OLEH DR AZMI HASSAN

Benar sekali apa yang lazim diperkatakan, dalam politik lawan dan kawan tiada yang kekal sebab satu hari dalam dunia politik adalah satu jangka masa yang begitu lama kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku. Realpolitik adalah amalan biasa ahli politik yang mana ideologi politik mengambil tempat duduk belakang demi mendahulukan manfaat semasa. 

Apabila enam Ahli Parlimen UMNO iaitu Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) membuat keputusan menyuarakan sokongan terbuka kepada Dr. Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai Perdana Menteri selama satu penggal, ramai yang musykil kerana keputusan tersebut bukan dasar UMNO yang rasmi.

Lebih menarik lagi kenyataan dari Geng 6 UMNO tersebut tercetus hanya selang beberapa hari setelah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengeluarkan kenyataan yang Dr. Mahathir seharusnya menjadi Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum yang dijangkakan diadakan pada 2023.

Hishamuddin Hussein
Takiyuddin Hassan
Mastura Mohd Yazid

Tidak menghairankan apabila 18 Ahli Parlimen PAS turut menyatakan sokongan serupa kepada Dr. Mahathir kerana itu adalah pendirian rasmi PAS. Malah ketika perbahasan RUU Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan turut meluahkan sokongan yang serupa.

Tetapi UMNO sebagai sebuah parti tidak pernah menzahirkan sokongan secara terbuka kepada Dr. Mahathir untuk kekal jawatan Perdana Menteri satu penggal kerana parti tersebut membuat tafsiran itu adalah isu dalaman PH. 

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan Geng 6 tersebut adalah pendapat peribadi masing-masing dan tiada kena mengena dengan dasar UMNO sebagai sebuah parti. 

Tetapi perlu ditekankan hasrat utama sokongan Geng 6 adalah demi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara. “Kami tidak mahu masalah timbul akibat peralihan kuasa dalam masa dua tahun ini”, tegas Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar. 

Jika diteliti kenyataan tersebut ia sebenarnya selari dengan pendirian UMNO yang secara dasarnya menghormati kerajaan hari ini tanpa dengan spesifik mensasarkan pendirian tersebut terhadap Dr. Mahathir. 

Advertisement

Timbul juga tanda tanya apakah tindakan sokongan terbuka Geng 6 ini mendapat restu tersirat kepimpinan UMNO. Dalam hal ini mahu tidak mahu perlu juga dikaitkan dengan khabar angin mengenai berita Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang diaktakan cuba mengumpul 30 Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri satu penggal.

 Menarik apabila Zahid menasihat kepimpinan PH supaya jangan gusar dengan khabar angin sebegitu kerana ia satu perkara yang mustahil untuk berlaku.

Jika dikaitkan tindakan sokongan terbuka Geng 6 dan 18 Ahli Parlimen PAS, plot Hishamuddin dan penafian Zahid seolah-olah terdapat satu strategi gerak saraf pembangkang untuk melindungi Dr. Mahathir dari serangan dalaman PH berkaitan hal jawatan Perdana Menteri. 

Malah Majlis Presiden PH terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa status jawatan Perdana Menteri hanya boleh ditentukan oleh mereka dan memperli pembangkang kerana seoalah-olah pembangkang mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang layak menjawat jawatan tersebut.

“Itu adalah pendapat mereka. Majlis Presiden PH yang akan menentukan kedudukan jawatan tersebut. Kami yang akan menentukannya”, tegas Dr. Mahathir lagi selepas mesyuarat Majlis Presiden PH. 

Tetapi hakikatnya adalah sokongan terbuka Geng 6 UMNO, 18 Ahli Parlimen PAS dan juga khabar angin plot Hishamuddin sudah cukup kuat untuk memperlahankan tekanan terhadap Dr. Mahathir supaya melepaskan jawatan Perdana Menteri dalam jangka masa dua tahun ini. 

Dalam dunia politik, strategi adalah segala-galanya demi untuk mencapai agenda politik. Pengamalan politik anjal dan realpolitik adalah kritikal supaya strategi gerak saraf yang direncanakan walaupun pada dasarnya kelihatan pelik, tetapi yang penting objektif yang direncanakan mampu dicapai.

  • DR AZMI HASSAN adalah Profesor Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *