Siapa kata dosa peribadi tidak bersangkut paut dengan kemaslahatan umum? Bukan sekali kita dengar atau baca berita berlakunya kematian akibat mangsa dilanggar pemandu mabuk arak.

Terbaru pada Khamis lepas, seorang penunggang motosikal maut dan seorang lagi cedera parah akibat dilanggar pemandu mabuk di Jalan Kebun, Klang.

Kematian yang disebabkan pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol membuktikan kesalahan seseorang boleh menyebabkan kemudaratan kepada pihak lain.

Hukuman yang diberikan kepada pesalah sebelum ini jelas tidak memberi rasa gerun kepada orang lain. Kesalahan sama tetap diulang, oleh orang lain pula.

Justeru itu timbul usul untuk mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah yang terlibat untuk mengekang kesalahan di bawah akta ini daripada berulang.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie pernah menggesa Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikaji semula untuk menetapkan lebih hukuman berat kepada pemandu mabuk.

Sebagaimana laporan media sebelum ini, Mohammad berkata daripada 10 kemalangan, dua atau tiga dikesan membabitkan pemandu mabuk. Perkara ini menurut beliau tidak seharusnya berlaku.

Pemandu mabuk ini hanya dikenakan hukuman penjara mandatori antara tiga hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000, berbanding risiko yang dihadapi mangsa sehingga ada yang melibatkan kehilangan nyawa.

Beliau melalui PPJK mengesyorkan sesuatu perlu dilakukan, tidak memadai hanya dengan kempen kesedaran yang tidak mendatangkan sebarang kesan kepada pemandu.

Advertisement

Saranan yang sama juga dipersetujui rata-rata netizen yang memberi respon kepada undian yang dilakukan di laman Facebook TV AlHijrah.

Melalui undian yang melibatkan 29,000 orang responden, 99 peratus daripadanya bersetuju kerajaan mengenakan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk, manakala hanya satu peratus yang tidak bersetuju.

Pelbagai komen diberikan oleh netizen, kebanyakannya berbentuk cadangan untuk menambah baik peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Pergi belajar dengan negara jiran Singapura bagaimana hukuman bagi pemandu mabuk,” saran salah seorang daripada mereka.
“Hukuman mati, seperti negara non-muslim, Taiwan,” komen seorang responden lain.

Terdapat banyak juga komen yang menyarankan supaya pesalah dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati. Ini menggambarkan bahawa masyarakat sudah muak dan tidak boleh bertolak ansur lagi dengan kesalahan berulang ini.

“Harapnya… lepas undian, tidak sekadar buat tatapan di media sosial… minta tolonglah ‘’up’’ ke parlimen…” kata satu komen.

Justeru itu sampai masanya kerajaan bertegas dalam perkara ini dengan menyegerakan tindakan yang bertepatan untuk menangani masalah ini, bukan hanya sekadar beretorik dengan jawapan yang tidak menyelesaikan masalah.

Sampai bila rakyat yang tidak bersalah akan terus menjadi korban pemandu mabuk ini? – Facebook TV AlHijrah

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *