Pendirian Dr Mahathir tidak menyerahkan Dr Zakir Naik kepada kerajaan India mesti disokong oleh semua terutama umat Islam.

OLEH: DR AZMI HASSAN (kemas kini 4.46 pm 13 Jun 2019)

NAMPAK gayanya semakin lantang tekanan terhadap Kuala Lumpur supaya menyerahkan pendakwah terkenal Zakir Naik kepada India dan lebih menakjubkan tekanan tersebut bukan sahaja berpunca dari India tetapi dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Peguam kontroversi Siti Kasim umpamanya menyifatkan pendirian Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan Zakir adalah selari dengan pendirian kerajaan mempertahankan operasi nadir bumi Lynas walaupun mendapat bantahan orang ramai. Menurut Siti lagi, Zakir dan Lynas tidak patut dipertahan kerana kedua-duanya dianggap sebagai sisa toksik.

Begitu jua dengan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh juga cuba memaksa Kuala Lumpur akur dengan permintaan New Delhi. Ramkarpal telah memperlekehkan perbandingan yang dibuat oleh Dr. Mahathir mengenai kes Sirul Azhar Umar dengan Zakir sebagai dalil mengapa Kuala Lumpur tidak perlu akur dengan permintaan India.

Ramkarpal juga mendakwa tiada apa yang perlu dikhuatiri Kuala Lumpur kerana sistem keadilan di India akan memastikan Zakir diberi peluang secara adilnya untuk mempertahankan diri. 

Diberitakan waran tangkap terhadap Zakir sedang diusahakan oleh Direktorat Penguatkuasaan India (ED) dengan menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002 sebagai asas pertuduhan. Keputusan akan dibuat oleh mahkamah khas Mumbai pada 19 Jun ini.

Asas kepada permohonan waran tersebut berkait dengan aktiviti Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang dituduh menerima sejumlah besar wang dari ‘sumber yang meragukan, mencurigakan atau tidak diketahui’.

Kuala Lumpur besar kemungkinan tidak akan menyerahkan Zakir kepada New Delhi tidak kira sama ada dilakukan melalui Interpol atau saluran diplomatik lain kerana terdapat keraguan bahawa pendakwah tersebut tidak akan menerima keadilan yang sepatutnya. 

Ini adalah kerana kes ini dari awal lagi telah diselubungi oleh faktor agama yang begitu sensitif. Walaupun asas waran tangkap adalah berkenaan dengan pengubahan wang haram, tetapi tidak dapat dinafikan aktiviti dakwah Zakir amat berkait rapat.

Jika Ramkarpal menolak analogi Zakir dan Sirul yang digunakan oleh Dr. Mahathir dan mempertahankan keutuhan sistem keadilan India yang tidak prejudis hal agama, maka apa yang tercetus di Kethua, wilayah Jammu, Kashmir perlu digunakan sebagai teladan. 

Walaupun keputusan mahkamah telah diperoleh beberapa hari lepas mengenai kes kanak-kanak perempuan yang dirogol berulang kali secara kejam oleh sekumpulan lelaki, tetapi proses untuk mendapat keadilan telah melalui pelbagai rintangan.

Advertisement

Kes ini dari awal telah diselubungi oleh faktor agama kerana mangsa beragama Islam sementara pelakunya adalah lelaki Hindu. Begitu jua dengan kedudukan sosial yang rendah mangsa yang berasal dari masyarakat nomadik Bakarwals membuatkan keadilan sukar sekali dicapai. Perbicaraan tidak dapat dibuat di Jammu kerana tekanan untuk menggagalkannya adalah begitu kuat sehingga memaksa perbicaraan berpindah ke Punjab.

Bukannya sistem keadilan India dicurigai tetapi faktor luaran seperti agama dan ras yang besar kemungkinan akan mempengaruhi perjalanan proses keadilan adalah dalil utama mengapa dipercayai Zakir tidak akan mendapat keadilan sepenuhnya jika diadili di India.

Perlu diberi perhatian permohonan waran tangkap Zakir adalah berasaskan kepada siasatan yang dilakukan oleh Direktorat Penguatkuasaan India mengenai jenayah ekonomi, tetapi pada 2016 agensi yang bertanggungjawab mengenai keganasan iaitu Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) telah mengeluarkan laporan yang menuduh Zakir dan IRF terlibat dalam kegiatan yang menjerumus kepada keganasan. 

Ekoran dari laporan NIA ini kerajaan BJP di bawah pimpinan Narendra Modi telah mengenakan sekatan terhadap IRF selama 5 tahun dengan menggunakan perundangan anti keganasan.

Faktor politik India juga bakal mempengaruhi kes Zakir memandangkan parti BJP yang asas sokongan mereka adalah nasionalisme Hindu baru sahaja beroleh kemenangan bergaya dalam pilihan raya umum Februari lepas. Ini adalah kerana faktor nasionalisme Hindu berkait rapat dengan senario mengapa Zakir dianggap membawa kemudaratan kepada India.

Mungkin juga iktibar mengapa penduduk Hong Kong menolak perundangan ekstradisi ke tanah besar China walaupun kedua-duanya adalah satu negara tapi mengamalkan dua sistem tadbir urus yang berlainan perlu diambil kira.

Jika Siti Kasim mengandaikan Lynas dan Zakir adalah sisa toksik, penghujahan tersebut mudah dipatahkan. Ini adalah kerana aktiviti proses nadir bumi yang mengeluarkan sisa boleh dikawal supaya tidak membahayakan manusia dan alam sekitar. Begitu jua dengan Zakir walaupun dilabel sebagai musuh di India, tetapi di Malaysia Zakir dianggap sebagai sumber pengetahuan.

* DR AZMI HASSAN adalah Profesor Geostrategis di UTM. Tulisan ini pertama kali disiarkan di Utusan Malaysia 13 Jun 2019. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *