Membaca buku belum menjadi budaya sesetengah warga Kuala Lumpur.

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN (4.20pm 3 Ogos 2019)

Tahun depan Kuala Lumpur menjadi kota buku dunia dengan nama yang gah – Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020. Di Kuala Lumpur juga baru berlangsung  Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur  2019 (PBAKL)  di PWTC. Pesta buku   satu acara tahunan  bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur. Kota Buku Dunia 2020 pula pengiktirafan yang mempunyai hubung kait dengan  buku – pesta buku, industri buku dan tahap apresiasi masyarakat terhadap buku.

Walaupun diberi pengiktirafan besar pada Kuala Lumpur dan konsistennya penganjuran pesta buku antarabangsa, yang menjadi teras  pada semua ini ialah apresiasi masyarakat terhadap buku.  Persoalannya sekarang adakah tahap apresiasi masyarakat terhadap buku berada pada tahap tinggi sekalipun tidak terlalu tinggi?

Kalau tidak berada pada tahap sewajarnya,  tentu ada yang mempersoal apakah ertinya  Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 dan  PBAKL yang berlangsung tanpa selang saban tahun?  Kedua-dua ini  wajarnya membawa maksud apresiasi masyarakat di negara ini atau Kuala Lumpur khususnya terhadap buku.

Ada sesetengah pihak sangat teruja dengan gelaran Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020. Kata mereka yang memberikan pengiktirafan itu bukan calang-calang tetapi  Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).  Ini pengiktirafan sebuah badan dunia,  kata mereka lagi.

Bagaimanapun saya mengambil pendirian untuk menangguh  ekspresi kebanggaan dan rasa teruja.  Banyak kerisauan yang menghalang di depan sebelum terbit rasa bangga dan teruja dengan Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020.  Maka elok sahaja dibiarkan hingga tiba masanya  kebanggaan itu mempunyai erti.

Kerisauan saya ialah apresiasi masyarakat secara keseluruhannya terhadap semua yang berkaitan dengan perbukuan. Penerbitan buku mengalami penurunan kerana didorong oleh  perlahannya sambutan daripada masyarakat.  Penerbit dan penulis buku ada kisah-kisah tragis sendiri mengenai buku yang tidak diketahui orang.

Memikirkan tentang PBAKL yang saban tahun dianjurkan,  kemelut industri buku,  krisis pembaca mencari santapan minda dengan bahan-bahan bercorak pop semuanya lebih menganggu berbanding keterujaan gelaran baru untuk Kuala Lumpur.

Secara kasar,  pesta buku antarabangsa mencatatkan sambutan yang hebat daripada pembeli.  Tetapi kalau diperhalusi jualan buku-buku yang mengusik pemikiran masih jauh di bawah tahap memuaskan.  Reruai yang memjual buku-buku begini sepi kerana pengunjung berkerumun di reruai buku-buku pop.

Difahamkan novel pop mencatatkan jualan yang tinggi. Salah satu sebabnya  kerana promosi secara tidak langsung apabila memindahkan sebagai drama bersiri di televisyen. Saya sengaja tidak menggunakan istilah ‘adaptasi’ kerana  tidak berlaku pun adaptasi dari novel ke televisyen.  Maka saya membuat andaian kalau segmen  buku-buku pop dicabut daripada PBAKL,  acara ini barangkali agak sepi.

Penganjur PBAKL tentu sedang berusaha mencari jalan  mengimbangi  kelarisan buku-buku pop dengan yang menjentik minda di acara akan datang.  Keadaan ini tidak wajar dibiarkan seadanya sahaja kerana jenama PBAKL harus juga sinonim dengan ‘buku’ yakni yang tinggi isi kandungannya.

Kalau PBAKL dijadikan indikator apresiasi masyarakat terhadap buku,  kita belum mencapai tahap negara maju.  Saiz industri buku yang semakin mengecil dan apresiasi  terhadap terus menguncup adalah suatu yang kontradik dengan gelaran Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020.

Kita tentu membayangkan bandar raya yang digelar kota buku dunia mencerminkan budaya yang tinggi terhadap industri buku, penulisan buku dan yang penting sekali apresiasi yang tinggi masyarakat setempat terhadap buku.  

Saya terus tercari-cari makna ‘Kuala Lumpur Kota Buku Dunia’ apabila banyak penerbit yang mengambil bahagian dalam PBAKL 2019 yang lalu terpaksa memberi potongan hingga 80 peratus. Kita tidak boleh menyalahkan penerbit, untuk kelangsungan hanya ini caranya.

Kita boleh sahaja bertanya, ini menjual buku atau menjual kertas?  Kalau buku dinilai bukan fizikalnya tetapi isi kandungan di mana penulis memerah otak untuk menghasilkan yang terbaik.  Tetapi kertas dinilai fizikalnya.  Memberi potongan 80 peratus daripada harga asal adalah satu tragedi dalam dunia perbukuan kita.

Tetapi penerbit  tidak mempunyai pilihan untuk mendapat kembali modal yang dilabur.  Mereka terpaksa menjual ‘kira bakul’  kerana terpaksa  dan berbuat demikian demi kelangsungan –  untuk terus menerbitkan buku.  Hal-hal sedemikian  harapnya tidak dipandang ringan oleh penganjur PBAKL.

Ada penulis hampir menangis melihat buku yang dihasilkan dengan penuh akhirnya terpaksa dijual setaraf  surat khabar lama.  Maka ada sesetengah daripada mereka Sesetengah penulis terpaksa membeli semula buku yang dijual  untuk diberikan kepada orang yang lebih menghargai isi kandungannya.

Saya tidak tahu apakah kriteria untuk sesebuah bandar raya itu dipilih sebagai Kota Buku Dunia. Gelaran itu pada tanggapan peribadi saya terlalu besar dengan realiti perbukuan iaitu dari sudut industri, kadar membaca dan apresiasi yang tinggi terhadap buku.  Kita tentu tercari-cari apakah signifikan  antara realiti dunia perbukuan  yang nazak dan orang yang malas membaca dengan gelaran Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020.  Untuk sedapkan hati tidak apalah.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *