Suatu pagi Ahad di sebuah restoran di Malay Mansion, Jalan Masjid India Kuala Lumpur. Saya (kanan), Zam, Tan Sri Johan Jaaffar dan Zaini Nasri.

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

HARI itu 12 Disember 2018. Mata kami bertemu tatkala saya berdiri rapat di sisi katilnya. Itu pertemuan entah ke berapa sejak beliau menjadi penghuni wad – dari Hospital Putrajaya hingga Hospital Serdang. Tetapi pertemuan pada hari itu sangat lain daripada sebelum ini.

Malah sangat lain sekali kalau dibandingkan dengan yang dulu-dulu – 30 tahun dulu atau dua tiga bulan lalu semasa beliau masih cergas. Kami selalu bertemu di Kelab Tasik Putrajaya, tidak jauh dari kediamannya di Presint 10. Sekadar makan mi goreng mamak dan teh tarik saja.

Pada pertemuan tengah hari itu, beberapa detik mata kami bertembung dan ada gumpal yang menyesak halkum. Lama juga saya hilang kata-kata. Kalau 30 tahun dulu, saya jadi kelu kerana takut berkata-kata di depannya – antara Ketua Pengarang dengan wartawan baru. Tetapi tengah hari itu kata-kata hanya terbenam di kerongkong.

Saya dan isteri di depan Zam Newsroom Cafe milik Zam di Presint 8, Putrajaya.

Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) adalah ‘bapa’ kepada kami generasi wartawan Utusan Melayu dekad 1980-an dan 1990-an. Tidak ada yang terlepas daripada tunjuk ajar dan bimbingan beliau. Semua berpengalaman merasai gementar apabila setiap pagi beliau menolak pintu utama dan berjalan masuk dengan briefcase.

Selalunya sambil berjalan masuk dengan penuh karisma sebagai pemimpin editorial akhbar paling berpengaruh, beliau akan bertanya kepada mana-mana wartawan yang terserempak apa tajuk-tajuk utama akhbar hari berkenaan. Kalau tergagap-gagap, akan dipanggil masuk ke biliknya untuk disyarahkan.

Pada rembang hari itu, saya mengamati wajah kurus  dan lesu itu lama-lama.  Matanya yang dulu bersinar kini layu.  Wad ICU Hospial Serdang hening.  Cuma sesekali bunyi  alat kawalan degup jantungnya.  Saya mengalih pandangan ke skrin alat kawalan jantung sebagai eskapisme untuk melepas sebak. 

Saya mengenggam dan mengusap kura tangan yang kedut dan dingin.  Tangan ini kali pertama saya genggam pada 2 Januari 1984 ketika bersalam  di atas tangga pejabat Utusan Melayu Kuala Lumpur.  Ketika saya datang melaporkan diri sebagai wartawan kadet.

Zam (kanan) memperkenalkan saya kepada Tun Dr Mahathir pada 1989. Turut kelihatan ialah Zainul Azhar dan Razif Ahmad.

“Mai naik,”  katanya dan saya mengikut ke tingkat satu di Jabatan Pengarang. Terus mengekori ke bilik Ketua Pengarang.  “Awat tak mai awai sikit,”  katanya membuka fail-fail di atas meja tanpa memandang saya.  Di tepi meja ada sebuah mesin taip buruk. Rongak penutupnya.

“Mat Piah (Mat Piah Teh Deris Ketua Biro Utara di Alur Setar) rokemen You. I tengok You pun banyak menulis. Tapi nak jadi wartawan bukan setakat boleh menulis. You kena ada jati diri.” Saya hanya mengangguk. Terasa menyesal pula menjadi wartawan daripada cabaran-cabaran yang dihuraikan di depan saya.

Garis masa lalu antara saya dengan beliau  berulang kali melintas di fikiran. Lintasan itu sangat menyebakkan dada ditambah dengan sunyi sepi wad  ICU itu.  Detik-detik itu  masa lalu berjungkir balik tentang seorang yang mendirikan peribadi kewartawanan saya daripada kosong. 

Matanya yang  dulu amat cergas dan tangkas kini layu dan sesekali tertutup.  Dia merenung saya sambil mulut bergerak semacam mahu berkata sesuatu.  Dia kelihatan amat lelah, berbeza dengan  beliau yang berdiri di depan saya tiga dekad lalu sebagai ketua yang keras dan tegas.

Seorang ahli keluarga yang menjaga  beliau tengah hari itu bertanya, “Kenai tak sapa ni?”   Dia angguk perlahan,  paksa tersenyum dan saya mendengar seperti berbisik dia berkata, “Ku Seman.”   Saya mengusap tangannya yang dingin dan berkedut.  Lama dia memegang tangan saya.

Zam (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Tan Sri Johan Jaaffar semasa menziarah jenazah Bahyah Mahmood di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 2017.

Hanya kami bertiga dalam bilik wad ICU itu. Dia meminta kertas untuk tulis sesuatu kepada saya. Wanita itu memberi buku nota dan pen. Sambil terlentang beliau hanya sempat melakar aksara jawi, kaf wau sin min num. Kemudian pen terlepas dari tangan. Mata terpejam kelelahan. Barangkali beliau memesan sesuatu tetapi terhenti di situ.

Melihat keadaannya yang sangat lelah, saya begitu cepat berputus asa akan keadaan kesihatannya. Sangat uzur. Cuma sekadar berbasa basi saya pun berbisik bahawa sudah banyak perubahan dan akan kembali seperti sedia kala tidak lama lagi. Keadaan dia di depan mata yang sedemikian tenat, saya juga mengulang apa yang orang lain lakukan – memberi harapan kosong.

Advertisement

Dia sudah tiga minggu menumpang di hospital.  Sebulan sebelum itu kami berjumpa di Kelab Putrajaya –   tempat yang selalu dikunjungi dia dan teman-teman wartawan.  Pekerja di situ pun sudah kenal saya,  “Tan Sri  ada di sana,”  ucap  penyambut tetamu  setiap kali  saya terlambat sampai ke situ. 

Seminggu sebelum saya melangkah meninggalkan Utusan Melayu,  saya memberitahu keputusan yang saya ambil.  Beliau cepat-cepat  bertanya,  “Mereka pecat ke?”   Saya menjawab,  “Tidak.  Saya letak jawatan.  Saya tolak tawaran menjadi CEO  Utusan Karya.”

“Mereka nak keluarkan You dari surat khabar,”  pintas beliau.  “Entah.  Saya tak mahu fikir apa-apa di sebalik pertukaran saya,”  jawab saya yang akan kehilangan pendapatan tetap bulanan dan imbuhan-imbuhan lain.  Tidak pernah menyesal kerana sudah tiba masanya saya luruskan peribadi kewartawanan saya.

Hantaran Twitter Zam mengenai saya dan anak saya, Ku Amirul beraya di kediamannya pada 2015.
Ku Amirul (kanan) bersama-sama rakan kuliahnya Muhammad Faizal menemubual Zam mengenai topik kenegaraan di kediamannya pada 2008.

Selepas saya meninggalkan Utusan Melayu  1 April 2016,  beliau  selalu  menelefon bertanya khabar tentang  kehidupan  seorang yang  tidak bekerja di kota metropolitan  yang materialistik seperti Kuala Lumpur. Setiap kali juga saya memberitahu semuanya macam biasa.  Ada sedikit simpanan untuk meneruskan hidup sebagai freelancer  dalam kewartawanan.

Saya selalu menyakinkan  beliau yang saya selesa dengan apa yang ada.  Malah dia antara yang  banyak memberi sokongan moral ketika kedudukan  saya menjadi genting di Utusan Melayu  akibat kegelojohan politik arus perdana ketika itu.  Beliau paling kuat mempertahankan tindakan saya tidak akur dalam perkara-perkara  tertentu dengan pimpinan politik waktu itu.

Pertemuan tengah hari itu dan yang terakhir berakhir apabila seorang pengawal keselamatan masuk dan memberitahu ada pelawat lain akan masuk. Sekali lagi saya mengenggam tangannya.

Saya bisik ke telinganya meminta halal di atas segala bimbingan dan nasihat semasa bekerja dulu. Genggamnya erat bagai tidak mahu dilepaskan. Mulutnya berkumat kamit tetapi tiada suara. Beliau menghantar saya ke pintu dengan pandangan yang sangat sayu.

Dua hari selepas itu ketika bersama-sama rakan-rakan di acara baca puisi di Rumah Pena, seorang datang beritahu saya akan kepulangannya ke negeri abadi. Kerana gementar dengan berita itu saya terlupa siapa yang membawa khabar itu. Saya terduduk di muka pintu Rumah Pena. Dingin tangannya pada genggaman terakhir masih terasa.

Hari ini 14 Disember 2019, sudah genap setahun kembalinya Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin yang kami wartawan Utusan Melayu panggil Che Zam.  Allahyarham pernah terbuang tetapi terus terbilang dan,  hingga menutup usia 79 tahun,  Che Zam adalah wartawan.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *