NILAI, 14 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Ramai pihak yang salah faham dan menganggap Perlembagaan Persekutuan adalah ideologi, sedangkan ia terbentuk hasil daripada kompromi, kata Pengasas Gabungan Peguam Malaysia (MLC), Lukman Sheriff Alias.

Lukman Sheriff Alias

Beliau menegaskan, kompromi itu juga bukanlah berdasarkan ideologi, dan tidak boleh dimasukkan ke dalam mana-mana definisi memandangkan ia banyak kompromi.

Justeru, jika kerajaan teruskan rancangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dua tahun lalu, maka ada campur tangan dari luar yang akan menjadikan Perlembagaan berat sebelah, katanya.

“Sebenarnya, untuk kompromi (dalam Perlembagaan), kita boleh tukar cuma ia memerlukan kompromi juga. Ini penting sebab banyak diskriminasi bawah negara kita.

“Antaranya, termasuklah sekolah vernakular. Ramai yang tidak perasan, sebenarnya sekolah vernakular juga adalah antara diskriminasi,” katanya dalam Forum Intellectual Legal Muslim Profesional Conference (ILMU 2020), di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lukman berkata, sekolah vernakular di negara ini wujud adalah kerana disebabkan adanya pendidikan bahasa ibunda.

“Jadi, kerajaan membelanjakan duit untuk pendidikan bahasa ibunda ini. Bercakap mengenai perkara itu, di Malaysia kita ada berapa banyak bahasa ibunda (bahasa kumpulan etnik tertentu)?

“Kita ada 30 hingga 40 bahasa ibunda. Orang Bidayuh, Iban, mereka bercakap bahasa yang berbeza. Tetapi, kenapa kita benarkan hanya dua bahasa ibunda yang mempunyai sekolah?,” soalnya.

Beliau berkata, jika negara percaya dengan pendidikan bahasa ibunda ini, kerajaan sebenarnya patut menyokong semua pendidikan sama bagi etnik lain di Malaysia.

“Bermakna, kita patut ada 30 hingga 40 sekolah jenis kebangsaan (SJK). Sebab itu, jika ada yang fikir Perlembagaan itu diskriminasi, bukankah isu sekolah vernakular juga sebahagian daripada diskriminasi.

“Sebab itu, pada saya kita kena akui yang paling penting adalah Perlembagaan kita adalah satu kompromi. Untuk menyelesaikannya, kita perlu bincang dan bertolak ansur,” katanya. – ISMAWEB

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *