OLEH KU AMIRUL FAIZ

SELAIN daripada fizikal bangunan putih yang tersergam indah dengan 17 tingkat, Parlimen mempunyai makna yang lebih besar. Parlimen bukanlah sekadar sebuah bangunan mahupun simbol demokrasi semata-mata. 

Sekiranya Parlimen diertikan hanya sebagai sebuah bangunan, maka Malaysia mempunyai dua buah Parlimen memandangkan Parlimen pertama terletak di Dewan Tunku Abdul Rahman di Jalan Ampang sebelum bangunan Parlimen siap pada tahun 1963.

Sebaliknya Parlimen mempunyai roh dan tempat tersendiri dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Semangat Parlimen Malaysia samalah seperti di England iaitu secara ideal merupakan wadah bagi wakil yang dilantik rakyat untuk berhujah memperjuang dan membawa suara rakyat yang diwakili. 

Komponen Parlimen di Malaysia terdiri daripada Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Yang di-Pertuan Agong merupakan penggerak dan tulang belakang kepada badan legislatif. 

Di sinilah sesuatu undang-undang dibaca, dibahas dan diluluskan sebelum diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Undang-undang tersebut kemudiannya diwartakan dan berkuat kuasa dalam menguruskan hal ehwal negara, ekonomi dan rakyat.

Parlimen Malaysia

Rakyat hanya boleh menzahirkan sokongan atau bangkangan sesuatu isu di tepi-tepi jalan tetapi segalanya tidak akan berubah selagi mana perkara tersebut tidak diputuskan di Parlimen. 

Menyedari betapa pentingnya institusi Parlimen ini, maka tidak hairanlah ramai yang berebut-rebut untuk menjadi Ahli Parlimen. Mana tidaknya, Ahli Parlimen mempunyai keistimewaan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 63.  

Dengan adanya peruntukkan ini diharapkan Ahli Parlimen mampu berhujah dan membawa suara rakyat tanpa rasa gentar dan takut.  

Ahli Parlimen, baik Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara, seharusnya menyedari hakikat bahawa masa dan peluang yang mereka ada hanyalah sekitar 4-5 tahun, atau 3 tahun bagi senator. 

Setelah itu nasib mereka dipulangkan kembali untuk ditentukan oleh rakyat.  Justeru alangkah ruginya sekiranya penggal yang diberikan mandat oleh rakyat tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya. 

Para Ahli  Parlimen juga perlu menyedari hakikat demokrasi bahawa nasib mereka adalah tidak pasti apabila tiba pilihan raya kelak.

Sidang Parlimen  merupakan satu-satunya wadah suara rakyat diangkat dan bincangkan. 

Ketika inilah wakil-wakil eksekutif perlu menjawab dan memuaskan hati wakil-wakil Parlimen yang ada. Malangnya, bagaimana mungkin wadah ini boleh dimanfaatkan sekiranya kehadiran Ahli Parlimen, baik dari parti pemerintah dan parti pembangkang, tidak memberangsangkan terutamanya sejak akhir-akhir ini? 

Sejauh manakah peranan sebagai dewan perwakilan rakyat dijalankan sekiranya penglibatan ahli-ahlinya tidak seperti yang diharapkan?

Advertisement

Sebagai rakyat, penulis sentiasa mengharapkan kerusi-kerusi di dalam Dewan Rakyat dipenuhi. Misalnya semasa pembentangan Belanjawan 2018, kehadiran boleh dikatakan lebih 2/3 dewan. 

Menteri-Menteri serta Timbalan-Timbalan Menteri hadir begitu juga dengan Ketua Pembangkang. Namun pada hari-hari yang lain kelihatan dewan yang tersergam indah itu kosong dengan hanya beberapa ahli sahaja yang hadir.  

Contohnya pada 24 Oktober yang lalu, sidang Dewan Rakyat untuk pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Pindaan) 2017 terpaksa ditangguhkan gara-gara tiada Menteri atau Timbalan Menteri yang berada dalam dewan untuk menyokong pembentang.

Keadaan ini sesuatu yang menyedihkan memandangkan sidang Parlimen hanya beberapa kali sahaja dalam setahun.  Bagi penggal kelima, Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat hanya 20 hari iaitu dari 6 Mac 2017 sehingga 6 April 2017.  

Bagi Mesyuarat Kedua pula hanya mengambil masa 12 hari iaitu bermula dari 24 Julai 2017 sehingga 10 Ogos 2017 manakala Mesyuarat Ketiga yang sedang berlangsung sekarang hanya memakan masa 25 hari yang bermula pada 23 Oktober 2017 sehingga 30 November 2017.  

Ini menunjukkan untuk penggal 2017, hanya 57 hari sahaja ahli Dewan Rakyat perlu hadir ke sidang Dewan Rakyat. Malangnya masih ramai yang gagal menghadiri.

Penulis berpendapat salah satu tugas seorang Parlimen  Parlimen adalah mewakili rakyat di parlimen dengan menghadiri sidang Dewan Rakyat. Ahli Dewan Rakyat hanya perlu mengorbankan 57 hari daripada 365 hari untuk hadir, mengutarakan pandangan, mendapatkan maklum balas permasalahan ataupun aduan di Parlimen. 

Inilah ketikanya soalan-soalan yang berkaitan boleh diutarakan kepada wakil eksekutif dan peluang kepada eksekutif untuk membuat penjelasan.

Tuntasnya, sekiranya seorang ahli Parlimen memilih untuk tidak hadir dan turut sama melibatkan diri dalam proses perdebatan Parlimen, mengapa mereka merayu mandat ini pada awalnya? 

  • KU AMIRUL FAIZ adalah peguam dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ). Tulisan ini kali pertama disiarkan di Utusan Malaysia 20 November 2017 dengan tajuk ‘Apakah makna Parlimen?’ Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *