Suara rakyat tidak ke mana kalau pemimpin Melayu diam membisu. (Gambar hiasan)

PEMIMPIN Melayu dalam kerajaan perlu berani dan tegas menolak UEC.  Mereka kelihatan berdolak dalik dengan kaum pejuang UEC, berlembut kerana nyawa politik dan akhirnya membayangkan UEC akan dihalalkan.  

UEC adalah virus.  Kalau virus ini tidak dibanteraskan ia  akan mendatangkan penyakit yang merosakkan  hubungan  antara kaum yang sedia terjalin.  Usaha membanteras virus yang menjadi semakin  sukar dan liar selepas Pilihan Raya Umum (PRU14). Ia menuntut penglibatan, kesungguhan dan kefahaman  pelbagai pihak terutama pemimpin politik.

UEC singkatan bagi Sijil Peperiksaan Bersepadu  juga adalah bahan uji yang mengukur  kekentalan hubungan masyarakat pelbagai kaum.  Ia tidak boleh  dibiarkan berlama-lama dalam  landskap politik negara yang baru, rapuh dan  berterusan dengan tawar menawar politik.  UEC mesti diputuskan secara tegas dan pantas bahawa ia tidak dapat diiktirafkan dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Ketegasan ini perlu supaya tidak ada ruang untuk dijadikan isu politik dalam suasana yang belum stabil ketika ini.  Kekentalan politik pembuat dan pelaksana dasar  adalah penting supaya isu yang menjurus kepada prasangka kaum tidak merebak pada hal-hal  yang boleh mencalarkan  kaum lain.

Desakan mengiktirafkan UEC  adalah kesan jelas  daripada  kebergantungan politik kepada sesuatu kaum tertentu.  Kerana kebergantungan ini membuatkan banyak  tidak berani berkata dan bertindak benar  demi generasi muda Malaysia pada masa depan.  UEC  seolah-olah akan menyihirkan siapa yang menentangnya. Amat hebat sihirnya.

Suatu hakikat yang tidak dapat disembunyikan ialah UEC  cuba merobek kesepakatan  yang dipersetujui dalam kontrak sosial  yang seterusnya  terbentuk Perlembagaan.  Dalam konteks  Perlembagaan di mana tercatat bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, UEC kelihatan cuba menafikan hal ini.  Maknanya sistem pendidikan kebangsaan wajib menjunjung bahasa  Melayu cuba dialih. Padahal kedudukan bahasa Melayu tertera jelas dalam Dasar Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan 1996.

Sementara UEC adalah komponen yang dilahirkan dalam sistem pendidikan Cina di negara ini yang mengutamakan bahasa ibunda.  Pertentangannya berlaku apabila sijil yang dikeluarkan oleh sistem pendidikan yang menolak bahasa Melayu didesak diiktiraf untuk kemasukkan institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang berada dalam Dasar Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan 1996.

Nampaknya “keberanian politik”  sesetengah pemimpin  tidak berhasil membendung gelombang yang mendesak supaya UEC diiktirafkan.  Hingga satu  ketika hampir diiktirafkan  tetapi  kerajaan menarik balik.  Mujurlah gerakan massa  bangkit menentang pengiktirafan UEC. Tetapi belum berjaya  sepenuhnya kerana pengiktirafan sijil ini hanya ditangguh bukan ditolak.

Hujah-hujah yang bersifat akademik dan kajian yang  mendalam tentang  baik dan buruk UEC dalam konteks sistem pendidikan kebangsaan sudah cukup banyak dibentangkan.  Tokoh dalam dunia pendidikan, budaya dan bahasa  juga sudah banyak mengemukakan  alasan yang cukup  kuat  dan munasabah  menolak  UEC. Tetapi pejuang UEC  terus mendesak hingga menggoreskan perasaan kaum lain terutama orang Melayu dan  juga Cina yang patuh pada sistem pendidikan yang mendaulatkan bahasa Melayu.

Maka  adalah sangat wajar  kita bertanya kepada pejuang-pejuang UEC,  kenapakah dari awal lagi,  (di peringkat sekolah rendah kemudian  sekolah menengah)   mereka  memilih sistem pendidikan yang bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara?  Kenapa  pula di peringkat universiti  beralih memilih IPTA yang  bertentangan dengan dasar mengagungkan bahasa Cina? 

Bukankah lebih baik alang-alang  menongkah  sistem pendidikan kebangsaan,  kerana keangkuhan dan kesombongan,  teruskanlah memilih  universiti swasta atau di luar negara yang tidak mengutamakan bahasa Melayu?  Pergilah.  Tidak perlulah menganggu keharmonian dengan ugutan-ugutan politik selepas PRU14. 

Kenapa tidak memilih  universiti di Taiwan misalnya  yang selari dengan sistem pendidikan  di peringkat rendah dan menengah  sekolah aliran Cina di negara ini?  Maka yang kelihatan  ada semacam kesengajaan  untuk mencetuskan kontroversi  menolak bahasa Melayu   yang menjadi teras  dalam Dasar Pendidikan Negara.

Pemegang-pemegang sijil UEC sebahagian besarnya terdidik dalam persekitaran yang asing,  seolah-olahnya bukan di negara ini.  Bahasa pengantarnya Cina dan sosialisasi  antara pelajar dalam kelompok yang diasingkan dari  sifat  pelbagai kaum.  Hal ini tidak berlaku di sekolah kebangsaan yang membina jambatan antara kaum di peringkat kanak-kanak lagi.

Kerajaan telah menyediakan sekolah kebangsaan di peringkat rendah dan menengah untuk semua rakyat. Sekolah kebangsaan bukan sekolah untuk orang Melayu.  Hanya yang mempunyai agenda serong sahaja menganggap sekolah kebangsaan  adalah sekolah orang Melayu.  Orang Melayu  sebenarnya tidak ada sekolah sendiri seperti Cina atau India yang ada sekolah vernakular  masing-masing dan mendapat bantuan kerajaan.  

Selepas dimanjakan dengan menyalurkan bantuan yang bukan kecil pada sekolah vernakular (sebenarnya inilah pemangkin polarisasi kaum),  puak cauvanis melangkah ke depan menuntut supaya UEC di sekolah Cina diiktirafkan untuk memasuki IPTA. Untuk apa?

UEC tidak ada kena mengena dengan dasar kerajaan kerana pertama,  bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara  dan Akta Pendidikan 1996,  kedua,  sudah ada sekolah untuk semua kaum iaitu sekolah kebangsaan.  Menuntut supaya UEC diiktirafkan  adalah mengambil peluang daripada kebergantungan politik Melayu kepada bukan Melayu di negara ini.

Menuntut pengiktirafan UEC  adalah satu perjuangan politik dan budaya.  Ini bukan soal kualiti sistem pendidikan kebangsaan yang lemah.Tetapi  ini sebagai satu peluang bagi memastikan  sistem pendidikan, budaya dan bahasa Cina  mengatasi  kaum lain di negara ini.  UEC diambil dari Taiwan kemudian mereka menuntut (memaksa)  supaya kerajaan mengiktirafkan sistem yang menafikan kedudukan bahasa Melayu.

Pada peringkat awalnya memang tidak kelihatan agenda politik. Ini  kerana yang tampil di depan khalayak adalah  pertubuhan bukan kerajaan,  Gabungan  Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM)  tetapi lebih dikenali dalam bahasa Cina sebagai Dong Zong.  Tetapi yang berada di belakang Dong Zong adalah parti-parti  politik Cina di negara ini.  sebahagian orang Cina sepakat tanpa mengira ideologi politik  memperjuangkan kepentingan mereka termasuk UEC.

Sangat jelas bahawa  seni berpolitik Cina sangat jauh ke depan berbanding Melayu.  Mereka memastikan tidak  berpolitik  telor sebiji riuh sekampung. Agenda Melayulah. Agenda Islamlah.  Tetapi sebahagian penuh kepura-puraan.  Oleh hal yang demikian,  sama ada Barisan Nasional (BN)  atau Pakatan Harapan yang menang dalam PRU14,  kedua-dua belah pihak  berjanji akan mengiktirafkan UEC.  Dalam BN ada MCA dan Gerakan, dalam Pakatan Harapan ada DAP.  Hebat.

Inilah akibatnya apabila  sesetengah pemimpin tidak berani bertegas kerana bimbang  faedah politik mereka terjejas.  Kesungguhan politik Melayu terlalu rapuh  gagal memastikan kelestarian perpaduan  kaum dalam jangka panjang. 

Sekolah vernakular adalah perosak perpaduan.  Tetapi  ironinya  orang Melayu pula yang berteriak supaya sekolah tahfiz  ditutup dan selamatlah sekolah vernakular.

Dong Zong bukan terlalu naif  dan tidak tahu  bahawa UEC bertentangan dengan Dasar PendidikanNegara dan akta pendidikan. Malah mereka mungkin lebih mendalaminya.  Tetapi mereka  tetap menuntut kerana UEC menjadi barang dagangan yang sangat bernilai di pasaran politik kaum negara ini pasca PRU14.

Ahli akademik dan pejuang bahasa masih bertolak ansur.  Mereka mencadangkan supaya  pemegang sijil UEC  mendapat  sekurang-kurangnya kepujian dalam subjek bahasa Melayu (selalu disebut Bahasa Malaysia untuk memadamkan Melayunya) dan Sejarah.  Ini satu penolakan yang sangat diplomasi dan paling beradab. Bagaimanapun diplomasi ini tidak dihargai apabila Dong Zong menolak  syarat itu.

Penolakan ini bukan kerana  mereka bimbang pelajar sekolah vernakular akan gagal dalam peperiksaan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah.  Sebaliknya   kerana syarat yang diberikan itu bertentangan dengan dasar mengutamakan bahasa Cina. 

Hal ini disebabkan oleh sistem pendidikan Cina di negara ini mengutamakan bahasa Cina.  Ini menunjukkan bahasa Cina adalah alat pembudayaan Cina yang sangat penting.  Sikap caunavisme  pihak  tertentu menjadikan  sesetengah pelajar Cina sendiri menjadi mangsa.  Kalau UEC  diiktirafkan sudah pasti ia akan memangsakan pelajar Cina di sekolah kebangsaan kerana rakan mereka yang memegang UEC mendapat keistimewaan.

Peperiksaan untuk mendapat UEC adalah alternatif pelajar-pelajar yang tidak mahu mengikuti sistem pendidikan kebangsaan yang mengutamakan bahasa Melayu. Siapa yang memberi kuasa atau kelonggaran untuk mewujudkan alternatif yang mengenepikan bahasa Melayu?  UEC adalah suatu tindakan yang menzahirkan sikap besar kepala kaum yang  perjuangkan UEC. Kamu,  pemimpin-pemimpin politik Melayu dalam kerajaan sudah tidak relevan sekiranya tidak tegas menolak UEC.

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *