Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya ketika mendedahkan rakaman audio yang didakwa suara Najib Razak.
OLEH DR AZMI HASSAN

Memang benar kesan ketara yang timbul dalam kes pendedahan rakaman audio perbualan telefon Datuk Seri Najib Razak dengan beberapa individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berkaitan kandungan perbualan yang dianggap begitu sensitif.

Persoalan sama ada SPRM telah melakukan tindakan mengikut urus tadbir agensi kerajaan telah menjadi polemik dalam kalangan rakyat kerana mahu tidak mahu kesan diplomatik pendedahan tersebut adalah agak berat kerana perbualan turut melibatkan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menjadi kemusykilan jua dari manakah sumber rakaman yang diperolehi oleh SPRM kerana ia melibatkan perbualan pemimpin tertinggi Malaysia ketika itu dan pihak yang melakukan rakaman tersebut sudah pasti mempunyai kepakaran dan teknologi risikan yang agak canggih. 

Ada yang berpendapat rakaman tersebut telah dilakukan oleh salah sebuah agensi kerajaan kerana ada peruntukan undang-undang yang membenarkan aktiviti risikan tersebut walaupun sasarannya adalah Perdana Menteri itu sendiri.

Tetapi persoalannya ialah SPRM tidak pernah mendedahkan sumber rakaman tersebut yang dikatakan diperolehi oleh agensi tersebut pada awal Januari. Tidak diketahui pula sama ada SPRM mengetahui sumber rakaman atau sebaliknya.

Tetapi ada juga yang berpendapat berkemungkinan pihak ketiga, atau lebih tepat lagi negara asing yang telah melakukan intipan perbualan berkenaan dan senario intipan ini dianggap perkara lazim terutama sekali oleh negara besar yang mempunyai kemampuan melakukannya. Dalam hal ini menarik jika diungkitkan kandungan dokuman rahsia milik Agensi Keselamatan Pusat (NSA) Amerika Syarikat (AS) yang dibuat oleh Edward Snowden, yang pada ketika itu bekerja dengan NSA pada 2013.

Edward Snowden

Salah satu dokumen rahsia yang dihebahkan oleh Snowden telah mengesahkan kepercayaan bahawa agensi risikan Amerika telah menggunakan kemudahan pejabat kedutaan mereka diseluruh dunia untuk mengintip dan pengintipan ini termasuk perbualan telefon pemimpin negara asing di mana keduataan Amerika itu berpusat.

Antara pejabat kedutaan Amerika negara ASEAN yang digunakan untuk mengintip, mengikut dokumen tersebut ialah Bangkok, Yangon, Phnom Penh, Manila, Jakarta dan juga Kuala Lumpur. Anehnya pejabat kedutaan di Singapura tidak pula termasuk dalam senarai pusat intipan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan jika maklumat yang menyatakan pejabat kedutaan AS di Kuala Lumpur digunakan untuk mengintip, surat bantahan akan dikemukakan kerana Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat.

Advertisement

Tambah Wan Junaidi lagi intipan perbualan telefon tidak kira sasarannya orang biasa atau pemimpin adalah perbuatan tidak beretika. Jurucakap Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan pejabat kedutaan digunakan untuk mengintip perbualan telefon rakyat Malaysia.

Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Tetapi menarik juga diungkitkan kembali dalam masa yang sama akhbar dari Jerman iaitu Speigel telah mendedahkan bagaimana ahli politik pembangkang Jerman ketika itu Angela Merkel telah di intip perbualan telefon oleh agensi risikan AS bermula dari 2002 dan berterusan apabila Merkel menjadi Canselor pada 2005. 

Lazimnya kandungan intipan perbualan telefon pemimpin tertinggi sebuah negara dibocorkan kerana ia mempunyai niat dan tujuan yang tertentu. Umpamanya pada 2017 media AS telah mendedahkan kandungan perbualan telefon antara Presiden AS Donald Trump dengan dua pemimpin negara lain iaitu Presiden Mexico Enrique Peña Nieto dan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull. Trump ketika perbualan telefon itu berlaku baharu sahaja beberapa minggu menjadi Presiden AS.

Hasrat pendedahan oleh media Amerika adalah begitu nyata iaitu untuk mempamerkan bagaimana Trump yang tidak mempunyai pengalaman geopolitik antarabangsa, mengendalikan hubungan diplomasi dengan pemimpin negara lain. Dengan perkataan lain, pendedahan dilakukan untuk mengaibkan Trump.

Sebab itu jika seandainya perbualan telefon yang didedahkan oleh SPRM itu berpunca dari sumber risikan negara asing, kemusykilan utama yang akan muncul ialah tujuan sebenar mengapa perbualan telefon ini mahu didedahkan kepada umum.  Memang benar pemain utama pendedahan itu adalah bekas Perdana Menteri dan isu utamanya adalah 1MDB, tetapi kemusykilan tetap tidak dapat dielakan kerana Putera Mahkota UAE juga turut terpalit dalam perbualan telefon tersebut. 

Oleh kerana audio perbualan telefon itu telah pun diserahkan SPRM kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), harapannya siasatan terperinci yang bakal dijalankan bukan sahaja mengenai kandungan perbualan telefon tersebut tetapi agak penting juga diselidiki punca audio tersebut.

* DR AZMI HASSAN adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menulis untuk KUSEMAN.COM

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *