Ketua Pengarah JIM, Khairul Dzaimee (tengah) memperkatakan sesuatu mengenai tangkapan warga China yang menjalankan operasi penipuan dalam talian di Cyberjaya pada Rabu (Gambar NSTP)

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Siapakah petualang yang bersekongkol menjadikan negara ini pusat operasi jenayah siber dan dikerjakan oleh hampir seribu rakyat China? Operasi jenayah ini sangat besar, sewa pejabat sahaja RM350,000 sebulan, ini tidak termasuk gaji pekerja dan peralatan.

Siapa orangnya?  Jangan biarkan petualang ini terlepas begitu sahaja dan pastikan juga tidak ada campur tangan politik menyelesaikan isu kontroversi ini di bawah karpet. Ini bukan sahaja memberikan nama yang buruk kepada negara malah mengancam keselamatan rakyat.

Jangan ada lagi pemimpin politik yang menganggu siasatan pihak berkuasa terhadap individu yang terlibat dalam kes ini , seperti yang berlaku terhadap isu pengganas LTTE baru-baru ini.  Beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas tanpa gangguan yang bersifat politik.

Warga China yang ditahan di Cyberjaya kerana menjalankan operasi penipuan dalam talian menggunakan menggunakan pas lawatan sosial. (Gambar NSTP)

Rabu lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menumpaskan sindiket ‘online scam’  yang melibatkan 680 orang warga China dalam satu operasi di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya. Dalam operasi melibatkan 150 orang anggota itu, seramai 603 lelaki dan 77 wanita berusia antara 19 dan 35 tahun ditahan ketika sedang menjalankan operasi berkenaan.

Dalam operasi melibatkan 150 orang anggota itu, seramai 680 orang terdiri daripada 603 lelaki dan 77 wanita berusia antara 19 dan 35 tahun ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti berkenaan.

Sindiket ini tidak mampu menjalankan operasi jenayah siber secara besar besaran tanpa penglibatan orang tempatan.  Mereka ini adalah pengkhianat kerana berkerjasama dengan penjenayah siber antarabangsa untuk menjadikan negara ini pusat operasi.

Selepas ini syarat kemasukkan pelancong dari China mesti diperketatkan. Ini kerana sudah terbukti  sesetengah dalam kalangan pelancong itu menyalahgunakan lawatan sosial untuk menjalankan operasi jenayah siber di negara ini.  

Walaupun sektor pelancongan menjana pendapatan kepada negara tetapi itu bukan alasan untuk tidak mengetatkan peraturan masuk ke negara ini.  Hampir 1,000 orang warga asing menjalankan operasi jenayah di negara ini bukan perkara kecil.

Biarlah kalau tindakan mengetatkan peraturan untuk warga China menjejaskan kemasukkan pelancong dari negara ini.  Tidak ada gunanya memberi kelonggaran tetapi disalah guna sebagai peluang untuk menggerakkan operasi jenayah dari negara ini.

Advertisement

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud  dalam satu kenyataan berkata, semasa serbuan dibuat sebanyak 8,230 unit telefon bimbit, 174 unit komputer riba dan 787 unit komputer peribadi berjaya dirampas.

“Untuk makluman, semasa anggota operasi menghampiri kawasan, berlaku provokasi oleh operator ini dan ada antara mereka yang bertindak merempuh dan menyerang anggota Imigresen. Dianggarkan seramai 100 orang berjaya melarikan diri dengan merempuh kepungan pegawai Imigresen. Ada  antara mereka tercedera ketika cuba melarikan diri,”  kata Khairul Dzaimee .

Siasatan awal mendapati semua yang ditahan tinggal di negara ini menggunakan pas lawatan sosial. Bagaimanapun sehingga semalam,  masih belum ada individu yang hadir mengemukakan dokumen perjalanan mereka walaupun pihak kedutaan China  di Kuala Lumpur dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Khairul Dzaimee berkata, modus operandi sindiket menyasarkan mangsa di negara China dengan menawarkan keuntungan yang tinggi dan cepat.  Modus operandinya mereka menghantar kod kepada pelanggan dari laman web tertentu yang menggunakan bahasa China dalam aplikasinya.

Walaupun ketika ini sindiket berkenaan mensasarkan mangsa di negara China, tetapi tidak mustahil meluaskan operasi mereka terhadap mangsa di negara ini. 

Sepanjang tahun 2018 hingga Ogos lalu, Bernama melaporkan rakyat negara ini mengalami kerugian sebanyak RM410.6 juta  yang membabitkan 8,489 kes jenayah siber. Sementara itu statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan dalam tempoh itu sebanyak  7,833 kes melibatkan pinjaman tidak wujud yang melibatkan kerugian berjumlah RM 71.7 juta.

Dalam tempoh Januari hingga Jun lalu sahaja Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman merekodkan kerugian sebanyak RM250 juta akibat jenayah siber.

Semua statistik ini membuktikan operasi jenayah siber di Cyberjaya itu sangat mengancam keselamatan rakyat negara ini untuk jangka masa yang panjang. Pada masa yang sama Malaysia tidak wajar dikenali sebagai tempat sindiket menjalankan operasi menipu warga di negara China.

Sila lawati fb page kuseman.com

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *