OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
HARI pertama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masuk ke pejabat, sudah kedengaran ada yang menuntut jawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Penyakit lama ini sangat bahaya kepada blok parti politik dominasi Melayu Islam yang baru mentadbir kerajaan. Nama-nama yang timbul pula, kalau benar akan menjadi beban kepada Perdana Menteri.
Sepatutnya biarlah Perdana Menteri memilih berdasarkan kemampuan, kesesuaian dan bukan kuota parti. Malah kalau perlu Menteri atau Timbalan Menteri dilantik dari kalangan profesional. Tanggungjawab hakiki Ahli Parlimen terhadap kawasan Parlimen masing-masing.
Sekiranya dipilih menganggotai Kabinet, itu satu tanggungjawab tambahan selain kepada warga di kawasan Parlimen. Maknanya ada dua tanggungjawab serentak yang tidak semua orang mampu lakukan. Jadi, ketepikan perlumbaan untuk menganggotai Kabinet kerana matlamat utama menjadi Ahli Parlimen untuk membantu masyarakat.
Tetapi itu semua akan terjadi kalau mulut dan hati (hasrat sebenar) selari seperti yang dimuntahkan bertalu-talu di depan wartawan kemudian terpampang di media serta kepada para pengundi semasa berkempen. Sepatutnya mulut dan hati selari. Jawatan bukan faktor dan belajarlah berkata dengan kedua-duanya, mulut dan hati.
Mereka perlu menerima hakikat bahawa kemenangan belum lagi menjadi kemenangan selagi tidak diuji bagaimana kemenangan itu diuruskan. Mengurus kemenangan pula adalah lebih sukar daripada usaha bertungkus lumus untuk mendapatkan kemenangan.
Maka tidak hairan sesetengah orang sangat takut beroleh kemenangan kerana bimbang tidak dapat menguruskan kemenangan yang memungkinkan kemenangan akan berpindah tangan kepada orang lain. Lalu, janganlah terlalu awal bergembira dengan sesuatu kemenangan, apatah lagi dalam keadaan yang genting dengan asakan demi asakan.
Politik dominasi Melayu Islam yang berjaya mentadbir kerajaan kini sebenarnya masih rapuh. Tentangan dari blok parti didominasi doktrin yang bertentangan dengan Islam dan Melayu sangat kuat. Untuk itu, pada peringkat awal ini sangat menuntut iltizam untuk memperkukuhkan saf kepimpinan daripada semua Ahli Parlimen yang terlibat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengemudi blok parti dominasi Melayu Islam dilantik Perdana Menteri oleh Yang Dipertuan Agong. Pelantikan Muhyiddin dengan sendirinya menyentak Anwar Ibrahim yang mengidam jawatan itu lebih 20 tahun lalu. Keadaan ini jangan dipandang mudah.
Sejak dipecat dari Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri kemudian bersinar menjadi Presiden parti Bersatu dan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin tidak kelihatan melobi menjadi Perdana Menteri. Malah beliau dinamakan calon Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri. Sepatutnya ini diteladani oleh semua Ahli Parlimen.
Yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi PerdanaMenteri ialah Anwar Ibrahim. Beliau seorang pemimpin politik yang sangat tegar – dipenjara, dibebas dan dipenjara lagi, cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri tidak pernah padam.
Kejayaan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sangat menggembirakan pemimpin-pemimpin parti blok dominasi Melayu Islam – UMNO, Bersatu, Pas, MCA dan MIC. Pada masa yang sama bermulalah cabaran besar Muhyiddin – seolah-olah didesak membahagikan ‘harta rampasan perang’.
Janganlah terlalu awal menghitung ‘harta rampasan perang’ kerana musuh politik baru berundur beberapa langkah, tidak jauh sangat untuk berpatah balik. Malah ada dalam kalangan ‘musuh politik’ berkata mereka akan kembali dengan kekuatan yang berganda.
‘Harta rampasan perang’ dalam konteks semasa adalah jawatan dalam kerajaan, Menteri, Timbalan Menteri, ketua-ketua agensi dan mungkin CEO-CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini perangai lama pentadbir kerajaan lama sebelum ini. Kenapa masih mahu diwarisi?
Sepatutnya puak-puak yang gilakan jawatan ini mengambil iktibar daripada peristiwa Perang Uhud yang berlaku pada tahun 3 Hijrah di Bukit Uhud yang mempertembungkan tentera Islam pimpinan Rasulullah S.A.W dengan tentera kafir Quraisy.
Tentera Islam sebanyak 1,000 orang itu tidak semuanya sampai ke Bukit Uhud. Lebih kurang 300 daripadanya termakan hasutan munafik Abdullah bin Ubai dan berpatah balik ke Madinah. Hanya 700 tentera Islam berdepan dengan 3,000 tentera kafir Quraisy. Dari segi fizik dan matematik, tentera Islam pasti kalah.
Tetapi tentera Islam berjaya dalam Perang Uhud pada pusingan pertama. Kerana terlalu teruja dengan kemenangan, apalagi melihat begitu banyak harta rampasan perang, tentera Islam khilaf sehingga ingkar perintah Rasulullah S.A.W supaya terus bertahan di puncak bukit.
Dalam kelekaan mengaut harta rampasan perang, tentera kafir Quraisy berpatah balik dan bertindas balas mengepung bukit Uhud membuatkan tentera Islam terpinga-pinga kerana tidak bersedia. Mereka tersihir dengan kebendaan daripada matlamat peperangan yang sebenarnya.
Sirah ini membuktikan bahawa dalam setiap perjuangan, akan ada segelintir pejuang yang tewas dengan hawa nafsu dan kelalaian. Seringkali pula ia berkait dengan niat sebenar seseorang itu menyertai perjuangan. Analogi pada keadaan sekarang, perebutan dan ugutan untuk mendapat jawatan tertentu tidak membantu memperteguhkan pasak yang longgar.
Muhyiddin mesti bertegas, ini bukan masanya untuk tawar-menawar jawatan dan memuaskan hati semua pihak. Mana-mana organisasi politik tidak bertahan dengan adanya individu yang terpesona kepada imbuhan, jawatan dan kebendaan. Pada masa yang sama tegaskan juga, pemimpin yang sedang berurusan dengan kes mahkamah sama sekali tidak dilantik menganggotai Kabinetnya.
Mereka bakal menjadi liabiliti dan mewujudkan pandangan serong masyarakat. Seharusnya individu yang mempunyai kes yang belum selesai dengan sendirinya menarik diri daripada perlumbaan mendapat jawatan dalam Kabinet Muhyiddin.
Selain itu, mereka yang meminta-minta jawatan juga amat tidak wajar dilantik kerana pemimpin yang berkualiti selalunya hanya mewakilkan hasil kerja kejayaannya untuk nilaian, bukan dengan mengemis jawatan.