Audit Negara, Amrin Buang dipinda.

Berita itu juga memetik, sumber turut memberitahu, laporan itu mendedahkan Najib mengetahui salah urus tadbir dalam 1MDB yang bersangkut paut dengan campur tangan beliau dari segi pengurusan kewangan 1MDB. Sebagai reaksi pada laporan tersebut, Ketua Audit Negara, Dr Madinah Mohamad telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai perkara tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh Dr. Madinah yang dikeluarkan semalam (25 November):

PADA 23 November 2018, saya telah menyampaikan taklimat kepada Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamad dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016. Jemaah Menteri telah mengarahkan saya untuk mengeluarkan kenyataan media berkenaan perkara ini.

Berdasarkan kronologi yang disediakan oleh pasukan Audit 1MDB, Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM), bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh, pada 20 Februari 2016 te­lah meminta pasukan Audit 1MDB untuk mengemukakan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB untuk dibincangkan bersama bekas Perdana Menteri.

Seterusnya, pada mesyuarat dengan bekas Perdana Menteri pada 22 Februari 2016 di pejabat Perdana Menteri dengan kehadi­ran bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri bersama bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, bekas Perdana Menteri telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak penguat kuasa.

Sehubungan itu, pembentangan laporan tersebut kepada PAC yang dijadualkan pada 24 Februari 2016 telah ditangguhkan kepada 4 dan 7 Mac 2016.

Pada 23 Februari 2016, dalam satu mesyuarat di pejabat KSN yang dihadiri oleh bekas KSN, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri dan bekas Ketua Audit Negara, pasukan Audit 1MDB telah dimaklumkan bahawa kerajaan telah mengkategorikan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebagai satu krisis.

Seterusnya pada hari berikutnya, iaitu pada 24 Februari 2016, dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh bekas KSN, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN, bekas Ketua Audit Negara dan bekas Pengarah Audit telah membincangkan mengenai Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. Hasil perbincangan ini, beberapa perenggan lagi dalam laporan tersebut telah diarahkan untuk digugur dan dipinda.

Advertisement

Pada 25 Februari 2016, pasukan Audit 1MDB telah diarahkan oleh bekas KSN untuk menghadiri mesyuarat di pejabatnya bersama bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB bagi meneruskan perbincangan mengenai laporan tersebut di mana beberapa lagi penemuan yang dilaporkan telah digugurkan dan dipinda.

Seterusnya, pada sebelah petang hari yang sama, bekas KSN bersama bekas Ketua Audit Negara, bekas Pengarah Audit dan bekas Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB dan tiga pegawai lain telah meneruskan perbincangan me­ngenai laporan tersebut.

Seterusnya pada 26 Februari 2016, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri telah mengarahkan bekas Pengarah Audit untuk menggugurkan perenggan berkaitan kehadiran Low Taek Jho dalam salah satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB atas alasan ia sensitif dan untuk mengelakkan fakta diputar belit oleh pihak pembangkang.

Pada 28 Februari 2016, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas KSN telah meminta laporan tersebut yang telah dipinda, diserahkan kepada beliau.

Pada 29 Februari 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang telah dipinda telah dise­rahkan kepada bekas KSN. Pada 1 Mac 2016, bekas KSN telah me­ngarahkan pasukan Audit 1MDB sekali lagi hadir ke pejabat beliau untuk membincangkan semula laporan akhir yang telah dipinda. Semasa sesi ini, hanya bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB hadir dan beliau telah menyemak semula laporan tersebut secara terperinci bersama pasukan Audit dan meminta dibuat beberapa perubahan (gugur/pinda) lagi kepada laporan tersebut.

Pada 2 Mac 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah dicetak dan seterusnya pada 3 Mac 2016, dua (2) naskhah laporan tersebut telah diserahkan kepada bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas KSN. Pada 4 dan 7 Mac 2016, bekas Ketua Audit Negara telah membentangkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB di hadapan PAC. Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum pindaan telah diserahkan kepada SPRM dan PDRM untuk siasatan lanjut pada tahun 2018.

=======

Reaksi firma guaman Shafee & Co

Bagaimanapun firma guaman, Shafee & Co, yang mewakili bekas Perdana Menteri, Najib Razak, mendakwa pendedahan Ketua Audit Negara itu berhubung tindakan Najib mengarahkan laporan audit 1MDB dipinda adalah bersifat politik dan dibuat atas arahan Kabinet.

Dalam pada itu, Shafee & Co juga berkata, kenyataan oleh Ketua Audit Negara itu yang turut tidak disertakan dengan dokumen lain akan memberi gambaran terdapat percubaan untuk menutup sesuatu, yang mempengaruhi perbicaraan mahkamah kes rasuah yang berkaitan 1MDB.

Tambah kenyataan tersebut, sebarang kenyataan yang dibuat, terutamanya oleh kerajaan, perlulah mengambil kira hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan bebas tanpa pengaruh politik.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *