OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

JANGAN salahkan rakyat kalau sebahagian besar daripada mereka berada dalam ketakutan.  Rasa yang mencemaskan sekaligus menakutkan ini sangat ketara selepas Pilihan Raya Umum (PRU14)  Mei 2018.  Perasaan ini memang subjektif. Berbeza-beza antara satu individu dengan yang lain. Tetapi tidak dapat menafikan wujudnya rasa cemas dan takut.

Maka janganlah pula ada pihak menyalahkan rakyat yang hidup dalam ketakutan. Tidak wajarlah melabelkan ketakutan ini sebagai ‘berita palsu’ (fake news).  Kalau sesetengah pemimpin sendiri mewujudkan rasa takut kepada rakyat, siapa yang mesti dipersalahkan?

Rakyat berada dalam ketakutan kerana mendengar kenyataan-kenyataan yang menakutkan keluar daripada mulut pemimpin.  Keadaan menjadi kecoh dan mencetuskan panik dalam kalangan rakyat apabila ada pemimpin mengeluarkan kenyataan yang menakutkan – perihal kaum dan penindasan.

Bagaimanapun kenyataan yang menakutkan itu tidak lebih  akhirnya disahkan hanya ‘berita palsu’ yang lenyap dengan sendiri. Tetapi tidak ada tindakan diambil terhadap pemimpin-pemimpin berkenaan kerana melakukan dua kesalahan, pertama mewujudkan rakyat takut dan kedua,  menyebarkan ‘berita palsu’. Kenapa?

Rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamam di Subang Jaya tahun lalu. (Gambar hiasan)

Beberapa bulan lalu, rakyat  dikejutkan dengan kenyataan menakutkan oleh seorang pemimpin parti politik bahawa negara ini menuju kepada pemerintahan Teliban.  Ini  berikutan wujud gabungan dua parti Melayu Islam, Pas dan UMNO.

Kenyataan palsu lain, dengan gabungan kerjasama Pas dan UMNO,  dalam kalangan  bukan Melayu dan bukan Islam tidak boleh memegang jawatan menteri dalam Kabinet, sekolah vernakular akan ditutup dan bukan Islam khususnya Kristian tidak boleh mengamalkan agama masing-masing.

Apabila dia membayangkan pemerintahan seperti Teliban di Afghanistan, sudah tentulah ini menakutkan rakyat.  Teliban adalah pelampau yang menafikan demokrasi dan toleransi. Teliban bukan cara hidup Islam.

Bayangkan apabila pemerintahan seperti Teliban wujud di negara ini sekiranya Pas dan UMNO mendapat mandat daripada rakyat sebagai kerajaan di negara ini.  Sudah pasti bayangan yang diberikan oleh pemimpin parti berkenaan mendatangkan ketakutan.

Kenyataan itu bukan datang daripada pengguna media sosial yang entah siapa latar belakang dan pengaruhnya. Tetapi kenyataan menuju negara cara Teliban diungkap oleh pemimpin parti yang berpengaruh.  Kenyatannya sangat berwibawa untuk dipercayai.

Bagaimanapun pemerintahan cara Teliban yang dikatakan itu tidak berlaku. Perkara itu senyap begitu sahaja, padahal  individu berkenaan telah melakukan kesalahan menakutkan dan mewujudkan rasa cemas dalam kalangan rakyat.

Tidak cukup setakat itu, individu yang sama juga menganggap  kempen Buy Muslim First (BMF) iaitu kempen menyokong produk  muslim tempatan  sebagai kempen memulaukan produk bukan muslim. Ini ‘berita palsu’.  Tetapi siapa peduli dengan ‘berita palsu’ ini?

Kini telah ternyata itu hanya ‘berita palsu’ yang dibanteraskan oleh kerajaan.  Menyebar ‘berita palsu’ dan ‘menakutkan rakyat’ antara dua kesalahan yang membolehkan individu terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.  Ada peruntukkan undang-undang untuk mengekangnya.

Tetapi pemimpin yang menyebarkan ‘berita palsu’ ini serta menakutkan rakyat bebas daripada sebarang tindakan.  Ini bukan berita palsu,  ini berita benar.

Begitu juga dengan ‘berita palsu’ yang disebarkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  bukan Melayu Selangor bahawa rusuhan di Kuil  Maha Mariamam di Subang Jaya tahun lalu dilakukan oleh orang Melayu.  Kenyataan ini sangat bahaya kerana boleh mewujudkan ketakutan dalam kalangan bukan Melayu.

Advertisement

Bagaimanapun kisah sebenarnya adalah pertelagahan dua puak India mengenai kuil berkenaan.  Sedikit pun tidak melibatkan orang Melayu kerana yang disyaki membunuh anggota Bomba Mohamad Adib juga bukan orang Melayu. 

ADUN  ini bebas  dan tidak dituduh menyebarkan ‘berita palsu’  rusuhan dicetuskan oleh orang Melayu. Dia juga mewujudkan ketakutan dalam kalangan rakyat dengan gambaran adanya elemen perkauman dalam tregedi itu.

Tuduhan ADUN berkenaan sangat menjurus perkauman.  Semua pihak tahu apabila wujud elemen perkauman, sudah tentu menakutkan rakyat  pelbagai kaum  yang mahu hidup  aman melampaui garis dan prasangka kaum. 

Malangnya tidak ada satu pun tindakan yang menunjukkan kerajaan serius membanteras ‘berita palsu’ dan kenyataan yang menggugat ketenteraman.  Ketika itu di mana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang memantau ‘berita palsu’ dan kenyataan yang mendatangkan ketakutan kepada rakyat?

Tidak salah menguatkuasakan undang-undang membanteras ‘berita palsu’ di media sosial.  Malah tindakan itu suatu yang baik.  Bagaimanapun individu yang menyebarkan ‘berita palsu’ juga memainkan peranan menpengaruhi rakyat.

Kalau pengguna media sosial yang tidak ada pengaruh,  kesannya tentulah tidak sebesar pemimpin yang berpengaruh dan terkenal. Rakyat pun sedar, pengguna media sosial yang entah siapa-siapa tidak mampu menpengaruhi rakyat berbanding individu yang mempunyai nama besar. Faktor ‘siapa’ juga penting diabil kira.

Apabila nama-nama besar ini dilepaskan atau dipejamkan mata, jangan salahkan rakyat mencurigai perlaksanaan kedaulatan undang-undang di negara ini.  Takkan hendak ulang lagi klisenya kasta jerung dan bilis. Kalau sebelum ini ada yang berkata, ‘sejarah ditulis oleh yang menang’ tetapi kini kita boleh tambah lagi,  ‘undang-undang ditentukan oleh yang berkuasa.’

Rule of law?  Ah,  menyibuk betullah budak ni. Nah ambil 20 sen pergi main jauh-jauh. Jangan ganggu orang tua-tua bercakap.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *