KUALA LUMPUR: Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) menyokong cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke dalam pendidikan negara.
Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata matlamat pemangku Menteri Pendidikan itu perlu diterima semua pihak tanpa membangkitkan bantahan.
Jelasnya, Malaysia memerlukan 500,000 saintis dan jurutera untuk melonjakkan ekonomi ke hadapan agar seluruh rakyat dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.
Kata beliau, semua orang harus yakin dan mengambil langkah berani demi masa depan anak-anak dan negara.
“Rakyat Malaysia mempunyai potensi yang hebat, kita perlu mengambil peluang ini untuk mengaut manfaat kemajuan inovasi di peringkat global, kita tidak mampu hadapi risiko hilang bakat yang keluar dari negara, untuk mereka mencapai kelebihan ini di luar negara.
“Negara juga perlu meningkatkan FDI, (foreign direct investment) iaitu menarik pelabur asing untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan agar industri-industri inovatif dapat digerakkan.
“Hanya dengan ilmu pengetahuan sains yang ulung, kita boleh menerajuinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Malah, katanya, pelaksanaan semula PPSMI mampu melahirkan ahli sains dan jurutera yang mampu memimpin industri.
“Dengan ini, kita boleh meningkatkan lebih banyak lagi bakat STEM dan mereka kelak boleh menjadi tunjang untuk mengembangkan lagi inovasi, kreativiti dan penyelesaian pelbagai masalah,” tambahnya.
Pada masa sama, guru dan kakitangan dalam Kementerian Pendidikan juga katanya perlu sehaluan dengan matlamat Perdana Menteri dan memberi sokongan untuk mencapai matlamat berkenaan. – ASTRO AWANI