Gambar hiasan

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Kepada sekelian bangsa Melayu yang  nenek moyangnya merantau ke luar tanah alam Melayu,  sedarlah akan hakikat pendatang.  Walaupun sudah tujuh keturunan di tanah luar alam Melayu,  di sana bangsa Melayu tetap asalnya bangsa pendatang.  Tidak perlu terloncat-loncat melenting apabila dikatakan ‘bangsa pendatang’.

Menjadi pendatang bukan kesalahan jauh sekali kehinaan sekiranya kita  tidak bercita-cita memijak kepala bangsa asal.  Ini suatu yang alami atau berlaku secara semulajadi. Ini migrasi manusia di atas muka bumi ini ke luar  alam budaya asalnya.

Saya menulis ini kerana terkenang diaspora bangsa kita, bangsa Melayu ke luar alam budaya di gugusan kepulauan Melayu.  Banyak Melayu berada di luar lingkaran alam Melayu dan mereka adalah pendatang pada tanah barunya.  Banyak yang berjaya tetapi masih terjaga pekerti dan tidak menggoreskan hati bangsa asal.

Belum terdengar perilaku tidak senonoh misalnya mengangkat penyapu menghalau bangsa asal di kota-kota supaya lari ke  hutan. Tidak pernah.  Ini tidak pernah dilakukan oleh pendatang Melayu di tanah barunya.  Tetapi di tanah asal kita  ada pendatang yang  mahu meminda sejarah,  Melayu juga pendatang, kata mereka.

Makna sebenar ‘pendatang’ adalah  bangsa yang datang dari luar lingkaran budaya dan sosial  sesuatu tempat. Misalnya  orang Melayu yang ratusan tahun dulu datang ke  Australia, Britain, Sri Lanka, Afrika Selatan, Surinam, Madagascar,  Perancis dan Belanda. Mereka adalah pendatang kerana di luar lingkaran budaya dan sosial  tempat yang ditumpangi atau didatangi.

Maka sedarlah,  sebagai bangsa pendatang di tanah luar alam Melayu jagalah pekerti supaya bangsa Melayu tidak dicaci. Jangan sama sekali meminjam sifat  pokok  parasit yang  menumpang tetapi akhirnya membunuh pokok asal.  Itu bukan citra dan sifat terpuji  bangsa Melayu yang terbukti  bukan bangsa penakluk atau penjajah.

Jangan menjadi kaduk yang mahu menguasai junjung di negara yang ada bangsa asalnya.  Sifat kaduk ini amat hina dan jangan sekutukan kehinaan itu dengan bangsa Melayu nenek moyang kita  yang merantau dulunya.  Tidak ada bangsa yang menjadi pendatang di tempat barunya kecuali  mahu mencari kehidupan yang lebih baik.  Maka bersyukurlah dengan keterbukaan bangsa asal yang  menerima kita.

Jangan mengusik perkara-perkara yang menggores perasaan bangsa asal kerana mereka  yang lebih berhak di atas tanah airnya.  Tidak perlulah memperjuangkan kesamarataan kerana   ini bukan satu keadilan kepada bangsa asal. Mana mungkin boleh disamaratakan antara pendatang dengan bangsa asal?  Sama rata bukan keadilan.

Melayu dalam konteks ini bukan sahaja Melayu yang tercatat dalam kad pengenalan Malaysia.  Itu hanya Melayu yang telah difragmentasikan oleh penjajah. Bangsa Melayu adalah satu rumpun bangsa yang memdominasi alam Melayu Nusantara.  

Advertisement

Ternyata banyak  dalam kalangan bangsa Melayu yang berjaya di negara luar alam Melayu malah mengatasi bangsa asal.  Tetapi mereka sedar diri dan tidak bercita-cita mahu menjadi tuan, mengubah itu dan ini di negara yang ditumpanginya.  Tidak menuntut sekolah  pengantar bahasa ibunda Melayu khusus untuk Melayu.

Tidak ada agenda untuk menggantikan bahasa asal  dengan bahasa Melayu,  tidak bertindak biadab mengagung-agungkan bahasa Melayu  melampaui bahasa kebangsaan negara yang ditumpangi dan tidak bercita-cita menulis semula  kurikulum pelajaran sejarah negara  yang ditumpangi untuk  menonjolkan Melayu.

Berbanggalah menjadi bangsa pendatang  yang turut menyumbang kemajuan di  tempat yang ditumpangi.  Tumpahkan kesetiaan walau kita masih ada tanah  asal di gugusan kepulauan Melayu atau Nusantara.  Jangan membuat onar untuk ‘memelayukan’  tempat yang ditumpangi.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

4 thoughts on “Surat terbuka kepada pendatang Melayu”
  1. Kesedaran patut difokus tentang bahaya dan kemungkinan-kemungkinan akan berlaku dengan adanya bangsa pendatang yang bercita-cita besar dan jahat untuk cuba mengambilalih dan mengenepikan hak-hak Melayu ditanahair mereka sendiri, bukannya sekadar memberikan gambaran sikap Melayu yang baik menjadi pendatang ditempat lain yang tidak akan memberi kesedaran pada bangsa yang menjadi sasaran di negara ini..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *