Oleh: Ku seman Ku Hussain
Namakanlah apa sahaja terhadap perhimpunan terbesar di Kuala Lumpur Sabtu lalu, semua itu sudah tidak penting. Tujuan yang lebih utama ini adalah isyarat daripada Melayu Islam kepada pemimpin bukan Islam dalam kerajaan. Mereka kelihatan sangat biadab mengusik hak Melayu sebagai penduduk asal dan Islam sebagai agama Persekutuan.
Memang ada Melayu Islam yang sinikal terhadap perhimpunan itu. Abaikan. Itu bukan penting untuk diberi perhatian. Untuk sampai ke tempat yang dituju, jangan asyik membuang bunga kemuncup di kaki seluar, ini melambat atau sekaligus menggagalkan tujuan.
Agenda perhimpunan akan terpesong kalau melayan pandangan atau sinikal yang setaraf bunga kemuncup itu. Begitu juga dengan anggaran kehadiran oleh polis. Biarlah polis menganggarkan hanya 55 ribu sahaja yang hadir pada perhimpunan itu dengan maksud ‘tidak mendapat sambutan.’
Kalau dikatakan lima ribu sekalipun, angka sebenarnya sudah tidak relevan sama sekali apabila rakyat seluruh negara melihat visual secara ‘real time’ dari Kuala Lumpur di telapak tangan mereka. Ini buktinya.
Yang penting kebiadaban telah diajar dengan satu kebangkitan Melayu Islam seperti Sabtu lalu. Mereka yang bersikap sedemikian menjadi beban kepada kerajaan yang berusaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum.
Mesej dari perhimpunan ini, kenapa tidak singkirkan sahaja pemimpin yang tidak selari dengan aspirasi kerajaan? Pemimpin begini menjadi penghalang pada aspirasi kerajaan mewujudkan keharmonian kaum. Buktinya tindakan mendahului Kabinet dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hingga mencetuskan ketegangan kaum.
Bukan itu sahaja malah memaksa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meredakan ketegangan dengan menegaskan pendirian kerajaan tidak akan menerima ICERD. Tetapi ironinya individu yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan Melayu Islam dibiar tanpa tindakan.
Pedulikan tanggapan bahawa perhimpunan ini untuk kelangsungan politik UMNO dan Pas. Hakikatnya yang datang menunjukkan sokongan melampaui ahli kedua-dua parti itu. Oleh hal yang demikian kerajaan bukan sahaja perlu berjanji tetapi bertegas terhadap segala percubaan pihak tertentu mengusik Melayu dan Islam.
Perhimpunan ini memperlihatkan orang Melayu Islam telah keluar dari kepompong politik parti yang sempit. Mereka menjengah cara berpolitik yang menguntungkan kaum dan agama walau dengan apa parti politik sekalipun. Orang Melayu tidak wajar lagi dipisahkan oleh blok kerajaan dan pembangkang.
Parti-parti dominasi Melayu Islam dalam blok kerajaan misalnya PBBM dan PKR telah menyatakan pendirian menolak ICERD. Ini satu perkembangan yang menarik apabila mereka berjaya melepasi tabu politik kononnya penentangan ICERD agenda panjang umur UMNO dan Pas.
Maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa perhimpunan itu memperlihatkan kematangan Melayu Islam dalam berpolitik. Yang datang memperlihatkan sokongan tentunya bukan sahaja terdiri daripada penyokong UMNO dan Pas serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah penyokong-penyokong parti Melayu di blok kerajaan.
Mereka tidak memakai ‘baju politik’. Mereka datang sebagai Melayu, Islam dan pendokong keamanan. Begitulah cara berfikir yang sebaiknya dalam keadaan Islam dan Melayu difragmentasikan oleh fahaman parti yang sempit.
Yang memutihkan Kuala Lumpur adalah Melayu Islam yang bangkit keluar dari belenggu kepartian dan memberi isyarat tegas kepada pemimpin bukan Islam dalam kerajaan. Pemimpin berkenaan perlu mengambil perhatian terhadap isyarat ini. Kalau hendak biadab seperti pemimpin pertubuhan haram, keluar dari kerajaan.
Cuma yang mencalarkan perhimpunan itu adalah penampilan pemimpin-pemimpin parti – Presiden UMNO Zahid Hamidi, Presiden Pas Hadi Awang, bekas Presiden UMNO Najib Razak dan beberapa yang lain. Sepatutnya mereka tidak diberi ruang berucap, menonjol atau ditonjol dalam perhimpunan umat Islam ini.
Sementara itu Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof dalam tulisannya di portal Free Malaysia Today (FMT) 7 Disember memperoalkan agenda perhimpunan diteruskan setelah Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak menerima ICERD?
Kata Mujahid, ICERD adalah komitmen memerangi perkauman dan orang Melayu Islam seharusnya memberi mesej kepada dunia bahawa mereka bukan pengamal perkauman. Caranya dengan menyokong ratifikasi ICERD kerana konvensyen ini anti perkauman. Ah, mudahnya cara beliau berfikir.
Mujahid ternyata melihat perhimpunan itu dari ruang litup yang sempit da beku. perhimpunan bukan segalanya mengenai ICERD tetapi hanya salah satu daripada beberapa isu memperemehkan Melayu dan Islam yang dipendamkan selama ini.
Mujahid juga perlu realistik bahawa percubaan oleh puak-puak anti Islam dan Melayu tidak terhenti dengan kegagalan meratifikasikan ICERD . Malah akan wujud percubaan-percubaan lain pada masa depan. Malah lebih buruk lagi dengan keizinan dari sikap apologetik sesetengah pemimpin Melayu Islam dalam kerajaan. Inilah yang isyarat yang diberikan oleh perhimpunan ini. Membaca mesej dari tindakan sosial tidak semudah membaca mesej dalam telegram. Tolong faham jangan lari topik.