Oleh Ku Seman Ku Hussain
PENGARANG buku ini, Syed Naquib al-Attas antara sejumlah kecil ahli falsafah dan pemikir Islam negara ini yang berpaksikan ilmu sains Islamik tradisional. Malah beliau juga tokoh yang bertanggungjawab mengasas falsafah mengislamkan ilmu pengetahuan. Syed Naquib yang menekuni kajian bidang agama, sosial, sejarah sains tetapi tidak ketinggalan bidang kesusasteraan khususnya sastera klasik.
Syed Naquib menghasilkan buku pertamanya Rangkaian Ruba’iyyat yang diterbitkan tahun 1959 dan karya klasiknya, Some Aspects of Sufism as Understood and Practised Among the Malays tahun 1963.
Kemudian menyusul tesis sarjananya, The Mysticism of Hamzah Fansuri menjadi antara karya yang penting dan komprehensif malah mencetuskan kontroversi dalam kalangan pemikir sufi. Ketiga-tiga buku terawal ini telah memancarkan pemikiran besar Syed Naquib.
Beliau memperlihatkan keupayaan tinggi dari segi falsafah untuk menyelesaikan beberapa masalah penafsiran mengenai sejarah Islam di alam Melayu. Pendekatan Syed Naquib menyusuri sejarah tidak sahaja bersandarkan kepada fakta. Beliau juga asas logik dan hujah-hujah yang mencetuskan satu penemuan baharu dalam mencari jawapan terhadap sesuatu.
Memanglah hujah Syed Naquib mencetuskan kontroversi tetapi yang menariknya tidak membawa kepada kontroversi yang memperemehkan tahap akademiknya. Syed Naquib menganggap sastera klasik seperti Hikayat Raja Pasai dan Sejarah Melayu menuntut penafsiran untuk disimpulkan maksudnya.
Bukunya, Historical Fact and Fiction memperlihatkan kelangsungan beliau mengupas sisi demi sisi dan menolak beberapa kenyataan orientalis Barat mengenai penyebaran Islam di alam Melayu. Buku ini membawa satu penemuan baharu bahawa penyebaran Islam di alam Melayu bukan oleh pedagang-pedagang Arab seperti yang didakwa oleh banyak orientalis Barat.
Beliau mengemukakan bahan bukti dan hujah bahawa penyebaran Islam ke negara ini jauh lebih awal daripada kemasukan pedagang Arab pada zaman kegemilangan Melaka. Agama Islam di alam Melayu termasuk negara ini disebarkan oleh orang Arab keturunan Nabi Muhammad dan Syed Naquib menurunkan bukti dan analisis bahawa orang Arab keturunan Abu Bakar dan Ali bin Abu Talib banyak terdapat di Mengiri di timur jauh India pada kurun kelapan dan kesembilan Masihi.
Buku ini antara lain memperlihatkan pemikiran silam yang tertuang dalam Hikayat Raja Pasai mengenai penyebaran Islam di alam Melayu tetapi tidak diberi perhatian yang serius oleh sejarawan, tidak kira Timur atau Barat. Padahal dalam Hikayat Raja Pasai menyebut mengenai Nabi Muhammad SAW yang memerintahkan supaya agama Islam dibawa ke Samudra selepas baginda wafat.
Di manakah Samudra? Daripada kajian dan analisis serta asas logik Syed Naquib, Samudra adalah Sumatra. Hujahnya walaupun “samudra” dalam bahasa Sanskrit bermaksud laut yang mewajarkan berubah menjadi “sumatra” tetapi Sumatra bukan daripada perkataan samudra. Sebaliknya nama Sumatra tercetus daripada dua perkataan Melayu iaitu “semut” dan “raya” (besar) dalam Hikayat Raja Pasai untuk menggambarkan semut sebesar kucing.
Dengan mengambil kira catatan yang terdapat dalam Hikayat Raja Pasai dan Sejarah Melayu, Syed Naquib percaya penyebaran Islam ke Sumatra dalam garis masa antara kurun ke sembilan dan ke sepuluh Masihi. Ini ternyata jauh lebih awal daripada kemunculan Melaka sebagai pusat perdagangan pada kurun ke 14 Masihi. Suatu yang penting daripada hujah logik Syed Naquib ini adalah penyebaran Islam dilakukan oleh pendakwah susur galur Nabi Muhammad.
Buku ini menjadi satu khazanah penting di alam Melayu dengan memanfaatkan kembali catatan-catatan dalam karya klasik. Sebabnya karya-karya ini bukan fiksyen tetapi bersandar kepada beberapa peristiwa sebenar. Maka di sinilah peri pentingnya kearifan memanfaatkan pemikiran logik dan ilmu persejarahan untuk mengutip maksud yang terlindung daripada mata zahir.
Sudah sampai masanya catatan sejarah daripada sudut pandangan Barat dinilai dan dikaji semula oleh tokoh tempatan seperti yang dilakukan Syed Naquib. Kebergantungan kepada orientalis Barat telah mengelirukan banyak fakta sejarah di alam Melayu. Keberanian dan iltizam Syed Naquib mengemukakan sudut pandangan baharu adalah suatu yang sangat membanggakan malah wajar diteruskan oleh pemikir lain.
Buku Historical Fact and Fiction adalah sebuah kajian ilmiah. Ia bukan sahaja mencabar pengarang untuk menuangkan sebanyak mungkin hujah dan fakta sandarannya, malah mencabar pembaca untuk menyusuri pemikiran sejarah yang sangat kompleks itu. Tetapi pada masa yang sama kita tidak dapat menafikan keberuntungan memiliki buku yang membuka lembaran baharu Islam di alam Melayu.
Selain itu sikap tidak ambil kesah terhadap karya-karya klasik Melayu seperti Hikayat Raja Pasai, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan banyak lagi sangat merugikan. Karya klasik ini tidak berdiri hanya dengan keupayaan fiksyen yang tinggi. Ternyata banyak fakta yang boleh dijadikan sandaran untuk melihat rupa jiwa bangsa Melayu dan agama Islam di alam Melayu zaman lampau.
Untuk mengetahui siapakah Parameswara dan dari manakah asal usul nama Melaka yang kononnya dari sebatang pokok bernama “melaka”, Syed Naquib memberi jawapannya. Begitu juga asal usul nama “Melayu”, dalam Historical Fact and Fiction pembaca akan menemui sesuatu yang tidak ditemui sebelum ini.
Malah buku ini boleh dianggap menulis semula sejarah manusia dan penyebaran Islam di alam Melayu yang lebih tepat bersandarkan sejarah longgar dalam karya klasik. Buku ini juga membuktikan sejarah alam Melayu perlu dilihat daripada sudut pandangan pemikir dan tokoh sejarah tempatan tanpa membuang terus pensejarahan dari sudut pandangan Barat.