Tidak ada agama yang tidak melarang arak.

BANGI, 29 Jamadilawal 1441H, Sabtu – Gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa pemimpin di negara ini supaya mengambil tindakan tegas ke atas pemandu mabuk yang menjadi punca kepada kematian pengguna jalan raya lain.

Naib Presidennya, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, perkara berkenaan penting sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan situasi lebih buruk berlaku.

“Apa lagi yang ditunggu wahai pak menteri? Adakah mahu tunggu kes kematian melibatkan anak menteri atau VVIP sebelum tindakan tegas diambil segera?,” soalnya dalam satu kenyataan, semalam.

Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin

Khamis lalu, seorang maut, manakala dua lagi parah sejurus motosikal masing-masing dirempuh kenderaan Ford Ranger dipandu seorang lelaki.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, penunggang motosikal Nuovo LC, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala, penunggang dan pembonceng motosikal Honda EX5, Muhammad Hazid Mohd Kamil, 27 dan Muhammad Anas Mokti, 27, parah.

Difahamkan, saringan awal kandungan alkohol dalam darah melalui ujian pernafasan terhadap pemandu Ford Ranger, ia menunjukkan di tahap kawalan yang dibenarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, Prof Zainur berkata, boleh dikatakan hampir setiap hari terdapat berita mengenai kemalangan maut membabitkan puluhan manusia tidak berdosa berpunca dari pemandu mabuk.

“Kematian di Kepala Batas, Damansara, Keramat, Shah Alam, Kota Kinabalu dan banyak lagi seharusnya dipandang serius oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, meskipun orang ramai sudah menyuarakan pelbagai saranan melalui saluran rasmi atau tidak bagi mengatasi masalah pemandu mabuk, namun tiada sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

Advertisement

Katanya, ini termasuk Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) malah kerajaan sendiri yang tiada inisiatif untuk mengambil sebarang tindakan ke atas para penjenayah yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Justeru, Prof Zainur berkata, pihaknya mencadangkan supaya pemandu mabuk berkenaan ditangkap dan dipenjarakan, selain lesen memandu mereka ditarik serta digantung untuk tempoh yang panjang.

“Pihak berkuasa juga perlu hukum mereka dengan membayar pampasan kepada keluarga mangsa dan ketatkan undang-undang penjualan arak.

“Tiada agama yang tidak melarang arak. Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan Yahudi semuanya melarang pengambilan arak,” katanya.

Kes peniaga nasi lemak yang maut dirempuh pemandu mabuk masih segar dalam ingatan. (Gambar Careta.my)

Isu pemandu mabuk masih belum mendapat perhatian Kabinet, terdahulu, seorang pegawai bank maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dipercayai dilanggar pemandu dalam keadaan mabuk.

Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, di ibu negara. – ISMAWEB

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *