Sebahagian daripada orang ramai yang menyertai perhimpunan di Kuala Lumpur Sabtu lalu (GAMBAR BERITA HARIAN)
Perhimpunan disertai oleh peserta melampaui penyokong parti politik (GAMBAR ASTRO AWANI)

Oleh: Ku seman Ku Hussain

Namakanlah apa sahaja terhadap perhimpunan terbesar  di Kuala Lumpur  Sabtu lalu, semua itu  sudah tidak penting.  Tujuan yang lebih utama ini adalah isyarat daripada Melayu Islam kepada pemimpin bukan Islam dalam kerajaan.  Mereka kelihatan sangat biadab mengusik hak Melayu sebagai penduduk asal dan Islam sebagai agama Persekutuan.

Memang ada Melayu Islam yang sinikal terhadap perhimpunan itu. Abaikan.  Itu bukan penting untuk diberi perhatian.  Untuk sampai ke tempat yang dituju, jangan asyik membuang bunga kemuncup di kaki seluar, ini melambat atau sekaligus menggagalkan tujuan.

Agenda perhimpunan akan terpesong kalau melayan pandangan atau sinikal yang setaraf  bunga kemuncup  itu.  Begitu juga dengan anggaran kehadiran oleh polis. Biarlah polis menganggarkan hanya 55 ribu sahaja yang hadir pada perhimpunan itu dengan maksud ‘tidak mendapat sambutan.’

Putih mewrnai Kuala Lumpur Sabtu lalu (GAMBAR KOSMO)

Kalau dikatakan lima ribu sekalipun,  angka sebenarnya sudah tidak  relevan  sama sekali apabila  rakyat seluruh negara melihat visual secara ‘real time’  dari Kuala Lumpur di telapak tangan mereka.  Ini buktinya.

Yang penting kebiadaban telah diajar dengan satu kebangkitan Melayu Islam seperti Sabtu lalu.  Mereka  yang bersikap sedemikian menjadi beban kepada kerajaan  yang  berusaha mewujudkan perpaduan  dalam kalangan pelbagai kaum. 

Mesej dari perhimpunan ini, kenapa tidak singkirkan sahaja pemimpin yang tidak selari dengan aspirasi kerajaan? Pemimpin begini menjadi penghalang pada  aspirasi kerajaan  mewujudkan keharmonian kaum. Buktinya  tindakan mendahului Kabinet dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)  hingga mencetuskan ketegangan kaum.

Bukan itu sahaja malah memaksa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meredakan ketegangan dengan menegaskan  pendirian kerajaan tidak akan menerima  ICERD. Tetapi ironinya  individu  yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan Melayu Islam dibiar tanpa tindakan. 

Pedulikan tanggapan bahawa perhimpunan ini untuk kelangsungan politik UMNO dan Pas. Hakikatnya yang datang menunjukkan sokongan melampaui ahli kedua-dua parti itu.  Oleh hal yang demikian kerajaan bukan sahaja perlu berjanji tetapi bertegas  terhadap segala percubaan pihak tertentu mengusik Melayu dan Islam.

Perhimpunan ini memperlihatkan orang Melayu Islam  telah keluar dari kepompong politik parti yang sempit.  Mereka menjengah  cara berpolitik yang menguntungkan kaum  dan agama walau dengan apa parti politik sekalipun.  Orang Melayu tidak wajar  lagi dipisahkan oleh blok kerajaan dan pembangkang.

Parti-parti dominasi Melayu Islam dalam blok kerajaan misalnya PBBM dan PKR  telah menyatakan pendirian menolak ICERD.  Ini satu perkembangan yang menarik apabila mereka berjaya melepasi tabu politik kononnya penentangan ICERD  agenda panjang umur  UMNO dan Pas. 

Maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa perhimpunan itu memperlihatkan kematangan Melayu Islam dalam berpolitik. Yang datang memperlihatkan sokongan tentunya bukan sahaja  terdiri daripada penyokong UMNO dan Pas  serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah penyokong-penyokong parti  Melayu di blok kerajaan.

Mereka tidak memakai ‘baju politik’.  Mereka datang sebagai Melayu, Islam dan pendokong keamanan.  Begitulah  cara berfikir yang sebaiknya dalam keadaan  Islam dan Melayu  difragmentasikan oleh fahaman parti  yang sempit.  

Yang memutihkan Kuala Lumpur adalah Melayu Islam yang bangkit keluar dari belenggu kepartian dan memberi isyarat tegas kepada pemimpin bukan Islam dalam kerajaan.  Pemimpin  berkenaan perlu mengambil perhatian terhadap isyarat ini. Kalau hendak  biadab seperti pemimpin pertubuhan haram,  keluar dari kerajaan.

Cuma yang  mencalarkan perhimpunan itu adalah penampilan pemimpin-pemimpin parti – Presiden UMNO  Zahid Hamidi, Presiden Pas Hadi Awang, bekas Presiden UMNO Najib Razak dan beberapa yang lain.  Sepatutnya  mereka  tidak  diberi ruang  berucap, menonjol atau ditonjol dalam perhimpunan umat Islam ini. 

Advertisement

Sementara itu Menteri Jabatan Perdana Menteri,  Mujahid Yusof dalam tulisannya di portal Free Malaysia Today (FMT) 7 Disember memperoalkan  agenda perhimpunan diteruskan setelah Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak menerima ICERD?

Kata Mujahid, ICERD adalah komitmen memerangi perkauman  dan orang Melayu  Islam seharusnya memberi mesej kepada dunia bahawa mereka bukan pengamal perkauman. Caranya dengan menyokong ratifikasi ICERD  kerana  konvensyen ini  anti perkauman.  Ah, mudahnya cara beliau berfikir.

Mujahid ternyata melihat perhimpunan itu dari ruang litup yang sempit da beku.  perhimpunan bukan segalanya mengenai ICERD tetapi hanya salah satu daripada beberapa isu  memperemehkan Melayu dan Islam yang dipendamkan selama ini. 

Mujahid juga perlu realistik bahawa percubaan  oleh puak-puak anti Islam dan Melayu tidak terhenti dengan  kegagalan meratifikasikan ICERD .  Malah akan wujud percubaan-percubaan  lain pada masa depan. Malah lebih buruk lagi  dengan keizinan dari sikap apologetik sesetengah pemimpin Melayu Islam  dalam kerajaan. Inilah yang isyarat yang diberikan oleh perhimpunan ini.  Membaca mesej dari tindakan sosial tidak semudah membaca mesej  dalam telegram.  Tolong faham jangan lari topik.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *