OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
Kempen Dahulukan Membeli Produk Muslim (BMF) telah dimangsai oleh pandangan sesat yang diarusperdanakan oleh pemimpin politik Cina dan Melayu dalam kerajaan.
Tujuan murni kempen ini sengaja difahami di luar konteks yang sebenarnya hingga seolah-olah memboikot produk bukan muslim. Ini perangai yang tidak bertanggungjawab.
Akibat kegelojohan politik pemimpin Cina dan Melayu yang berkawan dengan DAP. mereka sengaja membina persepsi bahawa ini tindak balas politik orang Melayu. Ini suatu yang disengajakan bertujuan mensabotaj kempen berkenaan.
Dari manakah pemimpin Cina dan Melayu pro DAP ini mendapat maklumat bahawa kempen ini sadalah boikot? Tolonglah, jangan kutip maklumat-maklumat sampah di media sosial yang kredibiliti dan autoriti pihak yang meuar-uar itu diragui.
Lain kali baca betul-betul, faham bahasa Melayu betul-betul sebelum mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menunjukkan kebodohan. Kenapa DAP dan Melayu pro DAP takut sangat dengan muslim memberi produk muslim?
Sebenarnya mereka inilah yang tidak bertanggungjawab kerana mengaitkan isu kepenggunaan iaitu kempen utamakan produk muslim sebagai perkauman dan politik. Salahkah muslim mengajak muslim lain membeli produk keluaran muslim. Ini termasuklah Cina, India dan lain-lain lagi yang muslim.
Tolonglah buka sedikit otak itu untuk memahami isu-isu bukan dari sudut politik atau kaum yang sempit. Beginilah kesannya kalau semuanya hendak dikaut keuntungan politik, kemudian mengarusperdanakan suatu yang di luar konteks sama sekali.
“Jika PAS dan Umno tidak menentang bukan Islam dan bukan Melayu, mereka harus mengamalkan mengecam kempen boikot produk bukan bumiputera seperti itu,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Nah, ini satu kenyataan sengal untuk mengheretkan politik dalam isu kepenggunaan.
Kalau DAP hendak bertelagah dengan UMNO dan Pas, silakan. Banyak lagi pentas lain untuk mereka bertelagah tetapi bukan menempek pada isu kepenggunaan. Ini tidak ada kena mengena dengan politik. Bijaklah sikit supaya rakyat yakin dengan pemimpin kerajaan masa ini.
Apabila Lim Guan Eng menyindir supaya memboikot juga telefon bimbit, itu adalah kenyataan berbaur perkauman kerana sebahagian besar penjual telefon bimbit adalah orang Cina. Kenyataan ini sebenarnya yang menyalakan ketegangan kaum.
Ada juga sesetengah pemimpin politik Melayu pro DAP mengingatkan bahawa kempen ini tidak berjaya menjejaskan produktiviti dan ekonomi bukan muslim. “Kerja orang pendek akal dan sia-sia,” katanya.
Memang benarlah kempen bukan bertujuan untuk menjejaskan produktiviti dan memberi kesan pada ekonomi pengeluar bukan muslim. Ini sedikit pun tidak ada dalam agenda.
Kerajaan baru yang sudah tidak berapa baru ini menjanjikan kebebasan bersuara. Kebebasan juga mesti diberikan dalam memilih produk. Janganlah menafikan kebebasan pengguna muslim memilih produk yang disukainya.
Tidak usahlah mengugut kalau utamakan produk muslim akan menjejaskan keharmonian kaum. Ini mengarut. Sebaliknya kenyataan-kenyataan yang menolak kempen ini lebih perkauman.