BANGI, 28 Ramadan 1440H, Ahad – “Sudah-sudahlah. Takkan nak tunggu sembelih korban dekat kuil atau sembelih babi dalam masjid baru kata salah.”

Demikian kata pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah terhadap Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang seolah-olah membela tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berhubung majlis berbuka puasa di Gurdwara Sahib, Jalan Trus, di Johor Bahru, Selasa lepas.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, majlis berbuka puasa anjuran Akmal bertujuan merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan tidak sepatutnya menjadi isu.

“Ini bukan isu yang perlu diperbesarkan, hanya sesetengah pihak sahaja yang mensensasikan isu agama, pemikiran sempit dan perkauman. Ini dibimbangi akan mewujudkan Islamofobia,” kata Mujahid.

Membidas perkara itu, Ridhuan Tee berkata, banyak lagi cara lain untuk mengeratkan hubungan etnik demi mencapai perpaduan, bukan terhegeh-hegeh seperti dilakukan oleh wakil rakyat Johor Bahru itu.

“Apabila saya memberikan respons mengenai majlis berbuka puasa di Gurdwara, bukan bermakna saya melarang. Tetapi tidak manis. Banyak tempat ada, kenapa pergi ke situ? Hingga ke peringkat menjemput mereka datang berbuka puasa dengan kita pun saya masih berpandangan tidak kena.

“Prinsipnya jelas, kita berpuasa, mereka tidak. Kita akan pergi solat selepas berbuka, mereka tidak. Lagi pula apakah kita tidak merasa bersalah meninggalkan mereka keseorangan ketika kita solat dan tarawih?

“Teringat hantaran mesej kawan-kawan apabila isu ini menjadi kontroversi. Zaman BN – petang nanti hang berbuka di masjid mana? Zaman PH – petang nanti hang berbuka di kuil mana? Nampak kelakar tetapi makna mendalam,” kata beliau ketika dihubungi Ismaweb.

Dalam perkembangan sama, Ridhuan Tee yang juga Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersetuju dengan titah Sultan Johor bahawa tidak boleh sama sekali sekiranya untuk menjaga hubungan antara etnik, kedudukan dan kepentingan agama Islam sebagai agama negeri ‘dikesampingkan’.

“Secara peribadi, sebagai pensyarah, saya selalu menggalakkan pelajar saya melakukan gotong-royong membersihkan rumah ibadat dan tanah kubur bukan Islam. Tetapi ingat sebelum melakukan perkara itu pastikan masjid, surau dan tanah kubur kita bersih dulu. Ini tidak, sibuk jaga rumah orang, rumah sendiri berantakan,” katanya.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, dukacita berhubung majlis berbuka puasa anjuran Ahli Parlimen Johor Bahru di Gurdwara Sahib, di negeri itu, Selasa lalu.

Baginda bertitah ahli Parlimen terbabit, tidak pernah merujuk pihak berkuasa Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) mengenai perkara itu.

Dipetik dari ISMAWEB.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *