OLEH DR AZMI HASSAN

RAMAI akar umbi UMNO dan tidak kurang juga rakyat umum agak terpinga-pinga dengan percaturan politik terkini yang menyaksikan pihak pembangkang,  terutama sekali PAS secara tanpa berselindung memberi sokongan kepada seteru mereka iaitu Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Gundah gulananya akar umbi UMNO menjadi bertambah parah apabila diberitakan bahawa pucuk pimpinan UMNO juga bakal memberi sokongan kepada Dr. Mahathir.

Berlegar khabar angin bahawa Malaysia sedang bersiap sedia ke arah penubuhan kerajaan baharu yang dinamakan Pakatan Nasional,  dan agak ironis juga berkemungkinan diambil dari nama gabungan parti kerajaan ketika ini iaitu Pakatan Harapan dan juga gabungan pembangkang iaitu Muafakat Nasional. 

Akar umbi UMNO dan Pas tertanya-tanya sejauh manakah benarnya kewujudan Pakatan Nasional bagi menggantikan Pakatan Harapan.

Ada yang mengandaikan kerajaan Pakatan Nasional ini terdiri dari gabungan Muafakat Nasional, sebahagian dari Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah dan GPS dari Sarawak. 

Bukannya satu perkara pelik atau unik jika ditakdirkan Pakatan Nasional berjaya membentuk kerajaan kerana gabungan pembangkang dan kerajaan untuk membentuk kerajaan sering berlaku di negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. 

Perlembagaan Malaysia mengiktiraf sebuah kerajaan yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dan Perdana Menteri pula dilantik daripada sokongan Ahli Parlimen ini juga.  Jadi tidak timbul isu penubuhan kerajaan mengikut pintu belakang kerana ia sah dari segi kehendak perlembagaan.

Akar umbi PAS tidak mempunyai masalah parti mereka bekerjasama dengan Dr. Mahathir kerana itu sudah diputuskan oleh pucuk pimpinan . Tetapi ada dalam kalangan akar umbi UMNO yang mempersoalkan khabar angin kerjasama ini. 

Ia dianggap sebagai satu pengkianatan terhadap perjuangan UMNO dan juga Muafakat Nasional sehingga ada yang mengambil tindakan membocorkan mesyuarat dalam kalangan pemimpin tertinggi parti.

Ada akar umbi yang begitu kecewa kerana kerjasama dengan Dr. Mahathir yang menjadi salah satu pemangkin UMNO kehilangan kerajaan dianggap sudah menongkah arus,  bukan sahaja dasar perjuangan parti tetapi juga berlawanan dengan hasrat piagam Muafakat Nasional.

Memang tepat sekali dasar sebuah organisasi yang lazimnya diikat dengan pernyataan visi dan misi dan ini termasuk parti politik tidak boleh berubah. Tambahan pula bagi sebuah parti politik, visi dan misi adalah teras perjuangan yang perlu dipertahankan kerana ia melambangkan denyut nadi sebuah parti politik.

Tun Dr Mahathir Mohamad

Jika dasar perjuangan sebuah parti politik diikat oleh visi dan misi maka untuk mencapai hasrat dasar tersebut, visi dan misi itu pula diikat dengan strategi atau pelan tindakan, iaitu kaedah untuk mencapai hasrat visi dan misi teresebut. 

Dalam hal ini menarik juga diungkapkan apa yang pernah diperkatakan oleh Jeff Bezos iaitu pengasas Amazon Inc. atau mungkin ada yang mengenali Bezos sebagai individu yang menuduh Putera Mahkota Arab Saudi Mohamad Salman mengodam telefonnya, iaitu visi organisasi perlu dipertahan tetapi anjal dengan strateginya.

Advertisement

Intepretasi mudah pandangan Bezos adalah strategi yang dilaksanakan demi mencapai matlamat sebuah parti politik boleh berubah mengikut keadaan senario politik semasa. Sebab itu juga bila ada yang menuduh Presiden UMNO telah menderhakai perjuangan UMNO, pandangan sedemikian sedikit tidak benar. 

Ini adalah kerana Presiden melaksanakan strategi yang agak kurang konvensional iaitu menghulurkan sokongan kepada seteru politik demi mencapai matlamat atau visi parti. Ada dua senario hasil yang dijangkakan. 

Pertama sokongan seperti ini mampu membentuk kerajaan Pakatan Nasional dengan gabungan parti politik baharu dan UMNO yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbanyak berpeluang menjadi tunjang dalam kerajaan baharu. 

Senario kedua iaitu menstabilkan kerajaan Pakatan Harapan dengan menangkis ugutan Dr. Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri supaya kepimpinan kerajaan lebih memberi perhatian mengurus negara berbanding tertumpu dengan masalah politik dalaman parti.

Diketahui senario pertama tidak tercetus kerana dari awal lagi ada pihak yang tidak berminat menubuhkan kerajaan baharu cuma berpura-pura pamer minat demi mencapai senario kedua. Dalam keadaan politik ketika ini di mana kerajaan Pakatan Harapan tewas dalam lima piliha raya kecil, amat mustahil pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat. 

Mungkin ada yang bertanya apakah faedah bagi UMNO yang berjaya mencapai senario kedua kerana ada yang berpendapat biarkan Pakatan Harapan bertelagah sesama sendiri mengenai jawatan Perdana Menteri kerana itu adalah masalah dalaman mereka. 

Pandangan sedemikian ada kebenarannya tetapi masalahnya pertelagahan sebegini telah memudaratkan pentadbiran dalam mengurus hal negara.

Berjayanya Dr. Mahathir mempamerkan beliau mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menepis paksaan supaya beliau meletak jawatan, sekali gus ini adalah manifestasi bagaimana Muafakat Nasional telah berjaya menentukan hala tuju politik negara walaupun bukan berada dalam barisan kerajaan. 

Lebih menarik lagi apabila PAS dikatakan akan mengutarakan usul undi percaya kepada Dr. Mahathir supaya kekal sebagai Perdana Menteri satu penggal penuh pada persidangan Dewan Rakyat bulan hadapan, maka ini adalah manifestasi jelas bagaimana Muafakat Nasional telah mengambil alih pentadbiran negara secara tersirat melalui pendekatan strategi yang ampuh dan anjal. 

Walaupun besar kemungkinan Speaker Dewan Rakyat akan menolak usul PAS, tetapi berita sebegini walaupun berbentuk uar-uar  sahaja sudah cukup untuk mempamerkan percaturan politik yang hebat.

  • DR AZMI HASSAN adalah Geostrategis di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menulis untuk KUSEMAN.COM
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *