Andre Xavier Justo (Gambar Bernama)


Oleh: Wartawan Free Malaysia Today (12.57 pm 1 Feb 19)   

PETALING JAYA: Pemberi maklumat, Andre Xavier Justo yang dianggap bertanggungjawab mendedahkan skandal kewangan 1MDB di negara ini diberikan hadiah sebanyak AS$2 juta oleh pengerusi The Edge Media Group kerana tindakannya itu.

Pengerusi kumpulan Datuk Tong Kooi Ong memberikan hadiah itu kepada Justo apabila beliau, isteri dan anaknya yang berusia empat tahun, Zander, melawat pejabat mingguan perniagaan itu semalam. Mereka bertemu Tong dan ketua pegawai eksekutif kumpulan itu, Ho Kay Tat, lapor The Edge Markets.

“Hadiah kepada Justo adalah tanda penghargaan atas sumbangan beliau kepada Malaysia dalam membantu mendedahkan kleptokrasi kerajaan lepas,” Tong dilaporkan berkata, menurut laporan itu.

“Tanpa beliau, salah laku melibatkan 1MDB, seperti yang dilaporkan oleh The Edge, tidak mungkin diketahui.”

Justo ketika ditahan oleh polis Thailand pada 2015

Justo ditahan pada 2015 kerana membocorkan dokumen daripada syarikat minyak dan gas, PetroSaudi International, berkaitan usaha samanya dengan 1MDB, yang menjadi asas kepada penyiasatan dakwaan pengubahan wang.

Ini menyebabkan beliau dipenjarakan di Thailand selama 18 bulan kerana didakwa menuntut bayaran sebagai tukaran untuk tidak mendedahkan maklumat rahsia.

“Keluarganya diganggu dan diugut sewaktu beliau berada di penjara. Tiada sesiapa pun harus melalui pengalaman buruk itu kerana membantu mendedahkan kebenaran,” kata Tong.

“Bagi pihak rakyat Malaysia, saya mahu mengucapkan ‘terima kasih’ kepadanya dan keluarga beliau.

Advertisement

Enam bulan sebelum ditangkap, Justo menyerahkan kepada editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown beribu-ribu dokumen, termasuk 227,000 e-mel daripada pelayan PetroSaudi, yang memberi maklumat mengenai dakwaan kecurian wang berjumlah ratusan juta dolar daripada 1MDB.

Pada 10 Feb 2015, Tong dan Ho dilaporkan bertemu Rewcastle-Brown, yang memperkenalkan Justo kepada mereka, di Singapura.

Dokumen yang dibocorkan beliau mencetuskan siri penyiasatan di sekurang-kurangnya enam negara dan disifatkan oleh Peguam Negara Amerika, Loretta Lynch sebagai “kes kleptokrasi” terbesar dalam sejarah negara itu.

Malaysia mula mendakwa beberapa individu, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung skandal itu susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas. Najib mengaku tidak bersalah.

The Edge Markets juga melaporkan bahawa Justo turut mengucapkan terima kasih kepada Tong, dengan berkata, hadiah berkenaan akan banyak membantunya dan keluarga beliau membina semula kehidupan mereka.

“Saya gembira kerana penderitaan yang saya alami tidak sia-sia. Malaysia akhirnya tahu cerita sebenar (tentang 1MDB) dan saya mendapat kebebasan saya semula.”

Rewcastle-Brown menyifatkan Justo sebagai wira sebenar dan pemberi maklumat yang membongkar skandal 1MDB.

Beliau juga memuji Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menerima kunjungan Justo selepas Pilihan Raya Umum  (PRU 14) dengan berkata ia amat wajar dan sesuai.

Free Malaysia Today

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *