Pelbagai maklumat sulit lebih sejuta pelajar UiTM sejak 200 hingga 2018 bocor kepada umum baru-baru ini adalah suatu yang sangat membimbangkan.


Oleh: Hasani Hassan (9.23 am 29 Jan. 19)

(BebasNews)

KITA dikejutkan dengan insiden kebocoran data pelajar UiTM seperti yang didakwa oleh sebuah forum dalam talian tempatan. Sejak Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 diperkenal oleh Kementerian Komunikasi dan  Multimedia Malaysia, tidak dinafikan terdapat beberapa insiden kebocoran data peribadi yang dibongkarkan kepada umum oleh pihak tertentu.

Terus saja terpacul dalam minda kita persoalan yang sangat membimbangkan, apakah data peribadi kita selamat pada tangan pihak-pihak yang kita amanahkan untuk menjaganya? Mampukah akta yang ada melindungi hak-hak peribadi kita?

Dalam kejadian yang terbaharu, pelbagai maklumat sulit lebih sejuta pelajar UiTM dari tahun 2000 hingga 2018 telah dilaporkan terdedah kepada umum yang memungkinkan scammer atau jurujual yang tak beretika menyalahgunakannya untuk tujuan keuntungan mereka.

Mangsa scammer

Bayangkan jika anda adalah seorang pelajar tersebut dan tiba-tiba seseorang yang menyamar sebagai “pegawai universiti” menghubungi anda memberitahu bahawa ijazah anda akan ditarik balik dan laporan polis akan dibuat dalam masa 24 jam kerana anda “didapati meniru” sewaktu belajar dahulu! Anda mungkin akan mudah mempercayai mereka kerana mereka mempunyai butir-butir sahih mengenai diri anda!

Mengambil kira pelbagai bentuk scam yang wujud di negara ini dan betapa mudahnya mangsa-mangsa terpedaya, tidak mustahil mereka bakal menjadi mangsa yang seterusnya.

Sekarang bukan masa untuk bersilat memberi alasan, sebaliknya audit yang terperinci harus dilakukan pada semua peringkat untuk mengenal pasti bagaimana data sebegitu banyak boleh jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya.

Advertisement

Adakah vendor teknologi maklumat yang datang membuat penyelenggaraan data patut diberi akses untuk membuat salinan sokongan (backup) data? Adakah kerani masukan data (data entry) yang memasukkan data itu boleh memuat turun keseluruhan pangkalan data pada bila-bila masa? Adakah penyelia mereka ambil tahu dan boleh menjejak (trace) apa jua aktiviti kakitangan di bawah seliaan mereka?

Ini hanya beberapa soalan halus yang perlu difikirkan, dan bukan setakat mencari dan menyoal siasat mereka yang membongkar insiden berkenaan.

Penyakit masyarakat

Masalah kebocoran data atau penyalahurusan data bukan sahaja berlaku dalam organisasi besar seperti universiti, syarikat telekomunikasi atau penderma organ semata-mata. Masalah ini juga berlaku pada peringkat sekolah!

Ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mungkin pernah menerima panggilan telefon melalui anak-anak ataupun secara terus, dari kolej-kolej swasta yang ‘mendesak’ agar membawa anak-anak ke seminar atau kursus tertentu yang kononnya membantu anak-anak membuat pilihan tempat untuk melanjutkan pelajaran.

Ada bermacam-macam taktik yang mereka gunakan. Tapi soalannya, pernahkah kita memberikan nombor telefon kita kepada jurujual-jurujual ini? Ya, mungkin mereka ingin membantu anak-anak kita mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran, tetapi kadang-kadang kita terfikir, apakah pihak sekolah telah ‘menjual’ maklumat-maklumat berkenaan kepada mereka?

Selagi ada mentaliti yang tidak mempedulikan privasi orang lain dan sekadar memikirkan untung cepat untuk diri sendiri, penyakit ini agak sukar dibendung.

— BebasNews

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *