OLEH DR AZMI HASSAN

MENARIK sekali apabila Kabinet beberapa hari lepas telah membuat keputusan untuk membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan fungsi-fungsi utamanya dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). 

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan berkaitan berkata, inisiatif merasionalisasi badan pengawalseliaan penerbangan awam di bawah satu entiti akan dapat mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan.

Menarik bukan kerana kerajaan PH mahu menghapuskan inisiatif kerajaan BN yang telah menubuhkan MAVCOM pada 1 Mac 2016 melalui Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 untuk mengawal selia perkara ekonomi yang berhubungan dengan industri penerbangan awam.

Tetapi  menarik jika dikaitkan dengan peristiwa CAAM dikelaskan dalam Kategori 2 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat dua bulan lepas. 

CAAM perlu kembali ke Kategori 1 untuk menaikkan imej industri penerbangan tempatan.

Penarafan tersebut meletakkan CAAM bersama-sama dengan pihak berkuasa penerbangan awam dari Bangladesh, Ghana, Costa Rica, Thailand dan Curacao dan kedudukan seperti ini sesuatu yang membimbangkan dan tidak akan membantu negara terutama sekali dalam industri pelancungan. 

FAA mentakrifkan Kategori 2 apabila CAAM gagal memenuhi beberapa kriteria yang terkandung dalam lapan elemen yang disediakan oleh Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). 

Tidak diketahui apakah kriteria yang tidak dipenuhi tetapi menurut CAAM dalam menghadapi pemeriksaan FAA yang mengandungi 300 soalan, CAAM telah mencatat kejayaan 92.7 peratus kejayaan. Secara mudahnya hampir 20 soalan gagal memenuhi kehendak FAA.    

Tidak diketahui apakah 20 soalan tersebut kerana ia merangkumi ruang lingkup yang luas perkara seperti perundangan, operasi, pemantauan, latihan atau kepakaran teknikal. Kesemua ruang lingkup tersebut berkait rapat dengan sistem pengawasan keselamatan penerbangan awam yang dikendalikan oleh CAAM. 

Tetapi disyaki bahawa kekurangan CAAM banyak berkisar kepada isu pengawasan melalui perundangan dan juga berkait dengan kepakaran yang dimiliki. Sebab itu juga pembubaran MAVCOM sebagai usaha merasionalisasikan kawal selia penerbangan awam mahu tidak mahu perlu dikaitkan dengan isu penakrafan Kategori 2 oleh FAA.  

Dalam hal kuasa kawal selia berkait keselamatan penerbangan awam menarik juga jika dikaitkan dengan tindakan yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam United Kingdom (CAA) pada minggu lepas.

CAA UK telah melaksanakan keperluan mendaftar semua dron yang melebihi berat 250 gram dan setiap pengendali dron perlu mempunyai permit dan menjalani latihan yang ditetapkan. Proses ini dijangkakan akan melibatkan seramai 130,000 pengendali dron seluruh UK. 

CAAM menentukan ruang udara selamat dari sebarang halangan yang  memberi ancaman keselamatan terhadap pesawat awam. (Gambar hiasan)

Peruntukan tersebut sebenarnya telah wujud sejak 2017 lagi tetapi tidak pernah dikuatkuasakan kerana ianya menyusahkan pengguna. Tetapi peristiwa lapangan terbang Gatwick yang terpaksa menghentikan operasi beberapa jam kerana terdapat aduan dron berkeliaran diruang udara Gatwick pada Disember 2018 telah memaksa CAA mengambil tindakan drastik. 

Antara peranan CAA dan juga semua pihak berkuasa penerbangan awam termasuk Malaysia iaitu CAAM adalah untuk menentukan ruang udara selamat dari sebarang halangan yang  memberi ancaman keselamatan terhadap pesawat awam terutama berdekatan dengan ruang udara lapangan terbang. 

Perlu diambil perhatian taraf Kategori 2 tidak bermakna ruang udara Malaysia tidak selamat atau pun syarikat penerbangan yang dibawah kawal selia CAAM seperti Air Asia dan Penerbangan Malaysia tidak selamat. 

Tetapi dalam industri penerbangan awam persepsi yang dibentuk oleh pengguna adalah segala-galanya dan sebab itu kritikal bukan sahaja bagi CAAM tetapi semua pihak yang terlibat memberi laluan dan membantu CAAM kembali ke Kategori 1. 

Dalam hal ini ungkapan klise seperti jika seseorang tidak dapat membantu jangan pula menyusahkan adalah amat cocok digunakan. Adalah amat mendukacitakan apabila terdapat saranan dari individu yang berpengaruh dan berjawatan dalam kerajaan mengesyorkan supaya CAAM melonggarkan keperluan untuk membuat ujian penerbangan dron umpamanya demi memajukan lagi industri aeroangkasa negara. 

Kenyataan seperti ini sebenarnya tidak membantu CAAM meraih kembali kelas Kategori 1 kerana hakikatnya kebanyakan pihak berkuasa penerbangan awam negara lain sedang memperketatkan penggunaan dron seperti yang telah dilaksanakan oleh CAA UK.

Tetapi perlu juga ditekankan FAA AS bukan satu organisasi yang sempurna dan tidak pernah melakukan kesilapan. Ada kala keputusan yang dibuat hanya berdasarkan kepentingan komersial dan kadang kala seolah-olah mengenepikan aspek keselamatan. 

Contoh nyata adalah kebenaran yang diberikan oleh FAA untuk membolehkan Boeing memulakan operasi pesawat 737 MAX pada 2017  walaupun disyaki wujud kecacatan perisian pada ketika itu. Kemalangan yang melibatkan 737 MAX 8 pada Oktober 2018 dan Mac 209 yang mengakibatkan 346 penumpang dan anak kapal terkorban disyaki berpunca dari kecacatan perisian tersebut.  

  • DR AZMI HASSAN adalah Geostrategis  di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).  Ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *