Ada ketikanya tindakan yang dianggap Islamik tetapi memberikan fitnah pula kepada agama Islam kerana tidak dilakukan dengan penuh hemah dan bertujuan mengangkat kemuliaan Islam.  Lebih buruk lagi tindakan begini dianggap ‘pendekatan’ Islam padahal bertentangan dengan Islam.

Baru-baru ini tular video seorang remaja ‘diperangkap’  oleh seorang individu yang merakam soal jawab kononnya remaja berkenaan menipu mengutip derma untuk sebuah institusi Islam. Daripada pengakuan remaja dalam video itu, dia menipu dan kutipan itu bukan untuk institusi berkenaan.

Tindakan individu yang ‘perangkap’ remaja itu adalah baik untuk menyedarkan remaja berkenaan supaya tidak terus melakukan penipuan terhadap orang ramai.

Bagaimanapun tindakan yang pada mulanya baik menjadi sebaliknya apabila individu berkenaan menularkan video itu. Perbuatan ini   mendatangkan kehinaan yang bukan kecil tidak setimpal dengan kesalahannya.  Individu berkenaan memberikan hukuman sosial yang sangat berat apabila berjuta orang menonton video itu.

Adakah tindakannya menasihatkan remaja itu tidak memadai hingga hilang kewarasan menularkan pula dalam media sosial?  Adakah dengan menularkan di media sosial boleh menjadikan remaja berkenaan menjadi lebih baik berbanding sekadar nasihat?

Hukuman sosial iaitu mendedahkan kepada umum di media sosial sangat tidak setimpal.  Malah pendekatan ini boleh memberikan isyarat yang salah kepada remaja berkenaan bahawa Islam sangat ‘kejam’  dan tidak memberi peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

Advertisement

Ini bukan cara Islam. Cara begini bertentangan dengan Islam yang membetulkan peribadi seseorang tanpa mendatangkan kehinaan dan keaiban yang melibatkan diri, keluarga dan sanak saudara remaja berkenaan.  Selepas dikongsikan beribu kali di grup Whatsapp, kini video itu tular pula di laman sosial Facebook.

Maka yang perlu diinsafkan sekarang bukan sahaja remaja yang menipu mengutip derma tetapi lelaki yang berlagak Islamik menularkan video yang mendatangkan kehinaan yang besar kepada remaja itu. Individu ini perlu diselamatkan kerana dia telah memberikan isyarat yang salah tentang Islam.

Pada masa yang sama pengguna media sosial juga perlu dibimbing supaya tidak galak menularkan apa saja yang melintas di telefon bimbit mereka kepada orang lain.  Teknologi komunikasi bertujuan memudahkan kehidupan bukan merosakkan manusia.

Pada hakikatnya walaupun negara kita akan melangkah ke taraf negara maju tetapi pemikiran sesetengah ahli masyarakat penuh dengan kekolotan dan keangkuhan.  Negara maju tidak ada ertinya tanpa ahli masyarakat yang bertamadun.

  • DR MOHAMAD HALIL ABDULLAH, Petaling Jaya, Selangor.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *