Oleh: Ku Seman Ku Hussain (8.34 pm 24 Jan 2019)
Amerika Syarikat yang tewas di medan perang dengan Vietnam mencipta ‘kemenangan’ di filem yang sengaja dihasilkan untuk menafikan kekalahan itu. Ini bukan suatu yang luar biasa kerana sebagai seni pop yang berpengaruh, filem boleh sahaja mencipta dunianya yang tersendiri- seolah-olah realiti.
Bagaimanapun keberkesanan filem propaganda begini terletak pada seni penghasilannya. Memang filem boleh dihasilkan dengan pelbagai pendekatan tetapi yang mampu mempengaruhi khalayak tentulah yang berkualiti, pada dokongan pemikiran dan kaedahnya.
Filem yang rendah penggarapan seni estetika dan pemikirannya akan hanyut sebagai sampah. Ia tidak mampu mengubah apa-apa, jauh sekali mempengaruhi sesiapa. Ini terbukti apabila pasca perang Vietnam, Hollywood banyak menghasilkan filem-filem yang disifatkan seperti sampah tadi. Filem ini bertujuan membina persepsi bahawa AS menang dalam perang Vietnam yang berakhir 30 April 1975 itu.
Seperti di negara kita juga, memang wujud kelompok pemain industri kelas rendah yang bertuhankan keuntungan menjadi pemangkin penerbitan filem-filem yang tandus dokongan pemikiran dalamnya. Mereka ini hanya memakai baju sebagai karyawan tetapi sebenarnya adalah oportunis yang merosakkan dunia filem itu sendiri.
Keadaan di Hollywood itu membuatkan segelintir karyawan tidak sehaluan dengan cara kerajaan mempergunakan filem kelas rendah itu untuk terbalikkan fakta tentang perang Vietnam. Mereka memberikan reaksi balas dengan menghasilkan filem berlatarkan perang Vietnam tetapi tidak sensasikan perang itu untuk kepentingan kerajaan.
Bagi mereka Vietnam adalah subjek yang sangat rumit dan penting untuk digali. Menghasilkan filem mengenai perang Vietnam menuntut keterlibatan pemikiran kerana di sana ada pertembungan antara manusia, kemanusiaan dan kehidupan. Tidak adil kepada Vietnam kalau hanya menonjolkan sensasi tetapi tidak digali hal-hal kemanusiaan yang hilang dipancung AS sendiri.
Maka lahirlah filem Platoon (1986) iaitu yang pertama daripada trilogi filem berlatarkan perang Vietnam arahan pengarah Oliver Stone. Selepas Platoon, Oliver Stone menghasilkan Born on the Fourth of July (1989) dan Heaven & Earth (1993).
Ketiga-tiga filem ini adalah reaksi balas terhadap kupasan melulu filem-filem sebelum itu terutama The Green Berets arahan John Wayne (1965). Filem-filem ini lahir daripada sumber yang berwibawa, buku yang ditulis oleh mangsa perang dan pengalaman tentera AS yang terlibat dalam perang Vietnam.
Born on the Fourth July misalnya adalah pengalaman Oliver Stone sendiri bersama veteran perang Ron Kovic. Watak Ron Kovic dilakonkan oleh Tom Cruise dalam filem itu. Fakta-fakta yang diselewengkan dijawab dalam trilogi ini. Kerana itu filem-filem ini kelihatan sangat personal kepada pengarahnya.
Perang hanya latar kepada peristiwa dan karakter pada filem. Daripada trilogi ini Oliver Stone cuba memahami dan mengenali Vietnam – dia tidak kelihatan nakal, berat sebelah sekalipun sarat dengan kenyataan yang berunsur politik. Filem-filem ini berbicara tentang Vietnam dari laras yang lain.
Bagi Oliver Stone, perang adalah musuh kepada semua manusia dan tidak pernah memberi keuntungan kepada sesiapa. Perang menjadikan manusia sebagai mangsa sama ada mempertahankan hak sendiri atau mencuri hak orang lain.
Untuk melihat sudut pandang kemanusiaan dari perang Vietnam, hayatilah trilogi ini. Perang yang sensasi menjadi begitu humanis di tangan karyawan yang bertanggungjawab. Ini yang tidak ditonjolkan oleh filem propaganda murahan.
Kesimpulannya, menghasilkan filem menuntut keterlibatan pemikiran. Ada wang sahaja tidak mencukupi. Teknik dan teknologi adalah cara menyampaikan pemikiran itu. Kalau pemikiran pembuatnya kosong, teknik dan teknologi tidak dapat mengeluarkan filem itu dari longgokan sampah yang kemudiannya akan hanyut tanpa meninggalkan kesan. Jangan lupa hakikat itu.