Agak memeranjatkan apabila Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad beberapa hari lepas telah memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan negara dikenakan sekatan ekonomi akibat dari sengketa perang dagang diantara Amerika Syarikat (AS) dan China pada ketika ini.
Agak musykil juga kerana sememangnya Malaysia terperangkap dalam perang dagang antara dua gergasi ekonomi ini memandangkan kedua-dua negara tersebut merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia. Tetapi mengapa pula Malaysia akan dikenakan sekatan ekonomi dan negara manakah pula yang akan mengenakan sekatan tersebut telah menjadi persoalan pada ketika ini.
Asasnya sememangnya tidak logik Malaysia dikenakan sekatan ekonomi sama ada oleh AS atau China kerana sengketa dagang itu tiada kena mengena dengan kita. Dr. Mahathir tidak pula memperincikan sumber maklumat mengenai jangkaan sekatan ekonomi tersebut.
“Dari segi ekonomi, kita terlibat dalam kedua-dua pasaran, dan secara fizikal kita juga terperangkap dari segi geografi. Ada kemungkinan kita juga akan menjadi sasaran sekatan,” tambah Dr. Mahathir lagi dalam sidang akhbar ketika menjelaskan kepada pemberita mengenai kesan perang dagang terhadap Malaysia.
Dr. Mahathir juga mengadu bagaimana negara kecil seperti Malaysia dibuli oleh negara yang lebih besar dalam hal perdagangan dan mengguna contoh perihal kempen negatif terhadap minyak sawit Malaysia oleh beberapa negara Kesatuan Eropah (EU).
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan beberapa pengimport minyak sawit dari India yang mengambil keputusan untuk tidak membuat perolehan komoditi tersebut dari Malaysia akibat dari isu Jammu-Kashmir.
Tindakan negara EU dan juga India itu hanya melibatkan komoditi berkait sawit tetapi jika benar Malaysia akan menghadapi sekatan ekonomi, kesan kepada kedudukan ekonomi negara adalah amat berat sekali.
Jika dikaitkan andaian sekatan ekonomi ini dengan perang dagang maka tidak logik sekatan berpunca dari China kerana lazimnya Beijing hanya akan mengambil tindakan apabila negara berkenaan telah mengambil sesuatu tindakan yang memudaratkan mereka.
Maka dalam hal ini besar kemungkinan sekatan ekonomi ini akan berpunca dari AS kerana Washington di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump tanpa segan silu akan mengguna tindakan ekonomi terhadap satu-satu negara walaupun isunya tiada kena mengena dengan hal perdagangan.
Contoh terbaik adalah ugutan Trump terhadap Mexico yang akan dikenakan sekatan ekonomi jika Mexico tidak mengambil langkah menyekat kemasukan pelarian dari Latin Amerika ke AS.
Sebab itu juga kebimbangan Dr. Mahathir tentang kemungkinan Malaysia akan dikenakan sekatan ekonomi berkemungkinan ada kena mengena dengan peristiwa empat bulan sebelum ini.
Pada Mei lepas, Malaysia diletakan dalam kategori pemerhatian oleh Jabatan Perbendaharaan AS dalam perkara negara yang disyaki manipulasi mata wang masing-masing.
Bukan sahaja Malaysia tergolong dalam kategori ini tetapi juga beberapa negara lain seperti Jerman, Korea Selatan, Jepun, Singapura dan juga China. Cuma yang berbeza adalah alasan mengapa negara itu digolongkan dalam kategori pemerhatian.
Dalam kes Malaysia dua kriteria yang menyebabkan negara kita tergolong dalam pemerhatian AS ialah pertama kerana Malaysia mencatat lebihan dagangan dengan AS melebihi paras AS$20 bilion setiap tahun. Faktor kedua ialah kerana Malaysia mempunyai lebihan jumlah akaun semasa melebihi dua peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kriteria ketiga yang akan menyebabkan Malaysia dikategorikan sebagai negara manipulasi mata wang jika terdapat unsur campur tangan berat sebelah oleh Bank Negara dalam pasaran pertukaran mata wang global.
Pada Ogos lepas China yang selama ini berada dalam kategori pemerhatian, telah memenuhi ketiga-tiga kriteria Jabatan Perbendaharaan dan dilabelkan sebagai negara yang manipulasi mata wang iaitu Renminbi.
Label ini membolehkan AS mengenakan beberapa penalti ekonomi termasuk menggesa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyiasat tingkah laku China dalam ketika melaksana perdagangan global.
Mungkin juga label manupulasi mata wang yang dikenakan terhadap China tidak memberi kesan secara langsung kepada ekonomi China, jika dikaitkan sengketa perang dagang ketika ini dimana sebahagian besar produk dari China telah pun dikenakan kadar tarif yang agak berlebihan menyebabkan barangan import dari China ke AS menjadi lebih mahal.
Tetapi jika Malaysia dikenakan label negara manipulasi mata wang maka kesan kepada ekonomi Malaysia adalah agak membimbangkan. Ini kerana eksport barangan Malaysia ke AS adalah agak tinggi kerana AS merupakan rakan dagang ketiga tertinggi dengan Malaysia. Mungkin itu juga senario kebimbangan yang disuarakan oleh Dr. Mahathir.
- DR AZMI HASSAN adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)