Oleh : Ku Seman Ku Hussain
Ada pengarah atau penerbit fiem dengan angkuh berkata, “Buatlah filem yang menepati selera penonton, jangan buat filem yang syok sendiri.” Memang betullah flem dibuat untuk ditonton kecuali filem pendek dan avant garde. Tetapi kena tanya juga siapa penonton itu?
Sebuah karya seni tidak bermakna kalau ia tidak dapat dihayati oleh khalayak. Malah tidak dinafikan penonton mempunyai kuasa yang sangat besar bagi menentukan jatuh bangun sesebuah filem di pawagam. Cuma persoalannya tahap peonton yang bagaimana untuk diangkat sebagai indikator “filem yang menepati selera penonton.?”
Filem yang baik hanya untuk penonton yang tinggi tahap apresiasinya. Kalau penonton itu pada masa yang sama menjadi peminat tegar segala program hiburan hedonisme dan drama buruk di televisyen, selama itulah filem yang baik tidak mendapat sambutan. Maka dilabelkan “tidak menepati selera penonton.”
Industri filem kita tidak memerlukan penonton yang seperti lalat. Kita perlu membina penonton seperti lebah yang mempunyai apresiasi tinggi yang tahu membezakan sampah dengan bunga.
Adakah hanya kerana mahu membangunkan “industri filem” maka penonton yang bersifat lalat ini diiktirafkan sebagai indikator filem yang seharusnya dihasilkan? Kalau beginilah keadaannya, letaklah siapa sekalipun Ketua Pengarah Finas atau Pengerusi Finas, akhirnya kita hanya menerbitkan filem yang disukai lalat. Ini tidak membangunkan khalayak.
Memang benar inilah fenomena semulajadi di seluruh dunia di mana penonton menentukan nasib sesebuah filem di pawagam. Lebih-lebih lagi bagi kilang filem di Hollywood. Filem di Hollywood semakin terhakis nilainya apabila darjat filem diturunkan setaraf sabun yang dihasilkan mengikut kehendak pengguna.
Majoriti penonton yang rendah wibawa dan apresiasi tidak akan mengubah filem yang buruk sebagai terbaik. Mereka hanya boleh menjadikan filem itu popular. Ini samalah dengan analogi selonggokan sampah yang dihurungi oleh beribu-ribu lalat. Tetapi nilai sampah tidak berubah menjadi baik sekalipun majoriti lalat suka pada sampah.
Tumpuan mesti digerakkan untuk membina atau melahirkan generasi penonton yang mempunyai apresiasi filem, citra seni dan budaya yang tinggi. Penonton mesti dibentuk atau dihasilkan bukan dibiarkan berkembang secara semula jadi dalam lingkungan hedonisme di televisyen.
Memang betul terlalu sukar untuk mengubah fenomena di mana seni popular seperti filem dinilai berdasarkan pilihan terbanyak. Tetapi kita boleh mengubah penilaian supaya lebih adil pada sesebuah karya yang baik dengan meningkatkan tahap apresiasi dalam kalangan penonton.
Maknanya mencatatkan kutipan tertinggi itu adalah perlu bagi sesebuah filem tetapi yang lebih penting siapa yang membuatkan kutipan box office itu? Tentulah kita mahu box office dicatatkan kerana ditonton oleh penonton bersifat lebah yang dapat membezakan bunga dengan sampah.
Pembangunan filem akan gagal malah berterusan meleburkan duit dari cukai yang dikutip daripada rakyat sekiranya tidak membentang model menambah nilai apresiasi dalam kalangan penonton. Secara relatifnya kita mempunyai karyawan bertaraf dunia (bukan bertaraf Hollywood).
Tetapi apalah ertinya filem yang baik kalau tahap majoriti penonton jauh lebih rendah dari mereka di negara dunia ketiga? Apa lagi dalam keadaan doktrin konsumerisme kapitalis di Barat khususnya Amerika telah lama meresap dalam kepala sebahagian besar pembuat dasar dan pembuat filem kita.
Birokrat filem wajar mengakui hakikat majoriti penonton filem kita sangat mundur. Bukan sekadar mengakui tetapi mengeluarkan mereka dari kemunduran. Mundur berfikir, malas membaca cuma kuat berhibur. Bayangkanlah filem bagaimana yang menjadi pilihan mereka?