OLEH: KU SEMAN KU HUSSAIN (11.27 am 14 April 2019)

Dalam catatan  pengarang buku saya,  Anekdot Ku Seman yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), pada perenggan pertama saya memberi penghargaan Rozlan Mohamed Noor yang menjadi editor buku itu.  Bagi saya,  editor wajar diangkat kerana kerja-kerja terlindung yang besar maknanya.

Deraf akhir manuskrip adalah bahan mentah  yang belum  ‘dimurnikan’ dan ‘dibentuk’ sebagai buku.  Sebagai pengarang,   sesiapa juga tidak  dapat mengelak  daripada terbaur emosi,  tergelincir hala tuju atau  tanpa sedar menyumbatkan semua yang berlegar di fikiran dalam manuskrip.

Tambahan pula pengarang terlalu  menyunting  manuskrip  sendiri juga  sangat berpotensi  akan kalis mengesan hal-hal yang  tidak wajar dalam manuskripnya.

Editor sebagai pembaca kedua mempunyai sudut pandangan yang  segar pada manuskrip yang berada di tangan.  

Novel To Kill a Mockingbird karya Harper Lee.

Editor melihat keseluruhan tanpa gangguan  tetapi pengarang melihat secara berpecah-pecah kerana beliau yang  menulis menyunting.  Fragmentasi begini hanya boleh dikesan sama ada wajar atau tidak oleh pembaca kedua atau ketiga. 

Hal ini pernah berlaku kepada pengarang  To Kill a Mockingbird (1964), Harper Lee.  Deraf akhir manuskrip yang sampai ke tangan editornya, Tay Hohoff  dengan buku yang diterbitkan terdapat begitu banyak perubahan. Harper Lee tidak begitu senang dengan buku ini dan  pada  2015 beliau menerbitkan novel  Go Set a Watchman iaitu deraf asal To Kill a Mockingbird.

Kita tidak menafikan adanya editor yang bagai tikus membaiki labu.  Begitu juga yang mengaku pengarang tetapi tidak mencapai tahap kepengarangannya. Bagaimanapun editor yang baik kerjanya memperbaiki dan mengindahkan berdasarkan pengalaman dan ketajaman dalam bidang berkenaan.

Editor yang baik akan rasa tertanggung dengan ketidaksempurnaan  manuskrip yang berada di tangan.  Dia akan berusaha melakukan memurnikan dengan syarat pengarang menyimpan egonya untuk sementara waktu.  Ini kerana editor pasti diserbu rasa bersalah sekiranya buku di tangan pembaca  tidak sempurna.

Di luar negara terutama negara-negara maju,  nama editor adalah nilai tambah pada sesebuah buku selain nama pengarangnya. Nama editor turut diletakkan di muka depan sebagai penegasan kepada pembaca bahawa buku itu ditangani oleh seorang yang diyakini.  

Oleh hal yang demikian tentulah kita merasa hairan apabila ada sesetengah ‘pengarang’ begitu  berbangga kerana buku yang diterbitkan tidak melalui  sumbangan pemikiran seorang editor.   Kalau mereka tahu novel  To Kill a Mockingbird adalah versi editornya, mereka mungkin tidak berbangga memulu. 

Menerbitkan buku tanpa editor adalah penganiayaan kepada diri sendiri. Sehebat manapun seorang pengarang,  apabila hendak dibukukan mereka tetap memerlukan editor untuk menyaring sesuatu yang tidak perlu atau memperkemaskan yang longgar dan tidak wajar.   

Advertisement

Sasterawan dunia, Ernest Hemingway yang mendapat Hadiah Nobel melalui novel The Old Man and the Sea (1953) pun memerlukan khidmat Max Perkins sebagai editor novel-novelnya. Perkins antara  editor legenda apabila beliau banyak mengerjakan pemurnian terhadap karya-karya  sasterawan besar termasuk F. Scott dan Thomas Wolfe selain Hemingway. 

Pertentangan atau percanggahan  antara pengarang dan editor adalah lumrah. Apa lagi berdepan dengan karya-karya besar. Sebenarnya itulah kelebihan Perkins  yang  mengambil pendekatan psikologi menjadikan pengarang-pengarang besar itu sahabat baiknya. Jadi,  hubungan mereka bukan editor – pengarang tetapi sebagai sabahat.

Maka perlu ditegaskan bahawa editor bukan sekadar menyunting walaupun kata asas ‘edit’ itu bermaksud sunting.  Tetapi  tugas utama editor ialah memurnikan   manuskrip sambil menuangkan pengalaman. Lalu berkemungkinan arah angin sesebuah buku juga akan beralih seperti yang berlaku pada novel To Kill a Mockingbird.  Editor yang baik dalam keadaan apa sekalipun mahu buku yang ditangani sempurna walaupun tidak disebut namanya.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *