BESUT: Meredah laut yang bergelora bukan perkara mudah, tetapi itu adalah perkara yang menjadi rutin harian penduduk pulau terutama pemandu bot pelancong di Kampung Pulau Perhentian, pulau yang menjadi tumpuan pelancong di pantai timur Semenanjung.
Mereka, bagaimanapun hanya bekerja dari bulan Februari hingga Oktober dan terpaksa ‘menggantung’ enjin apabila tiba musim tengkujuh atau monsun timur laut yang membawa angin kencang dan ombak tinggi.
Tempoh tiga bulan ‘tidak mempunyai pekerjaan dan punca pendapatan’ itu, digunakan untuk membaiki dan menyelenggara bot mereka sebelum mula beraksi ‘meredah laut’ mencari rezeki.
Sepanjang tiga bulan ini juga, mereka bergantung hidup sepenuhnya dengan hasil simpanan pendapatan yang diperoleh hasil kerja mereka 10 bulan. Itu lah duit yang diguna untuk belanja harian dan menyara keluarga.
Bagaimanapun, semua itu bukan masalah bagi mereka kerana telah bersedia dari segi simpanan dan sebagainya untuk diguna ketika musim monsun timur laut.
Sebagai persediaan, mereka telah bersedia dari segi simpanan dan sebagainya sebagai persiapan musim monsun.
“Boleh dikatakan musim tengkujuh ini kami ambil masa untuk berehat, bercuti…bulan dua (Februari) kami akan mula balik bawa bot mengikut keadaan cuaca sehingga bulan 10 (Okt),” kata Mohd Deraman, 63, ketika ditemui wartawan Bernama yang membuat liputan musim tengkujuh di pulau itu.
Beliau yang membawa bot pelancong sejak hampir 20 tahun, berkata bot miliknya kini dihantar ke Kuala Besut untuk diselenggara dan dibuat penambaikan di bahagian badan.
“Kalau musim biasa, kami (pemandu bot pelancong) tiada masa untuk servis bot. Hari-hari kami akan bekerja, kecuali ada perkara mustahak (penting) baru cuti, sebab itu sekarang masa terbaik kalau kami nak buat penyelenggaraan bot,” katanya yang kini banyak memenuhi masa dengan kerja-kerja kemasyarakatan seperti membersihkan kubur dan membaiki peralatan di jeti.
Pulau Perhentian, yang terletak 21 kilometer dari pantai Kuala Besut, merupakan destinasi popular bagi pelancong dalam dan luar negara pada awal bulan Mac atau April hingga penghujung Oktober.
Bagaimanapun kebanyakan pusat peranginan di pulau yang terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Perhentian Besar menghentikan operasi mulai Oktober hingga Februari berikutan musim monsun timur laut.
Bagi Che Aziz Che Husin, 40, musim tengkujuh adalah masa untuk berehat daripada membawa bot dan menguruskan kedai makan miliknya di pulau itu.
“Musim tengkujuh rehat sahaja dan memang tidak buat apa-apa langsung…cuma kadang-kadang nak hilangkan rasa bosan saya ikut orang pergi memukat ikan, itu pun kalau ada.
“Pendapatan yang diraih itu, dapatlah menampung kehidupan kami semasa musim tengkujuh. Itupun kami buka sahaja kedai makanan ni sebab orang lain jarang nak buka,” katanya yang mengusahakan kedai makan bersama isteri Tengku Hasmizan Ku Yahya, 38. —BERNAMA