Menutup sekolah tidak dibuktikan dapat menyumbang pada usaha memutuskan rantaian Covid-19 (GAMBAR HIASAN BERNAMA)

PADA March 2020 kerajaan telah mengambil langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat  (PKPB) dengan terdapat beberapa kawasan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pada awal PKP kita semua akur bahawa penutupan sekolah dan sektor-sektor lain dapat membantu melandaikan lengkok Covid-19 memandangkan rakyat secara majoritinya berjaya mematuhi SOP.

Dalam penulisan ini, suka saya fokuskan kepada sektor pendidikan di peringkat rendah dan menengah. Sebagai satu langkah membendung penularan Covid-19, sekolah-sekolah di Malaysia telah ditutup pada pertengahan Mac 2020 dan mula dibuka pada akhir Jun 2020 (untuk tingkatan 5 dan 6) dan pertengahan Julai bagi semua murid peringkat rendah dan menengah.

Antara kaedah pembukaan semula sekolah selepas PKPB ialah dengan memberi beberapa pilihan kepada sekolah supaya boleh disuaikan mengikut jumlah murid dan sesi persekolahan. Walau bagaimanapun kebanyakan sekolah memilih untuk beroperasi seperti biasa cuma waktu belajar disingkatkan, murid-murid makan di dalam kelas dan tidak ada aktiviti fizikal luar kelas termasuk perhimpunan.

Antara keputusan penting yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia semasa PKP ialah pembatalan peperiksaan UPSR, PT3 ,PSRA, UPKK serta penangguhan peperiksaan SPM, STPM, STAM.  Sekaligus ini memberi ruang bernafas untuk warga sekolah supaya tidak terkejar-kejar menghabiskan sukatan.

Walau bagaimanapun para guru mengambil inisiatif supaya murid-murid dibekalkan dengan ilmu sebaiknya supaya mereka dapat melangkah masuk ke fasa persekolahan seterusnya tanpa sebarang keciciran.

Menjelang awal Oktober, beberapa sekolah memulakan aktiviti fizikal ringan seperti pendidikan jasmani kerana ramai sedia maklum bahawa peri pentingnya untuk murid-murid menjalani aktiviti di luar bilik darjah. 

Keadaan ini tidak lama apabila kes meningkat kembali dan ini menyebabkan penutupan semula semua sekolah pada 17 Oktober 2020 di Selangor dan Wilayah Persekutuan, diikuti beberapa kawasan di negeri lain.

Penularan

Sebelum itu beberapa daerah di Sabah dan Kedah juga ditutup susulan daripada peningkatan penularan Covid-19. Pada 8 November 2020 Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan penutupan semua sekolah-sekolah di seluruh Malaysia bermula 9 November sehingga 18 Disember 2020. 

Pembukaan semula sekolah ialah pada 20 Januari 2021 dan bagi sekolah menengah ada yang akan naik ke sekolah pada Mac 2021 (sementara menunggu Mac, murid yang berkenaan akan mengikuti pengajian secara online)

Persoalannya di sini, adakah langkah penutupan semua sekolah satu keputusan yang tepat dan adakah tindakan ini satu jaminan bahawa lengkok jangkitan Covid 19 boleh dilandaikan?

Sama ada kita sedar atau tidak keputusan penutupan semua sekolah membabitkan berjuta murid-murid dan berpuluh ribu pemegang taruh (stakeholders) di sekolah.

Keputusan yang dibuat tidak memberi peluang kepada pihak sekolah untuk membuat persediaan begitu juga dengan para pengusaha kantin dan bas yang telah membuat persediaan untuk beroperasi.

Sehingga ke hari ini kita tidak tahu data kebolehcapaian murid-murid untuk kaedah pembelajaran online berdasarkan kaji selidik yang dibuat semasa tempoh PKP. Adakah keputusan dibuat selepas mengambil kira peratusan murid-murid terlibat? 

Sudah tentu ada bezanya kaji selidik keboleh capaian Internet untuk murid-murid di Putrajaya dengan murid-murid di pinggir bandar yang perlu bergelut dengan bukan sahaja tiada gajet tetapi juga tiada Internet.

Para guru mula mempelbagaikan kaedah pembelajaran. Murid-murid yang didapati tiada akses Internet dan gajet dibekalkan dengan helaian kerja untuk disiapkan namun tidak semua mendapat sambutan dan kerjasama.

Pendek kata, apabila tiada kelas secara fizikal maka terhentilah pembelajaran anak-anak. Kita boleh katakan ini sebagai masalah sikap para ibu bapa dan murid-murid tetapi ini juga menunjukkan pembelajaran alternatif tidak mampu mencapai matlamatnya.

Melihat daripada keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, seolah-olah tidak diambil kira suara warga sekolah. Kita semua memang ambil berat keselamatan murid-murid dan guru. Para pentadbir di setiap sekolah lebih maklum keadaan sekolah masing-masing.

Kekangan

Namun adakah perlu penutupan semua sekolah? Tidakkah KPM mengambil kira fasiliti murid-murid dan kekangan lain yang dihadapi dan kesan terhadap para pemegang taruh? 

Sepatutnya penutupan semua sekolah perlu dilihat secara keseluruhan, pandangan helikopter di mana yang molek di sekolah A belum tentu molek di sekolah B begitu juga di sekolah C dan D.

Advertisement

Mengapa tidak KPM memberi mandat kepada pentadbir sekolah untuk membuat keputusan dengan garis panduan yang jelas supaya pembelajaran secara fizikal tidak terhenti bagi tempoh yang panjang. 

Ini melibatkan masa depan murid-murid kerana pada Januari 2021 sekalipun bukan jaminan pandemik Covid 19 akan reda. Adakah penutupan sekolah terus disambung, bagaimana pula dengan calon SPM, STPM, STAM?

Selain daripada kesan atas akademik murid-murid, KPM juga perlu melihat kesan daripada sudut sahsiah murid-murid. Ada murid merupakan penerima Rancangan Makanan Tambahan,  mereka sememangnya perlu bantuan sekolah untuk menu yang bernutrisi. Kebanyakan mereka terdiri daripada yang miskin bandar dan di luar bandar. Apa kesudahan mereka? 

Kita juga dihadapkan dengan beberapa kes jenayah yang pelakunya murid sekolah semasa PKP dan PKPB. Ada murid sekolah terlibat dengan jenayah bunuh dan rogol . Berlaku juga kes di mana ada murid sekolah yang menjadi mangsa sumbang mahram dan liwat sepanjang PKP dan PKPB, juga murid sekolah yang menjadi mangsa dera disebabkan ibu bapa tertekan dengan masalah kewangan disebabkan hilang pendapatan.

Keadaan ini lebih menyayat hati apabila murid berkenaan berada di rumah, dalam lingkungan pelaku itu sendiri. Bagi kes jenayah seperti rogol yang melibatkan mereka di bawah umur,  pelaku ada banyak masa lapang berbanding pada hari murid-murid pergi ke sekolah.

Perkara ini dibangkitkan kerana saya melihat apabila murid-murid tidak ke sekolah mereka akan mencari alternatif. Ibu bapa penjaga sememangnya memainkan peranan penting tetapi tidak boleh dinafikan kemenjadian murid-murid juga berkait rapat dengan keakraban mereka dengan sekolah.

Apabila murid-murid aktif di sekolah mereka kurang masa untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah.Ada juga keadaan di mana para guru dapat membantu murid-murid secara tidak langsung semasa keberadaan mereka di sekolah.

Akhir kalam, saya ingin memberi beberapa saranan kepada KPM supaya pembelajaran fizikal dapat dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang ketat di bawah pantauan Pejabat Pendidikan Daerah.

  • Beri mandat kepada pentadbir sekolah untuk memilih kaedah pembelajaran sama ada semua pelajar mampu online atau sebahagian pelajar lagi memerlukan pembelajaran secara fizikal. Mereka yang tidak mampu online, ibu bapa mesti bagi maklum balas supaya pihak sekolah mudah untuk membantu. Pentadbir juga boleh memohon penutupan sekolah dengan nasihat Pejabat Kesihatan Daerah sekiranya terdapat kes di sekolah. Ini bergantung kepada keadaan semasa di sekolah tersebut, termasuk sekolah di zon Merah dan keadaan ini boleh berubah-ubah.
  • Sistem penggiliran untuk hadir ke sekolah. Setiap hari boleh hadkan jumlah pelajar yang datang. Barangkali, semasa pandemik Covid 19 bukan semua ibu bapa yakin bahawa anak mereka selamat di sekolah. Tidak mengapa, beri mereka masa. 

Kalau 30 orang yang hadir lebih bermakna berbanding 10 orang murid sahaja yang mampu pembelajaran online. Kalau ditanya para guru sekalipun, mereka lebih selesa mengajar secara fizikal. Ada beza murid-murid sekolah dengan pelajar universiti. Murid sekolah memerlukan bantuan untuk pembelajaran online dan bukan semua ibu bapa penjaga berada di rumah pada waktu siang

  • Murid-murid yang akan ke tingkatan 1, tingkatan 4, calon SPM, STPM dan STAM memerlukan pemantauan yang lebih ketat. Walaupun murid-murid tahun 6 tiada UPSR dan tingkatan 3 tiada PT3 mereka perlu buat persediaan ke peringkat seterusnya.Mereka ini sangat memerlukan kelas secara fizikal.

Kita sekarang hidup dalam era Covid-19, kita tidak ada pilihan dan tidak tahu berapa lama masa diambil untuk pulih. Apa yang jelas, hidup mesti diteruskan. Kehadiran Covid-19 bukan bermakna kita sekadar duduk di rumah dan tidak produktif. Murid-murid mesti belajar seperti biasa, KPM mesti beri kepercayaan kepada para pentadbir sekolah untuk memastikan pembelajaran berjalan lancar dan murid-murid bersedia untuk peringkat seterusnya.

  • Oleh Farizah Mohd Ramli, Kuala Lumpur.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *