Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR,  22 Dis –    Kesedaran sivik sesetengah dalam kalangan kita masih rendah. Pembuangan sisa toksik yang mengundang pencemaran air untuk kegunaan orang ramai  berlaku berulang kali. Sikap tidak bertanggungjawab pihak atau individu tertentu mendatangkan kesusahan kepada berjuta orang.

Sikap ini tidak mencerminkan pemikiran kelas dunia ketiga walaupun prasarana berkelas dunia.  Keadaan ini membantutkan usaha menjadi negara maju apabila masih wujud pihak yang mementingkan diri dan tidak ada kesedaran sivik untuk sama-sama menjaga sumber air.

Insiden air tercemar seolah-olah perkara biasa apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa toksik ke sungai yang menjadi punca air kepada orang ramai. 

Pihak berkuasa perlu menggunakan peruntukkan undang-undang yang ada untuk mendakwa pelaku yang menyebabkan sumber air kepada orang ramai terjejas. Segera bertindak sebelum orang ramai hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menangani isu pencemaran air di negara ini.

Sejak petang semalam hingga 24 jam kemudian sebanyak 1.5 juta orang  atau 336,930 akaun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengalami gangguan air di  366 kawasan  antaranya Petaling, Hulu Langat, Putrajaya dan Sepang. Ini antara gangguan air yang berpunca dari sumber Logi Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Bernama melaporkan,  masalah gangguan air kali ini disebabkan pembuangan sisa secara haram ke dalam lurang (lubang periksa) kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ini telah  dikenalpasti menjadi punca pencemaran bau kepada sumber bekalan air ke LRA Loji  Sungai Semenyih.

Advertisement

Sementara itu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan hari ini menyebut, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini. 

“Pelaku yang akan dikenal pasti kelak bakal diambil tindakan tegas berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, selepas siasatan selesai, kes tersebut akan dihantar kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut. LRA Sungai Semenyih terpaksa dihentitugas semalam, bagi mengelak air terawat yang disalurkan kepada pengguna terjejas. 

Kenyataan itu turut memaklumkan, SPAN dan semua pihak berkaitan termasuk Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar, pihak pengurusan Air Selangor dan IWK Sdn Bhd sedang berusaha mengatasi masalah yang berlaku supaya LRA Sungai Semenyih boleh beroperasi semula dalam waktu terdekat.

SPAN juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat pada esok (23 Dis) untuk mencari kaedah terbaik bagi pencegahan awal dalam mengawal pembuangan haram yang boleh menyebabkan penutupan LRA pada masa depan.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *