Prasarana yang bertaraf dunia tidak bermakna kalau mentaliti dunia ketiga.

Oleh Rozais Al-Anamy

Seseorang yang tidak pernah menjejakkan kaki ke kota batu Kuala Lumpur pasti terpana melihat pembangunan pesat di kota metropolitan ini. Deretan bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan gedung beli belah bertaraf dunia di sekitar segi tiga emas memukau mata dan hati pelancong luar bandar. 

Begitu juga dengan pusat pentadbiran Putrajaya yang terdiri dari bangunan pelbagai bentuk yang moden dan unik. Keindahan pusat pentadbiran ini ditambah dengan hiasan lanskap yang sangat mesra jiwa dan perasaan. Malah kita kadangkala berasa sedang mendongak pandang bangunan di kota London atau kota besar dunia pertama yang lain. Hanya apabila terpandang bendera Malaysia, barulah perasaan kembali semula ke dunia nyata. 

Warga kota terutama kalangan remaja pula kelihatan sibuk dengan perkakas elektronik masing-masing. Di merata tempat mereka leka menatap skrin gajet sehingga kadangkala berselisih bahu dengan saudara sendiri pun tidak perasan. Kalangan kelas menengah dan elit pula bergaya dengan kereta mewah atau separa mewah yang boleh dilihat sebagai cerminan kemajuan Kuala Lumpur.

Inilah penampilan fizikal negara maju yang difahami kebanyakan manusia, iaitu kemajuan dari sudut infrastruktur, struktur dan gaya hidup. Begitu juga Malaysia yang bakal mendapat status negara maju lebih setahun sahaja lagi apabila Wawasan 2020 sampai ke penghujung pada 2020. Kesemua tanda aras dan ciri negara maju hampir dipenuhi oleh negara ini. 

Namun dalam keterujaan mempersiapkan negara ke status negara maju ini, pembangunan modal insan yang bermutu tinggi menjadi satu ciri yang wajib diutamakan. Ini kerana sesebuah negara maju tidak wajar hanya diukur dari segi pembangunan materi, sebaliknya juga didiami oleh masyarakat berminda kelas pertama.

Antara cirinya ialah masyarakat yang beragama, berilmu pengetahuan, berbudaya, berintegriti, berdaya saing, patriotik serta memiliki kekuatan moral. Identiti nasionalnya kekal terserlah melalui pembinaan jati diri yang kukuh dan utuh, tidak mudah dihanyutkan oleh arus globalisasi. 

Berbeza dengan masyarakat mentaliti kelas ketiga di mana tahap pemikiran yang rendah dan mudah terpengaruh, seseorang akan dengan mudah menyerap sebarang anasir buruk yang dibawa masuk melalui langit terbuka. Justeru itu lahirlah masyarakat yang rapuh jati diri dan hanyut dalam dunia hedonism serta meminggirkan nilai manusiawi dalam diri. 

Masyarakat sebegini akan membantutkan wawasan negara kerana tiada matlamat dan halatuju hidup. Mereka hidup sekadar untuk berhibur dan 

tidak mampu untuk mencambahkan pemikiran dan minda, bekerja hanya semata-mata untuk duit dan bukannya berdasarkan minat atau tanggungjawab, tiada kesedaran sivik dan kadangkala pula tersasar dari agama.

Walhal kesemua kualiti ini sangat penting untuk membina masyarakat yang bersedia dalam mencapai negara maju kerana infrastruktur dan struktur sahaja tidak boleh membangkitkan citra sebuah negara atau bandar raya. Untuk memanfaatkan infrastruktur dan struktur berkelas dunia, nilai insan perlu dianjakkan supaya selari dengan kemajuan fizikal itu.

Kemajuan tentunya tidak bererti dan kecanggihan tidak mengubah apa-apa kalau sikap dan mentaliti masyarakat masih di tahap dunia ketiga. Inilah yang tertampil apabila pembangunan bertaraf dunia dimanfaatkan secara tidak berhemah kerana terkepung dalam mentaliti kelas tiga.

Sikap dan mentaliti masyarakat yang merangkumi soal kesedaran sivik, sosiobudaya dan sosiopolitik setempat hanyalah setaraf kelas ketiga. Kalau dari laras ekonomi, Malaysia sememangnya tergolong dalam negara dunia ketiga. 

Ini berasaskan beberapa ciri antaranya negara pengeksport bahan mentah, negara pengguna bukan pengeluar, bekas jajahan Barat dan meneruskan sistem politik acuan Barat dan kebergantungan kepada negara dunia pertama seperti Amerika Syarikat dan negara dunia kedua seperti  negara-negara Eropah.

Namun begitu, masih tidak terlewat bagi negara ini untuk keluar dari label negara dunia ketiga yang sangat sinonim dengan ciri-ciri seperti kurang amanah,  rendah sivik dan menjadi mangsa konsumerisme. Perubahan sikap dan mentaliti boleh sahaja berlaku sekiranya wujud satu gerakan kesedaran yang kuat dari kedua-dua pihak; pemerintah dan rakyat.

Sebenarnya mentaliti dunia ketiga ini bukan sahaja berkait sikap masyarakat terhadap perkara-perkara seperti kebersihan, etika menggunakan pengangkutan atau tandas awam. Ia turut melibatkan pelaksana dasar dalam sektor awam, pihak swasta termasuk pihak pemaju hartanah seterusnya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kuala Lumpur yang sering dilanda banjir kilat dan tanah runtuh misalnya merupakan antara akibat yang menunjukkan tidak wujud kesedaran sivik dalam kalangan sesetengah teraju sektor swasta contohnya pemaju.  Pihak pemaju yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi tidak sahaja menitikberatkan kawasan pembinaan tetapi aliran air di kawasan sekitar.

Ini ditambah oleh sikap tidak endah pelaksana dasar dalam sektor awam untuk memantau atau memerhati pembangunan di sesebuah kawasan bagi memastikan pemaju tidak lepas tangan terhadap kesan pembangunan yang dijalankan. 

Begitu juga mentaliti sesetengah pengguna jalan raya di negara yang akan melangkah sebagai negara maju setahun lebih sahaja lagi ini, tidak ada bezanya dengan negara mundur seperti Vietnam atau Kemboja, padahal  negara ini mempunyai sistem lebuh raya antara termoden di rantau ini.

Seharusnya kita perlu bimbang dengan perkembangan yang songsang ini. Maka pembangunan insan mesti menjadi agenda utama kerajaan untuk menganjakkan sikap dan mentaliti dari dunia ketiga pada dunia pertama. 

Nilai-nilai keinsanan perlu diselarikan dengan pembangunan fizikal supaya infrastruktur dan struktur yang kaku itu dapat dimanfaatkan untuk memudahkan kehidupan moden di bandar raya yang bertaraf dunia ini.

(Petikan mingguan Wilayahku)

* ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *