OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
Di mana kita dalam kerancakan dan pertumbuhan drastik industri kreatif global ketika ini? Inilah kuasa baru dunia, mengungguli industri kreatif adalah menguasai dunia. Apabila dunia sudah berada di telapak tangan, apa lagi yang lebih berpengaruh kalau bukan kandungan kreatif?
Kita tidak boleh berterusan menjadi pelanggan atau pengimport kandungan kreatif luar. Sebaliknya mesti bergerak sebagai pengeksport di pasaran global. Adalah sangat memalukan apabila negara sehebat Malaysia mengimport kandungan kreatif yang buruk dari Amerika Latin, Filipina dan beberapa negara lagi.
Pada era digital membentuk tatacara kehidupan dan cara berfikir hampir seluruh pelosok dunia, industri kandungan kreatif menjadi wahana penting pembinaan tamadun bangsa yang sedar akan manfaat dan menguasainya.
Dalam konteks tempatan, industri kreatif bukan sahaja untuk menjana ekonomi tetapi sama penting sebagai landasan mengangkat sosiobudaya ke peringkat global.
Menurut laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD), nilai industri kreatif global kini bernilai RM6.7 trilion (AS$1.6 trilion). Malah turut mewujudkan 29.5 juta peluang pekerjaan atau satu peratus daripada populasi aktif di dunia.
Secara perbandingan pula kalau dihimpunkan semua pekerja industri automatif di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun, jumlahnya masih jauh lebih rendah berbanding dalam industri kandungan kreatif.
Oleh yang demikian peringatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Malaysia aktif mengambil bahagian dalam industri kreatif disamping terus melestarikan identiti seni, budaya dan warisan yang unik.
Ketika berucap di konvokesyen Akademi Seni Warisan dan Budaya (Aswara) baru-baru ini, Dr Mahathir menegaskan, “Kemajuan fizikal dan material perlu kita imbangi dengan kemajuan kesenian dan kebudayaan kerana dengan cara ini sahaja kita dapat memperkukuh tamadun bangsa.”
Demikianlah pentingnya seni, budaya dan warisan bagi sesebuah masyarakat dan semestinya dijadikan teras dalam kandungan kreatif. Malah pada definisi ‘bertaraf global’ juga membawa maksud semakin tinggi nilai lokal atau setempat bertambah tinggi nilai antarabangsanya.
Kreatif ekonomi terbentuk daripada industri yang menggabungkan kreativiti, budaya, ekonomi dan teknologi. Industri inilah yang melahirkan dan membangunkan intelektual sebagai pemain kreatif di seluruh dunia. Maknanya kepentingan nilai budaya dan sosial menjadi teras untuk membezakan kandungan kreatif tempatan dengan yang lain.
Dari segi pembangunan dan promosi, Malaysia berada pada landasan yang tepat. Misalnya Malaysia telah lama bersedia berdepan dengan ekonomi kreatif ini apabila menubuhkan MDEC dan MSC.
MSC berperanan sebagai koridor raya yang menggerakkan industri kreatif di negara ini. Daripada sudut ekonomi, MSC adalah satu kejayaan. Pada tahun lalu MSC mencatatkan nilai jualan RM7.69 bilion dengan nilai eksport RM1.4 bilion serta mewujudkan 11,471 peluang pekerjaan. Sebanyak 52 peratus daripada nilai eksport ini disumbangkan oleh bidang animasi.
Bagaimanapun yang agak membimbangkan ialah persiapan daripada segi pemikiran dan tanggungjawab sosial pemain-pemain atau karyawan industri kreatif. Banyak yang tersihir dengan nilai-nilai kontemporari dari luar dengan alasan memburu penarafan antarabangsa.
Kalau penghasilan kandungan kreatif yang disiarkan di televisyen tempatan dijadikan rujukan, penekanan terhadap budaya yang diingatkan oleh Dr Mahathir secara umumnya hampir tidak ada. Kualiti intelektual sangat rendah, hasil estetika berselerak dan tidak diadun dengan penuh sedar.
Program hiburan di sesetengah saluran televisyen lebih memporak-perandakan daripada membangunkan. Bayangkan kalau kualiti setaraf ini dieksport ke pasaran global. Daripada sebahagian besar kandungan kreatif di stesen televisyen kita, terlalu banyak yang meneruskan hedonisme program import.
Sepatutnya kita sudah jauh lebih hebat. Program televisyen dan filem di pawagam sepatutnya sudah ke depan dengan sumber alam budaya yang sangat kaya di negara ini. Ironinya sesetengah masih lagi membenamkan kepala dalam lumpur ketika industri kreatif di luar negara bangkit sebagai kuasa neokolonialisme.
Sekiranya kualiti begini mendapat pasaran di peringkat global dan menjana ekonomi dalam industri kreatif, ini bukan suatu yang menggembirakan tetapi sebuah tragedi. Semua ini membuktikan teknologi boleh dibeli, daya kreatif boleh dilatih tetapi tanggungjawab selain sebagai pencari wang tidak datang tanpa kesedaran.
Inilah cabaran besar yang mesti dihadapi oleh 345 syarikat berstatus MSC Malaysia setakat 31 Mac lalu di bawah kluster Kandungan Kreatif dan Teknologi dan juga keseluruhan 2,986 syarikat berstatus MSC Malaysia yang aktif. Ini bukan main-main kerana mereka yang menerajui syarikat-syarikat ini adalah penentu arah.
Mereka mesti menyumbang sebagai pembina tamadun bangsa dengan ketinggian intelektual dan kesedaran. Pada masa yang sama memanfaatkan teknologi untuk menghasilkan kandungan kreatif yang mendokong prinsip-prinsip sebuah bangsa yang bernegara. Teknologi hanya alat dan manusia berakal yang menjadi penentunya. – BERITA HARIAN 14/11/19