Sultan Nazrin bersama-sama keluarga.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Ungkapan ‘raja berjiwa rakyat’  dalam keadaan tertentu  sudah menjadi sangat klise  kerana tidak menggambarkan makna dan tafsiran yang  sebenar.  Sesetengah pihak menggunakan ungkapan ini secara melulu, barangkali kerana lunak disebut, didengar atau ditulis. 

Oleh yang demikian kita harus berhati-hati untuk memetik  dan meletakkan ungkapan manis ini  kemudian diletakkan pada sosok peribadi yang tepat sekaligus membawa maksud yang manis juga  kepada rakyat.  Perlu mengelak daripada meneruskan klise yang hilang makna.

Tetapi raja atau sultan tidak perlulah menjadi rakyat untuk menepati  ‘raja berjiwa rakyat.’ Memadailah memahami denyut nadi dan kesusahan rakyat apabila menganjurkan acara-acara tertentu yang menjurus kepada pembaziran. 

Oleh yang demikian sekalian rakyat sangat terharu apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  yang menaiki takhta pada 29 Mei 2014 pernah menitahkan meminta supaya acara pertabalan baginda dibuat secara sederhana. 

Baginda menekankan perubahan pemikiran dalam kalangan pentadbir dan rakyat bahawa istiadat pertabalan bukan satu pesta untuk bersuka-suka. Sebaliknya  bagi baginda,  istiadat ini untuk memperingatkan tentang sejarah negara bangsa yang memiliki dan telah membina tamadun, berlandaskan adab yang bertiangkan adat.

Sultan Nazrin ketika melancarkan buku tulisan Profesor Dr Chandra Muzaffar baru-baru ini.

Difahamkan baginda menitahkan supaya menggunakan apa yang ada untuk acara pertabalan supaya tidak membazirkan duit rakyat. Sebab itulah pintu gerbang yang lama terus digunakan,  bukan mendirikan yang baharu yang sudah tentu menelan belanja yang bukan kecil sekalipun kerajaan negeri mempunyai peruntukan untuk itu.

Sultan Nazrin memperlihatkan sosok peribadinya sebagai seorang yang berjimat cermat dan memilih kesederhanaan dalam berbelanja. Baginda tidak memperagakan kemewahan seperti sesetengah dalam kalangan orang istana. Semua ini tentunya lahir daripada keinsafan baginda terhadap kesusahan hidup sesetengah dalam kalangan rakyat.

Ini menepati konsep  ‘raja berjiwa rakyat’ dan semua ini tidak perlu dijaja kepada media kerana rakyat sendiri dapat menghayati prinsip baginda yang mendahulukan rakyat berbanding kepentingan peribadi dan acara gilang gemilang yang menjurus kepada pembaziran. 

Baginda pernah menitahkan, “Pada era tahap literasi rakyat sudah semakin tinggi dan sumber pengetahuan sudah bertambah luas, dalam persekitaran demokrasi yang menuntut kepada amalan ketelusan dan keterbukaan, menegaskan penting­nya sifat integriti yang tidak memberikan sebarang imuniti kepada perbuatan salah laku, salah guna kuasa dan korupsi oleh sesiapa sekalipun.”

Advertisement

Penegasan Sultan Nazrin memperlihatkan baginda  berusaha menyuntik satu sudut pandangan yang dinamik bahawa dalam memperjuangkan kebolehpercayaan, tidak ada siapa pun yang terkecuali waima dalam kalangan golongan istana. 

Sultan Nazrin amat prihatin dengan masalah rakyat.

Ini sangat penting kerana terdapat tanggapan banyak pihak mengatakan golongan istana kebal daripada tindakan dan undang-undang hanya untuk rakyat marhaen.  Dengan pengalaman yang diterokai dan pemikiran intelektual yang dimiliki, baginda memberikan contoh yang baik dalam kalangan istana supaya institusi raja terus dihormati.

Untuk menjadi pemimpin yang baik,  ilmu adalah tanda arasnya.  Baginda  bertungkus lumus berusaha mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford,  kemudian diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard.

Baginda  juga menaikkan nama negara apabila menjadi Felow Kehormat Worcester College, Universiti Oxford dan juga Magdalene College dan St Edmund’s College, Universiti Cambridge  selain menjadi Ahli Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford.

Institusi raja perlu terus dipertahankan dan dimurnikan pada era permodenan dalam pemikiran politik dan sosial di negara ini. Dan golongan istana sendiri perlu melakukannya supaya institusi ini tidak tercemar dengan perlakuan-perlakuan yang tidak sepatutnya. Malah perlu menjadi contoh insan yang berpekerti mulia dalam usaha membina masyarakat yang berperadaban tinggi.

Dalam hubungan ini Sultan Nazrin dilihat memainkan peranan sangat penting untuk menggerakkan perubahan. Dalam masa sama baginda juga menyuntik satu tanggapan baharu terhadap institusi raja supaya tidak terpisah dengan rakyat jelata di sebalik tembok istana. 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *