Mula mendekati Latiff Mohidin sejak tahun 1970 di Kuantan dan saya bertanya itu ini, juga waktu itu ada pensyarah Fernando yang meminati sastera Melayu. Rasanya sesuai dengan makna namanya, Latiff, bermakna ‘halus’, dan penampilannya turut amat sopan, bertutur antara kedengaran dengan tidak suaranya, selain pakaiannya bersahaja.
Saya melihat dengan cermat apabila beliau di pentas malam di SK Teruntum, Latif mencapai lembaran puisi yang diselit di pinggang seluar, mengamati dan mendeklamasi dengan suara sopan kemelayuan Negeri Sembilan. Dalam minda saya, maklumat perihal Latiff dididik di Berlin, Jerman, di Perancis dan di Amerika Syarikat peringkat varsiti jurusan seni lukis.
Juga, ada maklumat bahawa pada usia enam tahun Latiff sudah banyak melukis lukisan realisme. Kemudian ketika remaja, beliau mengayuh basikal dari Seremban menuju Perlis, kemudian, merentas hingga ke Kelantan, seterusnya mengayuh basikal lagi hingga di Kuantan. Tayar basikalnya pancit di jalan di Pekan menghala Rompin, lantas lalang dipadatkan dalam tayar dan Latif mengayuh hingga ke Johor Bahru. Berikutnya, ke Singapura.
Kekuatan Latiff terserlah dalam bidang seni lukis sejak kanak-kanak dan terbukti apabila beliau sudah mengadakan pameran dengan menampilkan gambaran panorama rumah, pohon kelapa dan halaman, selain panorama alam yang lain. Ilmu asas seni lukisnya nyata mantap apabila hasil-hasilnya menjadi bukti bahawa Latiff mahir menggaris, membentuk, mewarna, mencipta tona, memilih perspektif, subjek, panorama dan menerapkan ruh dalam karya.
Saya menyiapkan kajian separa tesis sewaktu di maktab pada tahun 1975-76 berasaskan pengamatan garisan dan konsep garisnya menjadi sandaran. Berikutnya, bukunya Garis menjadi rujukan beberapa kali, selain menghafal puisi terbaiknya Sungai Mekong, juga melatih pelajar untuk menjuarai sayembara deklamasi di Johor Bahru.
Latiff mula terkenal menerusi lukisan berasaskan pagoda, hingga nama jolokannya dalam kalangan seniman ialah Latif Pago-Pago. Kunjungannya ke Thailand dan Laos, tegasnya Indo-China, bagi saya adalah tuah mencurah-curah. Berbeza dengan suasana Berlin, Perancis dan Amerika Syarikat, yang terbukti menerusi kualiti karya baik lukisan mahupun puisi.
Eelemen negara-negara berkenaan menjadikan Latif f pelukis berijazah, juga pelukis yang ada konteks rangkaian luar negara. Namun, karya lukisannya sekadar cat minyak mengenai Berlin dan beberapa tempat lagi, cetakan kayu di atas kertas juga cetakan lino.
Asia menjadikan Latiff menguasai alam dan karakteristik pagoda juga apa-apa yang berkaitan dengannya. Sejujurnya, lukisan awal Latif, sebelum siri Pago-Pago muncul, bercirikan kuasa alam, antaranya air dan tanah. Kekuatan karya Latiff banyak tertumpu pada pemikiran yang mendalam dan perasaan yang juga tiba hingga jauh di telaga jiwa.
Siri Pago-Pago dan karya yang berkaitan menampilkan perkaitan keindahan binaan yang disimbolkan menerusi bentuk yang tajam dan menghala ke langit, bertingkat-tingkat. Ini mewujudkan suatu pengetahuan kerohanian iaitu suasana di pagoda menampilkan pola kehidupan manusia sejak ribuan tahun lamanya, pasrah dan amat dekat dengan tapak iaitu tanah.
Tiada sebarang konflik, baik semasa manusia mahupun dalam diri manusia itu sendiri. Nilai kemandirian wujud dan pergantungan kepada pihak lain dalam bentuk keikhlasan juga wujud. Bentuk, warna, tona dan pembahagian ruang menunjukkan maksud tersebut. Bagaikan tiada setitik pun kecacatan pada mana-mana lukisan Latiff khususnya yang bercirikan pagoda, batu, air dan kajian serangga.
Terbukti bahawa Latiff mencipta iaitu mewujudkan lukisan demi lukisan yang tiada sebelumnya walau di mana sekalipun. Kehalusan garisan, malah titik baik titik cat di hujung berus mahupun di hujung alat tulis dan ditambah warna serta tona menjadikan karyanya klasik. Maksudnya, sempurna pada pembuatan.
Benarlah bahawa Latiff bercerita dan pendekatannya menyamai gaya cerita dalam puisi-puisi, baik dalam antologi terdahulu mahupun yang terkemudian. Latiff konsisten. Abad ke-21 menyaksikan lukisan Latiff semakin mendekati alam ghaib, iaitu figura kian tiada, sebaliknya warna, tona, garisan jua titik-titik.
Sesungguhnya, boleh dirumuskan bahawa lukisan-lukisan Latiff dicipta menerusi jiwa sepertimana diakuinya bahawa beliau amat menyayangi dunia seni lukis dan berazam untuk terus menghasilkan karya dengan kajian baharu.
Jika Ibrahim Hussein (Allahyarham) menyebut bahawa melukis baginya sama dengan solat, bermaksud perkaitan tiga pekara iaitu Allah, dirinya dan hati/jiwa, jadi, tidak keterlaluan jika Latiff pun sebenarnya mengalami pengalaman serupa malah lebih mendalam hingga ada persoalan masih rahsia, tersimpan dalam syurga hatinya sendiri, manakala Ibrahim, keterbukaannya ketara.
* DAENG RAMLI AKIL adalah seorang penyair dan pelukis.