Oleh: Rozais Al Anamy

JATUHNYA Patani dalam genggaman Siam (Thailand) pada tahun 1785, diikuti dengan perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909 merupakan titik permulaan kepada kesengsaraan orang Melayu Islam Patani. Penindasan dan kekejaman yang menjurus kepada pembersihan etnik dilakukan tanpa rasa perikemanusiaan oleh tentera. Bermula dengan campurtangan dalam bidang agama, pendidikan, budaya, bahasa dan cara hidup; akhirnya mereka dihina dengan gelaran pengganas, militan dan lebih menyakitkan ialah “khoon keek” (pendatang).

Saudara Islam kita di Tanah Selatan dinafikan hak untuk melakukan aktiviti keagamaan dan mengamalkan cara hidup sebagai Muslim. Solat di masjid menjadi satu kecurigaan kepada pemerintah. Tokoh ulama seorang demi seorang hilang tanpa jejak dan difahamkan ini angkara tentera yang mahu melemahkan pergerakan pejuang Islam yang menuntut hak.

Bukan sahaja dinafikan kuasa politik untuk mendapat status wilayah autonomi, mereka malah ditindas dengan pembunuhan, pencabulan secara seksual dan tekanan psikologi seolah-olah mereka adalah pendatang haram. Siri pembersihan etnik dilakukan secara rapi oleh pemerintah untuk mengelabui mata dunia terhadap sifat tidak bertamadun mereka.

Namun tragedi kemanusiaan di daerah segenting kra itu kelihatan seperti terlepas dari pandangan badan dunia. Dunia seakan-akan memandang peristiwa luka yang berlaku saban zaman itu sebagai peristiwa kecil atau perselisihan anak-beranak, sedangkan apa yang berlaku di sana samalah dengan perjuangan rakyat Palestin. Mereka di Tanah Selatan sedang berjuang untuk agama dan tanah air mereka.

Ketika kaum minoriti di negara kita membuat pelbagai tuntutan untuk kepentingan kaum mereka, merebut kuasa ekonomi dan politik daripada kaum teras; minoriti Islam di Tanah Selatan hidup terseksa kerana dinafikan hak sebagai warganegara. Lebih malang, mereka dilabelkan sebagai militan, walhal hakikatnya merekalah pejuang yang melindungi Islam daripada terus ditindas dan dizalimi oleh pihak tentera.

Banyak ulama dan anak muda yang syahid kerana mempertahankan agama dalam siri perjuangan membebaskan Patani. Tragedi subuh hening di Masjid Kresek atau tragdedi Takbai yang mengakibatkan ratusan orang Islam dibunuh tentunya tidak mudah luput di ingatan kita yang mempunyai rasa dan jiwa. Dalam hubungan jiwa,  mereka adalah saudara kita yang kedudukan geografi juga  terlalu hampir dengan Kelantan, Kedah dan Perlis.

Novel yang menjulang perjuangan minoriti Patani.

Perspektif perjuangan orang Islam di Tanah Selatan ini diungkapkan dengan cukup baik dalam novel fiksi sejarah Lukanya Merah karya Rohani Deraman. Novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 2013 ini membawa sudut pandangan orang Patani secara umum dan penduduk Kampung Chanae secara khusus, yang menjadi mangsa prejudis agama dan kaum di selatan Thailand.

Novel ini membawa pembaca untuk memahami secara dekat  dan telus tentang perkara yang sebenarnya berlaku di sana. Jelasnya tuduhan yang diputarbelitkan pemerintah selama ini adalah suatu rencana mereka untuk menuduh warganegara sendiri. Laporan media Thailand yang sangat prejudis serta tidak bertanggungjawab berjaya mempengaruhi massa, waima sesetengah dalam kalangan orang Islam di negara ini untuk mempercayai bahawa para pejuang ini adalah golongan militan yang mahu merampas kuasa di Thailand.

Buktinya ada dalam kalangan orang Islam negara ini menganggap pejuang yang dibunuh oleh tentera Thailand benar-benar militan yang melakukan kekejaman di wilayah Islam itu.

Novel setebal 659 halaman ini bergerak di atas jalur sejarah tragedi penting kepada orang di Tanah Selatan dalam jangkamasa dua dekad terakhir. Peristiwa pembunuhan di Masjid Kresek dan Takbai menjadi latar penting kepada novel ini di mana pengarang mencipta watak-watak fiksi mengisi naratif untuk hidup di atas peristiwa sebenar.

Penganut Islam dizalimi seperti haiwan di selatan Thai.

Kebolehan menggaulkan fakta dan fiksi tidak mampu dilakukan oleh semua pengarang. Ia menuntut ketelitian untuk menggabung jalin supaya tidak terputus antara kedua-duanya. Dalam perkara ini pengarang telah melakukan yang terbaik dengan membancuh lukisan peristiwa secara kreatif sehingga pembaca tidak terasa peristiwa sejarah itu adalah kolaj kepada naratif fiksyen yang membawa wacana pemikiran novel ini. Pengarang berjaya membina latar alam kepada pembaca untuk menyusuri perkampungan Melayu Islam yang daif di Tanah Selatan dan keheningan malam bagai terkurung dalam resah yang menakutkan.

Sudut pandangan daripada dalam masyarakat yang teraniaya itu juga membuatkan pembaca turut berkongsi resah, marah dan pertanyaan demi pertanyaan tentang masa depan minoriti Islam di negara majoriti Buddha.

Pengarang juga tidak emosional kerana bertindak mewaraskan pembaca bahawa kezaliman yang dilakukan ke atas orang Islam di Tanah Selatan bukan kerana pelakunya berbangsa Thai dan beragama Buddha. Sebaliknya kekejaman itu dilakukan oleh manusia yang berjiwa buruk, yang boleh sahaja datang daripada mana-mana agama, bangsa dan keturunannya. Watak Mek Noung misalnya malu dengan kelakuan buruk tentera yang sebangsa dengannya membunuh orang Islam di Tanah Selatan.

Satu perkara penting yang diapungkan dalam novel ini ialah pejuang berani mati di Patani bukanlah sama seperti yang difahami oleh media Barat. Mereka tidak berjuang membuta tuli dan melanggar syariat, tetapi bertindak dengan kebijaksanaan taktik dan teknik serta semangat yang tidak takut mati. Menerusi novel ini pengarang memperinci makna jihad dan syahid yang sekarang menjadi begitu murah sekali penggunaannya.

Tiga perempat daripada novel ini merupakan plot yang lurus dan bergerak membina perwatakan watak utama Mek Romah, wanita yang kehilangan suami dan dua anak lelaki di muncung senapang tentera Thai, berusia lingkungan 65 tahun. Mek Romah daripada seorang isteri yang naif berkaki tempang kerana digigit oleh anjing Mek Noung seorang Siam yang berjiran dengannya.  Mek Romah dalam novel ini adalah bayangan kepada Tjut Nyak Dhien di Aceh.

Mek Romah wanita kampung yang terkepung dalam milieu sosial Melayu Islam di Tanah Selatan ini memiliki pemikiran yang melampaui kepungan itu. Dia bukan pemimpin politik yang banyak beretorik tetapi perancang kepada banyak serangan dan pengeboman di lokasi-lokasi strategik sebagai balasan “hutang darah dibayar darah”. Kalau sesetengah pemimpin politik wanita kita banyak bercakap kurang berkerja, Mek Romah banyak bertindak kurang bercakap berjela-jela.

Pengarang membina watak Mek Romah sebagai rujukan wanita Muslim yang berfikiran luas, berani dan tidak terbius oleh hati wanita yang kadangkala lebih dibaluti perasaan berbanding akal fikiran. Kematian suami dan dua anak lelaki tidak pernah melemahkan malah menyemarakkan perjuangannya yang baru bermula.

Rohani Deraman pengarang Lukanya Merah.

Pada satu lapisan novel ini membawa cerita yang menarik mengenai satu geobudaya yang terasing daripada kita, tetapi tarikan sebenarnya adalah wacana perjuangan wanita yang dilontarkan oleh pengarang. Ia bukanlah perjuangan  wanita bertaraf feminisme Barat yang melanggar batas hak dalam agama, sosial dan budaya.

Perjuangan wanita dalam karya ini berada pada lingkungan Islam dan Melayu yang menjadi latarnya. Tidak perlu menafikan keupayaan lelaki untuk berjuang dan inilah yang ditunjukkan oleh Mek Romah.

Kesimpulannya pengarang wanita ini memberikan dua sudut pandangan menerusi novel ini. Pertama sudut pandangan golongan yang terlindung daripada kanta dunia luar; dan kedua sudut pandangan perjuangan wanita Melayu Islam yang tidak memusuhi golongan lelaki. Dalam keterbatasan maklumat dan ilmu pengetahuan, wanita Melayu Islam boleh memberikan sumbangan kepada agama dan bangsanya.

Sewajarnya novel ini diterjemah ke bahasa lain terutama Inggeris agar semangat dan perwatakan Mek Romah ini menjadi inspirasi kepada wanita dunia, juga memperbetulkan semula persepsi kita terhadap saudara seagama di tanah sana yang selama ini dipesongkan musuh Islam.

* ROZAIS AL-ANAMY merupakan penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *