OLEH RAZALI AWANG

ARAB SAUDI dilihat menggunakan pengaruh  dalam kalangan  negara Islam terutama yang menerima bantuanya supaya tidak menyertai  KL Summit  yang berlangsung pada 17 hingga 21 Disember di Kuala Lumpur.  Difahamkan  antara faktornya ialah penyertaan negara-negara yang ‘tidak disukai’ Arab Saudi ke persidangan itu.

Penganjuran KL Summit yang mempertemukan pemimpin-pemimpin negara Islam dilihat sebagai usaha melawan perikatan pro-Washington yang terbina sejak tiga tahun lalu. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, KL Summit bukan mahu menggantikan Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) yang sekretariat tetapnya di Riyadh.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan

Tiga negara yang tidak disukai Arab Saudi ialah Turki,  Qatar dan Iran.  Penyertaan ketiga-tiga negara ini seolah-olah menafikan pengaruh Arab Saudi ke atas negara-negara Islam khususnya yang berpayung di bawah  OIC.

Ketiga-tiga pemimpin negara berkenaan, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Emir Qatar, Tamim bin Hamad Al Thani dan Presiden Iran, Hassan Rouhani sudah berada di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri  Pakistan,  Imran Khan telah menarik diri  pada saat akhir,  diikuti oleh Presiden Indonesia Jokowi.  Penarikan diri Imran Khan dilihat sebagai pendekatan menjaga hubungan diplomatik dengan Arab Saudi  yang telah memberikan sumbangan kewangan terbesar  kepada ekonomi Pakistan yang  dilanda kemelesetan.

Menurut laporan, tahun lalu Arab Saudi telah bersetuju memberikan pakej bantuan ekonomi kepada Pakistan sebanyak AS$6 bilion hasil daripada lawatan Imrah Khan ke Arab Saudi.  Ini termasuklah penangguhan pembayaran eksport minyak ke Pakistan.

Presiden Iran Hassan Rouhani
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan
Emir Qatar Tamim Hamad Al Thani

Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmooh Qureshi dalam kenyataannya kepada akhbar berpengaruh Pakistan, Dawn, Imran Khan cuba menyakinkan  penyertaan Arab Saudi  di KL Summit. Bagaimanapun usaha ini gagal kerana Arab Saudi berkeras  hendak menggunakan saluran  OIC.

Geo TV pula dalam laporannya mendedahkan keputusan Imran Khan menarik diri itu dibuat kerana tekanan oleh Arab Saudi.

“Perkembangan ini berlaku selepas pertemuan Imran Khan dengan Putera Mahkota Mohamad Bin Salman di Riyadh pada Sabtu yang membincangkan perkara-perkara berkaitan  hubungan dua hala,” petik laporan itu pada Selasa.

Banyak negara Islam seboleh-boleh mahu menjalin hubungan baik dengan Arab Saudi. Walaupun tidak bergantung atau mengharapkan bantuan kewangan tetapi masih terikat dengan kuota haji dan umrah yang secara mutlak ditentukan oleh Arab Saudi.

Penganjutan KL Summit ada signifikannya dengan kemelut yang melanda negara-negara Islam sekarang ini. Salah satu disebabkan OIC sudah hilang taring sejak sedekad lalu walaupun banyak negara Islam berdepan dengan masalah.

Kemelut demi kemelut dengan pertambahan isu dalam dunia Islam menjadi tanda tanya terhadap fungsi sebenar  OIC. Masalah lama seperti isu Palestin dan penindasan umat Islam di Kashmir, India yang melebihi 70 tahun, tidak menampakkan sebarang tanda penyelesaian. Itu belum dikira dengan permasalahan muktabar yang sedang berlaku. 

Konflik di Syria yang memasuki tahun kesembilan, kekejaman pemerintah China terhadap umat Islam Uyghur di Asia Tengah, pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar dan pembabitan langsung Arab Saudi dalam krisis di Yemen serta pelbagai perkara lain yang berpanjangan meresahkan umat Islam.

Advertisement

Atas keperluan itu, Malaysia menganjurkan KL Summit 2019 untuk mengumpul pemimpin-pemimpin negara Islam dengan tujuan mencari penyelesaian terhadap kemelut umat Islam sejagat. KL Summit antara lain membincang beberapa isu termasuk penindasan terhadap umat Islam terutamanya di Myanmar, Kashmir, Palestin dan China.

Pemimpin dunia Islam juga dijangka merangka pelan tindakan untuk mengakhiri layanan buruk terutama kepada etnik Uighur dan Rohingya oleh kerajaan mereka yang anti Islam.

Hasrat murni yang cuba diketengah  Malaysia telah disalah tafsir  Arab Saudi sehingga Dr Mahathir terpaksa membuat penjelasan kepada Raja Salman bahawa KL Summit bukan bertujuan untuk mewujudkan blok baru untuk menggantikan OIC.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri selepas beliau terpaksa membatalkan kemunculannya pada sesi dialog dengan golongan belia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada petang Selasa (17 Disember) kerana terpaksa mengadakan sidang video dengan Baginda.

“Kita terlalu kecil. Saya jelaskan kepada Baginda bahawa kita terlalu kecil untuk melakukan itu (peranan OIC),” kata beliau seperti yang dilapor The Star.

The News dalam laporannya sebelum ini mendakwa Arab Saudi telah melahirkan kebimbangan serius KL Summit akan membentuk platform baru bagi menggantikan peranan OIC.

Kenyataan Dr Mahathir sekaligus menyangkal prasangka sidang kemuncak yang diadakan untuk melemahkan pengaruh Arab Saudi dan sekutunya seperti UAE, Bahrain dan Kuwait yang tidak sehaluan dengan Qatar, Turki dan Iran yang hadir  ke KL Summit. 

KL Summit  hanya alternatif bagi menyampaikan suara umat yang tertindas dan pembuka era baru kepada kerjasama antara dunia Islam selepas OIC tidak lagi mampu memainkan peranan itu.

  • RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *