Gambar hiasan

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Kapitalis  serakah boleh hidup  dan mengaut keuntungan dalam masyarakat yang mundur pemikirannya.  Dalam masyarakat yang mundur daya fikir,  bila ada yang kreatif  berfikir tentu mendapat manfaatnya. Kemunduran ini bukan sahaja berlaku dalam masyarakat luar bandar tetapi juga di kota-kota besar yang kelihatan maju dan moden. 

Kemunduran ini membawa wanita  mudah tersihir dan dieksploitasi  oleh mimpi-mimpi yang streotaip mengenai kecantikan.  Mimpi-mimpi ini dicipta, dibina dan dijaja oleh kapitalis demi perniagaan mereka. Kerana pemikiran tidak kritis dan  pengetahuan terbatas, dengan mudah  pula menerima definisi kecantikan yang stereotaip sebagai satu pegangan.

Kemudian ditambah dengan hebat dan agresifnya  budaya konsumerisme yang digerakkan oleh kapitalis yang tamak.  Mereka menjaja  bahawa kecantikan itu adalah berkulit putih dan bertubuh langsing. Malah yang lebih teruk lagi memaksa wanita dinilai kecantikan luaran bukannya daripada sifat dan sikap dari laras agama, budaya dan moral.

Sebenarnya kecantikan itu adalah satu pakej –  tinggi dan jauh pemikirannya serta  memiliki sosok zahir yang mempesona dari sudut pandang  agama dan budaya.   Tetapi sekarang sudah terbina  tanggapan yang tidak bertanggungjawab – berkulit putih dan bertubuh langsing disekutukan dengan kejayaan dan kecemerlangan.  

Sementara berkulit gelap  sengaja digambarkan berada dalam kegelisahan kerana ‘kekurangan’  itu.  Tanggapan berkulit gelap itu satu masalah sudah diterima umum khususnya di negara ini. Ini satu  peluang untuk memasarkan  produk pemutih.  Demikianlah mudahnya kejayaan pada tanggapan wanita jenis ini.

Apabila melihat kecenderungan wanita  jenis ini pada program murahan di televisyen, kapitalis  menyokong program seperti ini dengan membeli iklannya.Bertambah banyak menonton maknanya semakin meningkat  kepercayaan wanita terhadap makna stereotaip terhadap kecantikan.

Disebabkan kecantikan daripada definisi yang salah  itu juga  membuatkan wanita kerap menjadi mangsa.  Mereka ini sangat naif tentang hak sebagai pengguna,  tidak mengambil tahu tentang kesihatan dari sumber yang berwibawa dan terlalu percaya dengan pseudoscience.  Mereka juga jenis kurang membaca (buku) dan hanya membaca laman sosial.

Cantik? Apa itu cantik? Adakah cantik itu hanya berkulit putih dan bertubuh langsing  sahaja? Bagaimanapun kalau ditanya sesetengah dalan kalangan wanita  terutama yang mundur pemikiran,  itulah makna kecantikkan yang mereka faham dan impikan.  

Di mana-mana negara sekalipun kemunculan kapitalis serakah di tengah-tengah masyarakat yang mundur pemikiran bukan suatu yang luar biasa.  Dengan strategi pemasaran yang sangat menyakinkan,  bermulalah kerja mengaut keuntungan daripada perbuatan yang tidak menyalahi undang-undang tetapi tetap  tidak moral.

Advertisement

Wanita mundur berfikir  tidak  akan bertanya kenapa produk pemutih kulit tidak dipasarkan di negara-negara  yang majoriti  wanitanya berkulit gelap seperti di Afrika?  Bukankah berkulit putih itu baik untuk wanita? 

Kajian mengenai pengiklanan di Amerika Syarikat  yang dibuat beberapa tahun lalu mendedahkan bahawa 95 peratus individu yang muncul dalam iklan adalah wanita. Daripada 95 peratus itu, 78 peratus pula mereka yang terdiri daripada yang bertubuh langsing dan berkulit putih.

Iklan yang mempunyai hubungan erat dengan kapitalis. Inilah yang boleh mengubahkan sudut pandangan masyarakat  terutama wanita yang mundur pemikirannya terhadap  kecantikan  apabila disogok berulang kali hingga seolah-olah  benar.  

Kemunduran berfikir membuatkan wanita  berkulit gelap itu satu masalah kepada wanita  di seluruh pelosok dunia.  Pandangan dunia mereka sangat kecil kerana tidak memboloskan diri di  luar lingkaran yang stereotaip. Mereka hanya mengunyah apa yang disuapkan sahaja.  Kerana itu mereka mudah dimangsai  dalam budaya konsumerisme.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *