Oleh: Ku Seman Ku Hussain (3.35pm 25 Jan 2019)
Atlet Israel mahu menyertai Kejohanan Renang Para Dunia di Sarawak pada Julai depan. Tetapi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menghalang kerana Israel penjenayah. Israel membuat protes kepada badan sukan dunia yang menganjurkan kejohanan itu. Dr Mahathir tegas, tidak berganjak dari keputusan melarang penyertaan Israel.
Penyertaan atlet adalah percubaan menguji ketegasan Malaysia. Kalau tidak dihalang, itu satu ‘kemenangan’ dan Malaysia yang sangat lantang di forum antarabangsa sebagai anti Israel sudah kendur. Apa lagi kerajaan sebelum ini sangat akrab dengan ‘bapa tiri’ Israel, Amerika Syarikat (AS).
Jenayah Israel terhadap Palestin telah dibuktikan oleh United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (UN OCHA). Mengikut statistik UM OCHA, antara tahun 2000 hingga 2018, sekurang-kurangnya 9,839 rakyat Palestin dibunuh atau terbunuh di mana 2,172 orang adalah kanak-kanak. Ini belum lagi mencabuli Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB tahun 1967 apabila bertindak merampas tanah rakyat Palestin.
Kita jangan lupa Dr Mahathir sudah lama muncul sebagai wira dari Timur yang membawa suara anti Israel, bukan kerana namanya tetapi jenayahnya. Israel satu bangsa yang sangat jelas jenayah dan kejahatannya. Maka sekiranya atlet itu dilepaskan masuk, ini akan memberikan isyarat yang buruk kepada negara.
Ketegasan Dr Mahathir menghalang atlet Israel itu bukannya bimbang umat Islam akan ‘diyahudikan’. Bukan. Malah tidak juga menunjukkan orang Islam di sini paranoid melulu terhadap Yahudi. Tetapi Malaysia menghalang kerana atlet itu akan memberikan makna kemenangan moral kepada Israel.
Israel pernah bertindak kejam terhadap Malaysia apabila menyerang kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie pada 2010, kapal Zaytouna-Oliva dan Women’s Boat to Gaza pada 2016 serta kapal Al-Awda pada tahun 2018. Semua serangan ini menyebabkan rakyat yang menyertai misi bantuan itu ditahan di Israel. Tidak mungkin kerana alasan ‘kesukanan’ mewajarkan kita boleh melupakan kekejaman itu.
Bagaimanapun sesetengah pemimpin sukan sangat lurus bendul dan tidak dapat membaca isyarat-isyarat dalam konteks politik dan diplomatik. Mereka kononnya sangat murni dan kurang prasangka kerana jumud dalam soal perang psikologi.
Misalnya Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Nazifuddin Najib dilaporkan berkata, tindakan kerajaan itu boleh menyebabkan Malaysia hilang peluang untuk menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia. Malah akan menjejaskan hubungan dengan badan sukan dunia terjejas. Itu sahaja yang difikirnya. Sangat cetek.
Barangkali beliau sangat naif soal diplomatik. Malaysia tidak pernah mengiktirafkan negara Israel. Penyertaan atlet itu mewakili negaranya, apabila menerima maknanya kita mengiktiraf Israel sebagai negara walaupun dicuri dari Palestin.
Nazifuddin tidak melihat apa yang Dr Mahathir nampak. Dia melihat hal luaran mengenai atlet Israel itu dari sudut pandang yang sempit. Maka tidak hairanlah perihal peluang menganjurkan kejohanan antarabangsa itu satu perkara yang besar. Tidak ke manalah kita kalau begini cara berfikirnya.
Semangat kesukanan? Mana ada. Frasa muluk-muluk itu dicipta oleh kapitalis Barat untuk menyihir negara-negara dunia ketiga. Tidak ada semangat kesukanan melalui acara sukan. Semua itu mengarut. Hanya burung kakak tua sahaja yang mengajuk-ajuk frasa muluk-muluk itu.
Sebab itulah Israel bersusah payah menghantar atletnya ke Malaysia kerana agendanya bukan semangat kesukanan. Main sepak raga bulatan di kampung pun belum tentu ada semangat kesukanan, inikan pula acara yang membawa sentimen negara dan bangsa.
Maka pendirian Malaysia menghalang atlet itu sangat tepat sekalipun banyak pihak belum mampu ‘membaca’ makna-makna tersirat Israel. Semasa di Oxford, United Kingdom baru-baru ini, misalnya tanpa berbasa basi Dr Mahathir mengulangi penegasan bahawa Israel penjenayah dan kita menolak penjenayah.
Atlet Israel itu bukan sekadar atlet dan ini telah dibuktikan apabila masyarakat Yahudi menyambut kedatangan Dr Mahathir di Oxford dengan kritikan keras. Ini disebabkan oleh tindakan Dr Mahathir melarang atlet Israel menyertai kejohanan renang antarabangsa itu.
Kumpulan itu juga mempersoalkan langkah Kesatuan Oxford yang mengundang Dr Mahathir yang dilabelkan anti Yahudi memberikan syarahan di situ.
Malah Presiden Kesatuan Oxford, Daniel Wilkinson sendiri mengajukan beberapa soalan sekaligus mempertikaikan pendirian Malaysia menghalang penyertaan atlet Israel itu.
Tentulah kalau melihat dengan mata fikir yang jumud, tidak munasabah isu seorang atlet dilarang menyertai acara sukan diperbesarkan hingga menjadi isu dunia. Tetapi seperti yang ditegaskan tadi, ini agenda untuk menguji ketegasan pendirian Malaysia dalam isu Israel. Kita wajib membaca subteks dari teks. Begitulah cara berfikir yang kita perlukan.