OLEH: KU SYAFIQ KU FOZI

Kritikan terhadap pertukaran nama Permata kepada Genius telah berpindah kepada perbahasan sama ada istilah ‘genius’ itu ada dalam bahasa  Melayu atau tidak.  Sepatutnya, ia tidak perlu pergi begitu dalam.

Kritikan orang ramai  termasuk tokoh linguistik bahasa Melayu, Prof. Nik Safiah Karim terhadap penggunaan kata genius itu menunjukkan hujah kerana istilah itu terkandung dalam kamus bahasa Melayu terutama Kamus Dewan tidak boleh dipakai.

Memang bahasa Melayu banyak meminjam dari bahasa Inggeris. Ia sesuai dengan sifat bahasa Melayu yang dinamik dalam menerima istilah lain dalam bahasa Melayu.  Isu ‘genius’  bukan meminjam bahasa Inggeris atau tidak. Sebaliknya  penggunaannya disewenang-wenangkan.

Bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia banyak menghasilkan istilah baharu dan sebagai bahasa yang baik, bahasa Melayu perlu jadi anjal untuk menerima istilah-istilah itu. 

Malah bahasa Inggeris sendiri banyak meminjam istilah Latin dan Yunani ketika dua bahasa itu lebih besar pengaruhnya. Rujuklah kamus etimologi, sangat banyak istilah bahasa Inggeris yang berasal daripada bahasa lain.

Namun, bukanlah semudah itu kita menganggap istilah yang dipinjam sebagai istilah bahasa Melayu. Kalau kita anggap begitu, akan wujud banyak kekeliruan. Keupayaan bahasa Melayu meminjam istilah asing juga sering  digunakan secara sewenang-wenang. 

Istilah-istilah yang sudah sedia wujud dalam bahasa Melayu turut dipinjam.  Lalu mewujudkan kasta baharu dalam bahasa Melayu, yakni  apabila istilah yang sengaja dipinjam  dipandang lebih tinggi.

Setiausaha akhbar  Menteri Pendidikan,  Zul Fikri Zamir ada menulis tentang hal ini dalam bukunya, Masharakat Melawan Mahasiswa. Zamir merujuk proses meminjam istilah daripada bahasa Inggeris sebagai proses anglisasi bahasa; yakni proses meng-Inggeris-kan bahasa.

Dalam artikel itu Zamir menegaskan, anglisasi yang ingin dikritik ialah anglisasi istilah yang sudah sedia wujud dalam bahasa Melayu. Seperti bajet,kita sudah ada istilah belanjawan tapi kenapa masih perlu menggunakan bajet?

Adakah menggunakan istilah genius tergolong dalam anglisasi yang dikritik Zamir?  Saya fikir tidak. Ini kerana tidak ada istilah khusus dalam bahasa Melayu yang menggambarkan sifat genius. Kamus Dewan pun menafsirkan ia sebagai sangat pintar. Sangat pintar tidak sesuai jadi istilah khusus kerana ada kata penguat.

Advertisement

Mungkin istilah yang paling sesuai ialah geliga. Tapi geliga tidak mantap penggunaannya dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Ini kerana kita lebih kenal konsep kepintaran luar biasa melalui perkataan genius. Barat lebih terkehadapan mengkaji hal ini maka istilahnya lebih dikenali.

Berbalik kepada pertukaran Permata kepada Genius, kita tidak wajar menganggap kata genius sebagai bahasa Melayu. Ia boleh diungkap menggunakan bahasa Melayu tetapi bukanlah kata asal daripada bahasa Melayu. Seperti bajet, adakah kita mahu anggap bajet itu istilah bahasa Melayu?

Genius lebih jauh dari bahasa Melayu berbanding bajet kerana ejaannya pun tidak diubah suai. Kalau sebutan baku, ia akan jadi ge-ni-us.

Sesuatu istilah pinjaman perlu menghadapi beberapa tahap baru dapat dianggap istilah dalam sesuatu bahasa. Seperti garfu, ia boleh dianggap istilah bahasa Melayu walaupun ia dipinjam dari bahasa Portugis. Ini kerana penggunaannya sudah mantap dalam bahasa Melayu. 

Cuma, dalam artikel Zamir itu ada dipetik pendapat tokoh bahasa dari Kenya, Ngugi Wa Thiong’o. Ngugi menjelaskan, fungsi bahasa ada dua. Satu sebagai ejen komunikasi dan  dua, pendukung budaya. Fungsi kedua itu yang saya kritik dalam isu pertukaran nama Permata iaitu tidak mendukung budaya.

Kata Permata (mungkin juga pinjaman tapi sayangnya PRPM belum masukkan fungsi semakan etimologi maka tidak dapat dipastikan) lebih mendukung budaya  dan falsafah Melayu berbanding genius.  

*  KU SYAFIQ KU FOZI  adalah wartawan Utusan Malaysia.  Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian KUSEMAN.COM

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Istilah ‘genius’ tidak dukung budaya Melayu”
  1. Kecoh bab bahasa Inggeris…. yang dok cedok pelbagai perkataan arab sampai tak paham tu ok pulak. Bukan bahasa saja.. tulisan bulat bulat ceodk tulisan Arab ok pulak…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *